9 Mac 2011

Bas Seret Kereta, Tiga Terbunuh

Tiga sekeluarga maut kereta bertembung bas sekolah

KUALA PILAH: Tiga sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, terbunuh selepas terperosok di bawah sebuah bas sekolah apabila kereta yang mereka naiki bertembung bas berkenaan di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini hari ini.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang mati ialah Nor Hasikin Md Nazir, 27, adiknya, Saripah Saodah, 22, serta anak sulung Nor Hasikin iaitu Natasya Isa, 5.

Seorang lagi anak Nor Hasikin iaitu Mohd Iskandar Fahmi, 3, cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban. Kemalangan itu berlaku pada 3 petang ketika keluarga Nor Hasikin dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Simpang Pertang.

"Ada saksi melihat kereta yang dipandu Nor Hasikin agak laju ketika mengambil selekoh dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas dari sebuah sekolah berasrama di Jempol," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat HTJ hari ini.

Beliau berkata, kereta mangsa yang terperosok di bawah bas sekolah berkenaan telah diseret sejauh kira-kira 20 meter. - BERNAMA

Tiada ulasan: