9 Mac 2011

60 Rumah Musnah Dalam Kebakaran

Tawau - Kira-kira 60 rumah, termasuk dua rumah kongsi 20 pintu, musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan yang berlaku kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Akibat kejadian itu, dianggarkan 100 penduduk hilang tempat tinggal dan tinggal sehelai sepinggang.

Timbalan Penguasa Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Mohd Zahar Abdullah berkata, jabatan itu menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.58 pagi dan mengerahkan dua jentera bomba dengan 30 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran kira-kira jam 1 tengah hari.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Mohd Zahar juga berkata, pihaknya dan polis masih menyiasat kesahihan laporan kononnya dua kanak-kanak, masing-masing berumur satu dan tiga tahun, terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

Maklumat yang diterima mennyatakan kedua-dua kanak-kanak itu tinggal dengan nenek mereka ketika kejadian sementara ibu bapa mereka keluar bekerja.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Tawau sudah membuka kaunter di balai raya di kawasan kampung berkenaan bagi mendaftarkan mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu. - Bernama






Tiada ulasan: