22 Okt 2010

Kes Aminulrasyid: Siapa Letak Parang Dalam Kereta?

Kes kematian Aminulrasyid: Misteri parang belum terjawab

Tiga saksi nafi lihat, letak senjata dalam kereta dipandu Aminulrasyid

SHAH ALAM: Misteri penemuan parang dalam kereta dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, remaja yang mati ditembak polis di Seksyen 11 di sini, 26 April lalu, belum terjawab selepas tiga saksi pendakwaan memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, semalam.

Kakak kedua Aminulrasyid, Tuty Shahninza Anom Amzah, yang juga pemilik kereta jenis Proton Iswara putih dipandu Aminulrasyid pada hari kejadian; suami Tuty, Muzafar Mahali dan bapa mentua Tuty, Mahali Ramlan yang juga pemilik berdaftar kereta itu menafikan pernah melihat atau meletakkan parang dalam kereta berkenaan.

Parang itu ditemui polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu Aminulrasyid.

Dalam keterangannya, Tuty, 36, berkata beliau tidak pernah meletakkan parang di dalam kereta itu, dan apabila ditunjukkan sebilah parang yang juga barang kes, saksi pendakwaan ke-20 berkata beliau tidak pernah melihatnya dan tidak tahu siapa pemiliknya.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menunjukkan parang itu, Mahali juga menafikan beliau pernah melihatnya.

Muzafar, 36, dalam keterangannya juga menafikan bahawa beliau pernah melihat dan meletakkan parang dalam kereta itu.
Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata, beliau tidak tahu siapa pemilik parang dan menafikan isterinya, Tuty ada membawa parang dalam kereta.

Mereka memberi keterangan dalam perbicaraan kes anggota polis, Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid, jam 1.10 pagi, 26 April lalu.

Mahkamah juga semalam diberitahu Aminulrasyid tidak tahu memandu kereta dan tidak pernah dilihat memandu kereta oleh keluarganya.

Tuty berkata, pada pengetahuannya, adik bongsunya itu tidak pernah belajar memandu atau diajar memandu kereta sebelum hari kejadian pada 26 April lalu.

“Sekiranya adik mahu ke mana-mana, beliau akan memberitahu ibu, Norsiah Mohamad, 60, untuk menghantar dan menjemputnya. Jika mak saya tidak boleh, kakak sulung saya yang akan hantar adik,” katanya.

Dalam pada itu, Tuty berkata, pada 25 April lalu, beliau dan tiga anaknya ke rumah ibunya di Seksyen 11, Shah Alam untuk bermalam di sana kerana sudah mengambil cuti pada keesokan harinya.

Katanya, selepas makan malam, beliau naik ke bilik ibunya di tingkat atas untuk tidur selepas meletakkan kunci keretanya di tempat letak kunci di tingkat bawah.

Kehilangan Aminulrasyid dan kereta hanya disedari kira-kira dua jam selepas kejadian, apabila beliau menerima panggilan telefon daripada suaminya.

Tuty berkata, suaminya menghubungi jam 3.30 pagi bertanyakan mengenai kereta dan memintanya memeriksa sama ada kereta itu masih ada di rumah ibunya.

“Apabila menjenguk ke luar, saya mendapati hanya ada kereta milik adik saya, Muhammad Shahreeman Putra di halaman rumah, manakala kereta saya sudah tiada.

“Selepas itu saya memeriksa adik-adik saya dan mendapati Aminulrasyid tiada di rumah, lalu saya keluar rumah dan melihat ke luar pagar, sebelum melihat kereta peronda polis di hujung jalan masuk ke rumah ibu,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung 28 Oktober ini.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mahkamah patut tanya Musa Hassan,mantan IGP sebab dia yang pakar dalam perkara ni.Dia boleh angkut tilam turun naik mahkamah,tak kan soal parang ni,dia tak tahu.

Waris berkata...

Siapa ke lagi yg letak kalau bukan polis. Bukan orang ramai tak tau perangai polis malaysia ni. Sendiri mau ingat lah...

kembara putih berkata...

Nasib baik tak letak meriam, kalau tidak, susah nak angkut naik turun mahkamah.

Tanpa Nama berkata...

Kalau ikut famili dia, AR ni tak tau memandu dan tak pernah belajar memandu pun. Hakikatnya dia boleh memandu dengan hebat... so tak mustahil parang tu dia yang letak dengan tujuan walaupun sebelum ni dia tak kenal pun apa itu parang ?