22 Okt 2010

Lagi Kes Gadis Hilang

Pokok Sena: Seorang gadis berusia 25 tahun yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 20 November ini dilaporkan hilang selepas keluar ke tempat kerja di Jalan Pegawai, Alor Setar, pagi Sabtu lalu.

Siti Sakinah Ismail, kerani di sebuah syarikat kuari keluar dari rumahnya di Kampung Kolam, di sini, kira-kira jam 7 pagi untuk bekerja tetapi dia tidak datang ke pejabatnya.

Ibunya, Zaiton Abdul Halim, 58, berkata Siti Sakinah yang memakai baju kurung biru dan tudung merah memandu kereta Perodua Viva miliknya dengan nombor pendaftaran KCB 7249.

Katanya, anak bongsu daripada empat beradik itu bertunang dengan seorang pemuda berusia 24 tahun dari Kuala Sanglang, Perlis seminggu sebelum Ramadan lalu hasil pilihan keluarga.

“Kedua-dua pihak sudah menyediakan pelbagai persiapan, termasuk bunga telur, pakaian pengantin dan kad jemputan.

“Keluarga kami juga sudah menerima wang hantaran daripada pihak lelaki sebanyak RM8,284 tetapi ketika tarikh berkenaan semakin hampir dia pula menghilangkan diri tanpa khabar berita,” katanya.
Zaiton berkata, dia menyedari kehilangan anaknya apabila pengurus tempat anaknya bekerja menelefon pada jam 9.30 pagi Sabtu lalu bertanyakan mengapa dia tidak hadir ke pejabat.

Katanya, dia ada menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi tidak berjawab dan pada sebelah petang hari yang sama mereka cuba menghubunginya sekali lagi tetapi gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

“Tiada perselisihan antara kami sekeluarga dengannya, malah kami gembira kerana dia bakal berkahwin.

“Dia juga tidak membantah calon pilihan keluarga itu. Kami bimbang keadaannya kerana dia memakai barangan kemas,” katanya.

Zaiton berkata, Siti Sakinah seorang anak yang baik kerana tidak suka berpeleseran dan tidak pernah meninggalkan solat.

Katanya, dia mengesyaki anaknya itu dilarikan pihak tertentu dan sudah membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena selepas kehilangannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Siti Sakinah diminta menghubungi talian 019-4649104 atau 019-4783421 atau balai polis terdekat. -BH

2 ulasan:

zaid Ampang berkata...

Pak Mail, Si Siti ni merajuk ni, dia tak bekenan dengan bakal tu. Nampak saja dia setuju sebab nak jaga hati mak bapak. Masa depan mereka biar mereka yang tentukan, kita sebagai ibubapa cuma beri nasihat jer....

Awanama berkata...

Mungkin hati Siti Sakinah tidak sakinah sekarang.

Apapun moga beliau selamat