5 Mac 2010

Doa Dan Harapan TGNA Termakbul, Anuar Manan Lakar Sejarah LTdL

Doa dan harapan serta sentuhan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, termakbul hari ini apabila Anuar Manan melakar sejarah selepas menjadi pelumba Malaysia pertama muncul juara perlumbaan peringkat pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL), hari ini sejak ia dimulakan 15 tahun lalu.

Anuar yang mewakili pasukan South Korean Guemsan Ginseng Asia memenangi perlumbaan sejuh 111.5 kilometer dari bandar Muar ke Port Dickson. Beliau juga memenangi jersi hijau dan biru.

Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini telah melahirkan kesyukuran kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010. Petikan berita 28 Feb lalu:

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau telah turut meraikan pelumba-pelumba basikal LtLD pada majlis makan malam sebelum hari perlumbaan malah telah turut serta di hari pertama perlumbaan sekalipun acara "flag-off" sepatutnya dilakukan oleh Datuk Nik Abdul Aziz telah dirampas tanpa rasa malu oleh Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Awang Adek Hussin.

Anuar, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia, menjuarai peringkat kelima sejauh 111.5km itu setelah mengetepikan tentangan sengit lawan sehingga ke garisan penamat.

Keputusan iu menjadikan beliau pelumba Asia ketujuh yang memenangi peringkat perlumbaan LTdL sejak ia mula dipertandingkan pada 1996 serta merupakan pelumba kedua dari Asia Tenggara yang menang peringkat selepas pelumba Indonesia, Samai Amari, dari pasukan Le Tua pada tahun lepas.

Selain itu, jersi hijau (raja pecut) yang dirampas oleh Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skins pada peringkat keempat berjaya diambilnya kembali hasil kemenangan hari ini yang termasuk satu zon pecutan di Umbai, Melaka.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana telah mencapai sasaran untuk memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL malah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Anuar, yang turut mengekalkan jersi biru selaku pelumba terbaik Asia, berkata pada peringkat kelima ini, rakan-rakan dari pasukan Malaysia dan Marco Polo Cycling telah membantunya untuk mengatasi Matthews.

Jadi secara tidak langsung saya serta rakan sepasukan (Geumsan Ginseng Asia) dapat menyimpan tenaga untuk mengatur strategi bagi pecutan terakhir di garisan penamat,” katanya.

Anuar berkata beliau turut menggunakan taktik baru pada peringkat kelima ini dengan menumpukan usaha untuk memenangi peringkat perlumbaan yang turut menawarkan mata untuk jersi hijau selain daripada tiga zon pecutan.

Pada empat peringkat awal, saya menumpukan usaha untuk mengambil mata di zon pecutan manakala Matthews menggunakan rakan-rakan senegaranya dari Australia dari pelbagai pasukan untuk mengacau saya daripada mengutip mata.

“Matthews sendiri pula menumpukan perhatian untuk mencuri mata dengan memenangi peringkat perlumbaan seperti yang dilakukannya dengan memenangi peringkat pertama dan ketiga,” katanya.

“Anuar turut menjelaskan semua rakan sepasukannya telah memainkan peranan terutamanya dua rakan sepasukannya, Takeshi Igarashi dan Kim Yeong Uk, yang membuka ruang yang baik kepadanya untuk memecut ke garisan penamat.

Mengenai peringkat keenam esok yang mempertandingkan tiga zon pecutan dan pendakian ke puncak Genting Highlands, Anuar berkata beliau telah bersedia untuk mengutip sebanyak mata yang termampu.

“Malah saya yakin akan dapat menamatkan perlumbaan di puncak Genting Highlands mengikut masa yang ditetapkan berdasarkan prestasi semasa saya ketika ini,” katanya.

Jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan kekal milik pelumba kelahiran Jerman, Tobias Erler yang beraksi untuk pasukan dari Iran, Tabriz Petrochemical Cycling, dengan masa keseluruhan 17 jam 59 minit 23 saat.

Jersi polka dot selaku raja bukit turut kekal dimiliki pelumba pasukan Drapac Porsche, Peter McDonald, yang mengumpul 11 mata walaupun tidak mengutip sebarang mata pada satu zon pendakian hari ini.

Pelumbaan peringkat keenam esok akan bermula di Putrajaya dan tamat di Genting Highlands, sejauh 102.8km. Perlumbaan melibatkan 112 pelumba daripada 20 pasukan.



1 ulasan:

Awanama berkata...

perangai pemimpin UMNO bukan boleh dijadikan ikutan, ikut TGNA