28 Feb 2010

TGNA Raikan Pelumba Le Tour De Langkawi

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 pada Isnin.

"Acara ini boleh memberi kesan positif kepada pembangunan industri pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan peserta dari 20 pasukan LTdl 2010 itu, di sini, pada Ahad.

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Cabaran pasukan tempatan diketuai oleh pasukan kebangsaan yang pastinya perlu berusaha dengan keras bagi memastikan sasaran tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bertanding tercapai.

Manakala pasukan benua negara, Le Tua memasang impian besar untuk meraih juara individu keseluruhan serta mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia dengan membariskan tiga pelumba Sepanyol, seorang Australia dan Ng Yong Li serta Mohd Hafiz Rozli selaku pelumba tempatan.

Empat pelumba tempatan turut mewakili pasukan berstatus benua dari luar negara pada edisi tahun ini dengan Anuar Manan (Geumsan Ginseng Asia dari Korea Selatan), Adiq Husainie Othman (Drapac Porsche dari Australia) dan Loh Sea Keong serta Ahmad Haidar Anuawar pula mewakili pasukan Marco Polo Cycling Team dari China.

Secara keseluruhan LTdL tahun ini menampilkan hanya satu pasukan berstatus Pro Tour iaitu Footon-Sevetto dari Sepanyol serta dua pasukan profesional benua iaitu ISD-Neri (Itali) dan Vorarlberg-Corratec (Austria).

Selebihnya adalah 13 pasukan bertaraf benua iaitu Drapac Porsche (Australia), Tabriz Petrochemical (Iran), Seoul Cycling Team (Korea Selatan), Marco Polo Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), Max Success Sport (China), Le Tua Cycling Team (Malaysia), Team Geumsan Ginseng Asia (Korea Selatan), Team Jayco- Skins (Australia), Azad University (Iran), Giant Asia Racing Team (Taiwan), Polygon Sweet Nice (Indonesia) dan Kelly Benefit Strategies (Amerika Syarikat).

Selain Malaysia yang menampilkan pasukan kebangsaan, tiga lagi adalah Afrika Selatan, Kazakhstan dan Thailand yang kali pertama mengambil bahagian.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010:

1: Kota Baharu - Kuala Berang (174.5km)
2: Kuala Terengganu - Chukai (182.3km)
3: Pekan - Mersing (145.6km)
4: Mersing - Parit Sulong (163.5km)
5: Muar - Port Dickson (111.5km)
6: Putrajaya - Genting Highlands (102.8km)
7: Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka (133.7km)

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Yassin Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.


Tiada ulasan: