5 Mac 2010

Harussani Tokok-tambahkan Cerita - Ust Ahmad Awang

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

"Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

"Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.

"(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," katanya.


Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian.

"Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun.

"Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat," katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka.
- malaysiakini


Dari Blog Ust Ahmad Awang
entri bertarikh 19 Jun 2009


Pengalaman Saya Di Perak

Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.


Pendedahan Ustaz Ahmad Awang Semasa Muktamar 55





3 ulasan:

al-faqir ilallah berkata...

Dengan ketokohan sebagai Bekas Yang Dipertua Ulamak Malaysia dan PJ PAS Negeri Perak, Ustadz Ahmad Awang paling layak menerajui Parti Islam SeMalaysia menggantikan Haji Hadi Awang yang nampaknya lebih cenderung untuk berbaik dengan muusuh Islam iaitu UMNO.

Awanama berkata...

ulamak UMNO mana boleh percaya, macam pemimpinnya juga, auta belaka...

Martoiriat berkata...

Jawatan Harussani adalah sebagai mufti perak tapi yang peliknya menjadi jurucakap Umno. Begitulah hidup mufti yg cari makan..