18 Feb 2010

Pakar DNA, Forensik Luarnegara Hadir Ikuti Kes Liwat Saiful

Perbicaraan hari ini juga menyaksikan kehadiran tiga pakar DNA dan forensik dari pihak pembelaan yang dipanggil untuk mengikuti perbicaraan kes liwat Saiful. Mereka tiba seawal 8.40 pagi.

Mereka ialah Dr Brian McDonald, seorang pakar DNA dari Sydney, Australia, dan pakar forensik India, Dr C Damodaran, dari Chennai serta Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Mahkamah Tinggi di sini telah menunda kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 25 Mac setelah hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar untuk menyingkirkan dirinnya sebagai hakim kes itu.

Mohamad Zabidin ketika menolak permohonan Anwar itu memutuskan tidak ada sebab kenapa beliau perlu menarik diri daripada mendengar kes itu dan jika beliau berbuat demikian, bermakna beliau lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang hakim.

"Seseorang hakim yang telah mengangkat sumpah jawatan sudah semestinya tidak boleh mengelak diri daripada menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Dalam keadaan demikian permohonan ini ditolak," katanya.

Rabu lepas, Anwar membuat permohonan agar Mohamad Zabidin menarik diri dengan alasan kononnya hakim itu berat sebelah.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar, membuat permohonan itu setelah Mohamad Zabidin menolak permohonan pihak pembelaan berhubung dua artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Dalam keputusannya, Mohamad Zabidin berkata undang-undang berhubung penarikan diri seseorang hakim daripada mendengar kes yang diamanahkan kepadanya untuk didengar adalah jelas untuk melucutkan kelayakan seorang hakim daripada mendengar kes dan atas alasan berat sebelah, elemen itu mestilah ditunjukkan.

Mohamad Zabidin berkata dalam melihat sama ada elemen berat sebelah itu wujud, mahkamah melihat kepada tanggapan yang akan diberikan oleh orang lain dalam kes yang dikendalikan.

"Jika orang yang berfikiran waras akan berfikir bahawa dalam keadaan tersebut terdapat kemungkinan sebenar hakim itu akan bertindak berat sebelah, beliau tidak patut mendengar kes itu," katanya.

Mohamad Zabidin berkata dalam kes ini perkara pokok yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada terdapat kesalahan meliwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Berikutan daripada itu persoalan sekarang ialah sama ada terdapat apa-apa fakta dalam kes ini yang boleh membuat seseorang yang berfikiran waras akan berfikir bahawa terdapat kemungkinan sebenar keputusan berhubung isu sama ada berlaku kejadian liwat antara pemohon (Anwar) dengan pengadu (Mohd Saiful) dalam kes ini akan dibuat bukan berdasarkan keterangan yang akan dikemukakan tetapi berdasarkan pertimbangan lain," katanya.

Anwar tiba pada jam 9.40 pagi dengan ditemani oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Kamaruddin Jaffar, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Karpal, mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendalangi kes liwat yang dihadapi oleh Anwar kali ini.

“Sebagaimana saya katakan, adanya tangan ajaib dalam perbicaraan ini, dan ia adalah tangan Perdana Menteri sekarang... ada dua tangan dan satu lagi tangan isteri beliau,” kata beliau di mahkamah hari ini.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bawa juga pelabur asing sebagai pemerhati apa najib sedang buat...