18 Feb 2010

Kes Disiplin Zulkifli Nordin Dan Tan Tee Beng

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak tahu menahu mengenai pemergian Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin ke Korea dan bukannya dihantar parti sebaliknya bersifat urusan peribadi, TVSelangor dipetik.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Hussin Ali berkata, Zulkifli juga tidak pernah memaklumkan parti mengenai pemergiannya atau mencadangkan tarikh lain untuk pendengaran kes disiplin.

Beliau menganggap Zulkifli lebih mementingkan urusan peribadinya daripada hadir membela diri di hadapan Lembaga Disiplin untuk penyiasatan dan membela diri.

"Zulkifli tidak harus menyalahkan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.
Syed Hussin menyifatkan ia cara biasa Zulkifli mengelak hadir mengikut tarikh yang ditetapkan Jawatankuasa Disiplin dan ia pernah berlaku sebelum ini apabila memberi alasan tidak berada di Kuala Lumpur.

Katanya, Lembaga Disiplin tidak mendapat jawapan daripada Zulkifli selepas tarikh akhir 15 Februari luput sedangkan surat tunjuk sebab dikirim pada 8 Februari 2010 melalui faks, emel dan surat berdaftar.

"Beliau diminta menjawab sebelum 15 Februari dan pilihan beliau untuk tarikh pendengaran kes yang dicadangkan oleh Lembaga, iaitu 18 atau 23 Februari 2010.

"Sebaliknya, Zulkifli pada 16 Februari memberitahu media yang beliau tidak dapat hadir kerana ke Korea," katanya.

Selain itu, Syed Hussin berkata, Lembaga Disiplin diminta oleh Biro Politik bahawa semua kenyataan media yang dibuat Zulkifli selepas diberi surat tunjuk sebab itu, akan diambil kira dalam siasatan disiplin itu.

Katanya, hal itu antara perkara yang dicapai dalam mesyuarat mingguan Biro Politik PKR semalam yang mengadakan mesyuarat mingguan, selain membincangkan beberapa perkara lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang mengecam kepimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin semalam.

“Saya baru menerima surat tunjuk sebab, dengan merujuk kepada Fasal 27 perlembagaan parti saya didakwa tidak mematuhi keputusan parti, tidak berkelakuan baik, merosakkan nama parti dengan mengkritik pemimpin parti dan komponen parti secara terbuka,” kata beliau.

Lembaga disiplin menetapkan 23 Feb dan 6 Mac untuk mendengar kes Tan.

“Saya diberikan tempoh lima hari untuk memberi penjelasan bertulis,” katanya.

Tan dan Zulkifli secara terbuka menyokong Zahrain yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai “cauvinis, diktator dan berfikiran komunis.”

Selain Tan dan Zulkifli turut diputuskan untuk dirujuk kepada lembaga disiplin ialah Zahrain, bagaimanapun beliau telah keluar PKR berkuat kuasa Jumaat lalu.

Susulan kenyataan Zahrain itu, Tan juga pernah menyifatkan Lim, Setiausaha Agung DAP sebagai “seorang pemimpin tiada kelas” dengan selalu mengetepikan wakil rakyat PKR dalam proses membuat keputusan.

Beliau juga mendakwa kerajaan negeri pimpinan Lim enggan menyediakan peruntukan kewangan kepada ahli-ahli Parlimen PKR di Pulau Pinang.


Kenyataan Media

Malam tadi (17 Februari 2010) Biro Politik KEADILAN mengadakan mesyuarat mingguan biasanya. Biro membincangkan beberapa perkara termasuk kes-kes disiplin.

Berhubung kes Zulkifli Noordin, (gambar) Biro menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan dan menyampaikannya kepada Parti dengan seberapa segera. Lembaga diminta oleh Biro Politik untuk mengambil kira semua kenyataan melalui media yang telah dibuat oleh Zulkifli selepas surat tunjuk sebab dihantar kepadanya.

Biro Politik mengambil perhatian bahawa Lembaga Disiplin telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zulkifli pada 8 Februari 2010 melalui faks, emel dan surat berdaftar. Beliau diminta menjawab sebelum 12 Februari 2010 dan memberitahu sebelum 15 Februari 2010, pilihan beliau untuk tarikh pendengaran kes yang dicadangkan oleh Lembaga, iaitu 18 atau 23 Februari 2010.

Lembaga Disiplin tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Zulkifli apabila kedua-dua tarikh 12 dan 15 Februari luput. Pada 16 Februari 2010 Zulkifli memberitahu melalui media beliau tidak dapat hadir kerana ke Korea dan kenyataan beliau kemudian disalinkan kepada Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Zulkifli pergi ke Korea atas urusan sendiri dan bukan dihantar oleh Parti. Parti tidak tahu-menahu tentang pemergian beliau. Beliau tidak pernah memberitahu Lembaga Disiplin mengenainya. Beliau juga tidak pernah mencadangkan tarikh lain untuk pendengaran.

Ini nampaknya menjadi cara biasa Zulkifli. Dalam kes yang lalu beliau memberi alasan tidak berada di Kuala Lumpur juga untuk mengelak hadir mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin ketika itu.

Zulkifli memilih untuk lebih mementingkan urusan peribadinya ke Korea daripada hadir di hadapan Lembaga Disiplin untuk penyiasatan dan membela diri. Beliau tidak harus menyalahkan mana-mana pihak.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN
Tarikh: 18 Februari 2010




2 ulasan:

Najib berkata...

Salam

Saya nak bawak kalian semua berfikir sejenak.

Saya bukanla seorang yg pandai politik ni tapi sejak kebelakangan ni saya kerap terbaca dalam akhbar pasal kes yang sama, kene panggil dgn lembaga disiplin. Tapi xde apa-apa tindakan pn yg diambil. Sebelum ni plak, cite pasal keluar parti.

Apa yg dh berlaku dalam PR sebenarnye? Macam mane kite nk jadikan diorang pemimpin kite sedangkan ahli parti sendiri tak puas hati dgn kepimpinan parti.

Lepas tu boleh cakap tersalah pilih calon. Ada ke istilah tersalah pilih calon? Bukan ke sebelum dipilih jadi calon mestila dah tau mcm mana seseorang tu. Layak ke dia jadi pemimpin?

Marilah kite same2 memikirkannya demi masa depan negara Malaysia yang tercinta…

Tanpa Nama berkata...

Buang jea Zul Nordin dari PKR, habis cerita...

Nak duduk dalam PR, tapi tak boleh patuh dgn dasar yg ditetapkan oleh PR...buang karen aje...