18 Feb 2010

Ahli Parlimen PR Serah Memo Desak Gugur Kes Anwar

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam tindakan Ahli-ahli Parlimen daripada juak Umno-Barisan Nasional (BN) yang membuat demonstrasi di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia semalam, sebagai tidak wajar dan tidak mewakili hati dan pemikiran mereka.

Malah demonstrasi itu jelas menunjukkan ketakutan pihak Umno-BN yang mendapat tekanan daripada 50 Ahli Parlimen Australia baru-baru ini, meminta kerajaan Malaysia mengugurkan pertuduhan kes liwat terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang tindakan demonstrasi itu langsung tidak menggambarkan keseluruhan pemikiran dan pandangan umum malahan ia hanya mewakili segelintir juak-juak Umno-BN tersebut.

“Ahli-ahli Parlimen PR hari ini mahu memberitahu seluruh dunia bahawa tindakan demonstarasi Umno-BN itu langsung tiada kaitan dengan pandangan dan pemikiran kita,” katanya yang turut ditemani Ahli-ahli Parlimen PR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya lagi, Ahli-ahli Parlimen PR sepakat akan menghantar memorandum kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail agar menggugurkan pertuduhan ke atas Anwar secepat mungkin.

Malah mereka akan memohon satu tarikh bagi mesyuarat tergempar kepada Speaker Dewan Parlimen, Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia sebelum Parlimen bersidang Mac depan.

Sementara itu menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kes itu perlu ditarik balik kerana tidak mahu Malaysia dan badan kehakiman secara keseluruhannya dianggap sebagai raja lawak.

“Kes perlu ditarik balik kerana jelas wujud konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dan kami tidak mahu kes tersebut menjadikan Malaysia dan mahkamah Malaysia menjadi raja lawak sedunia,” katanya dalam sidang media selepas kes Anwar ditunda ke 25 Mac ini.

Ahli-ahli Parlimen yang turut serta dalam sidang media ini termasuklah Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Anwar sendiri.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kes ini adalah suatu penipuan yang sungguh mengaibkan!!