25 Okt 2011

[Video] Buaya, Ancaman Baru Banjir Di Thailand

Bangkok - Thailand berterusan menerima dugaan yang turut dilihat sebagai ujian terbesar untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawtra apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribuan buaya kini berkeliaran di dalam air banjir di pinggir Bangkok.

Amaran itu dikeluarkan semasa penduduk diminta bersedia untuk menghadapi banjir berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kebanyakan buaya air tawar tersebut dipercayai terlepas dari taman hidupan liar selepas sangkar haiwan reptilia itu ditenggelami air.

Kerajaan turut menawarkan ganjaran untuk menangkap kesemua buaya tersebut tetapi pegawai taman hidupan haiwan memaklumkan mustahil untuk mengawal pergerakan haiwan itu jika banjir semakin buruk.

Sementara itu, Yingluck turut mengumumkan penghalang banjir dan pintu air sebagai zon larangan bagi menghentikan gangguan penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.

Pihak berkuasa dan pegawai pentadbiran tempatan juga diberikan kuasa untuk meruntuhkan sebarang struktur yang menghalang operasi kawalan bencana itu.

Bangkok berjaga-jaga banjir besar

BANGKOK - Berjuta-juta penduduk di bandar raya ini bersedia untuk menghadapi banjir besar semalam selepas satu amaran dikeluarkan untuk memindahkan penduduk di beberapa zon bahaya.

"Jika sesuatu menimpa Bangkok, ia akan memberi kesan ke atas seluruh negara.

"Justeru, amatlah penting bagi memberi perhatian kepada Bangkok dalam usaha untuk negara menjadi selamat," kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra menerusi televisyen.

Beberapa bahagian di Bangkok ditenggelami air ketika kawasan di utara Thailand masih dilanda banjir. - Reuters




Tiada ulasan: