4 Mac 2011

Khalid Mahu Peguam Negara Dakwa ADUN Kuang

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim menghantar sepucuk surat hari ini kepada Peguam Negara, Abdul Ghani Patail yang mengesa tindakan undang-undang diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar tanpa permit, Selangor Terkini.

Pengakuan terbuka Ketua Penerangan UMNO Selangor itu telah disiarkan portal berita, Malaysiakini dan beberapa akhbar utama lain pada 23 Februari lalu.

Tindakan Abdul Shukor menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedarkan kalendar beliau bersama-sama akhbar Selangor Terkini yang didapati menggunakan logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran.

Menteri Besar berpendirian bahawa tindakan Abdul Shukor telah memberi imej buruk terhadap wakil rakyat kerana perbuatannya itu menunjukkan seolah-olah beliau menyokong bahawa sesebuah penerbitan tidak memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Sehubungan itu, Menteri Besar menggesa Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Abdul Shukor kerana bersubahat mengedarkan akhbar tanpa permit dan menggunakan logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran.

Menteri Besar juga telah mengarahkan pegawainya menghantar bukti-bukti kepada pihak polis bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang telah dibuat pada 17 Januari lalu.

Abdul Khalid (gambar kanan) berharap Peguam Negara tidak menutup sebelah mata atau pilih kasih dalam kes ini kerana Abdul Shukor memperlekehkan pentadbiran Kerajaan Selangor dan DYMM Sultan Selangor.

"Saya berharap Peguam Negara akan bertindak tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) dalam hal ini sepertimana yang dituntut oleh rakyat dan undang-undang Malaysia," kata Menteri Besar. -MR

*Kenyataan media daripada sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dakwa najib dulu bini diutamakan....1 malaysia dah tahu

Tanpa Nama berkata...

maukah peguam negara bertindak?