4 Mac 2011

Buang Bayi Dalam Tren Komuter

Pelabuhan Klang: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibungkus dalam plastik hitam ditemui bersama surah Yassin serta sejadah di bawah tempat duduk gerabak depan tren komuter yang berlepas dari stesen Batu Caves dan berhenti di stesen Pelabuhan Klang sini semalam.

Gambar: SEPASUKAN anggota polis memeriksa mayat bayi lelaki yang ditemui dalam beg plastik di stesen Komuter Klang, semalam. Bungkusan hitam diletak bawah tempat duduk.

Mayat bayi itu dibalut dengan selimut bercorak bunga dan masih berdarah itu ditemui kira-kira jam 9.15 pagi semalam oleh seorang pekerja pembersih Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Khalijah Mat Zain, 37, ketika menjalankan kerja pembersihan di gerabak berkenaan.

Siti Khalijah berkata, beliau yang bertanggungjawab mengemas dan mencuci gerabak komuter memulakan rutin harian dengan menyapu lantai tren komuter, menemui bungkusan beg plastik berwarna hitam itu yang diletakkan di bawah kerusi paling hadapan dalam tren berkenaan.

“Ketika menyapu lantai, saya hampir menyapu beg plastik hitam yang berada di bawah kerusi bersebelahan dengan gerabak pemandu. Saya pada mulanya hanya mengambil beg itu dan meletakkan di kerusi luar tren komuter dan meneruskan kerja.

“Selesai kerja, saya meminta seorang rakan membuka bungkusan beg itu dan kami terkejut apabila ia mengandungi mayat bayi.

“Ini kejadian pertama yang berlaku di stesen komuter di sini. Saya sedih dan terperanjat melihat bungkusan itu adalah bayi kecil yang baru lahir, bertali pusat dan masih berdarah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.30 pagi dan mayat bayi itu dipercayai dibuang ketika komuter berkenaan dalam perjalanan ke stesen Pelabuhan Klang di sini.

Mohamad berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat. Kes siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. -BH

Tiada ulasan: