4 Mac 2011

Bumbung Rumah Terbang Dipukul Puting Beliung

Melaka - Tiga rumah penduduk di sini, rosak di bahagian bumbung apabila terlibat dalam kejadian angin puting beliung yang melanda secara tiba-tiba di Taman Rembia Setia, Rembia, petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian jam 4.30 petang itu tidak membabitkan kecederaan berikutan dua daripada pemilik rumah berkenaan tiada di rumah.

Malah, seorang nenek, Leong Gee Ling, 57, yang berada di rumahnya bersama seorang cucu perempuannya berusia 3 tahun turut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Gee Ling berkata, ketika kejadian, dia duduk di ruang tamu, sementara cucunya itu pula sedang tidur di ruang sama.

Menurutnya, semasa kejadian dia menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat di bahagian atas bumbung disusuli dentuman seperti ada barang jatuh.

Katanya, kejadian beritu berlaku begitu pantas sehingga beberapa keping bumbung di bahagian dapur rumahnya musnah dipukul ribut.

“Ketika itu, saya tidak menyangka ia ribut kerana tidak hujan, lalu saya terus duduk di dalam rumah tanpa berbuat apa-apa.

“Bagaimanapun, apabila menyedari jiran berteriak menyuruh saya keluar barulah saya menyedarinya,” katanya.

Sementara itu, R Ganesan, 46, berkata, bumbung rumahnya paling teruk terjejas dalam kejadian itu apabila lima keping di bahagian atas bilik rumahnya musnah.

Menurutnya, ketika kejadian dia bekerja dan mengetahuinya selepas dihubungi oleh jirannya, jam 4.45 petang.

“Ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah kerana isteri dan lima anak berada di Kuala Lumpur,” katanya. -SH

Tiada ulasan: