6 Jan 2010

Jika Sabit Qazaf, Kesaksian Saiful Ditolak Selama-lamanya

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman meminta JAWI tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak tetapi bergerak atas landasan agama Islam dalam membawa pertuduhan Qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata hanya JAWI harus tampil menjawab persepsi umum bahawa pertuduhan qazaf terhadap Saiful tidak diteruskan bagi melindungi kredibiliti beliau sebelum perbicaraan Anwar bermula di Mahkamah Sivil pada 25 Januari ini.

Ini kerana jika di sabit atas tuduhan qazaf, kredibiliti dan keterangan Saiful tidak sama sekali boleh diterima di sisi Islam, kata Kamar.

Beliau berkata Islam amat tegas berhubung tuduhan zina atau liwat sehingga yang menuduh tidak boleh mewalikan pernikahan anaknya.

Peguam berkenaan menzahirkan rasa hairan atas sikap JAWI berpeluk tubuh terhadap aduan qazaf terhadap Saiful sejak Julai 2008.

“Kali terakhir saya menerima surat daripada Jawi ialah pada Jun lalu dan mereka mengatakan siasatan masih dijalankan. Kami sudah beberapa kali menghantar surat untuk mendapatkan status siasatan tetapi tidak ada respon dari Jawi,” kata Kamar.

“Siasatan sepatutnya sudah selesai tetapi saya amat hairan mengapa Jawi membisu sehingga kini?” tanya beliau.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) perlu mendaulatkan sistem perundangan Islam dengan mendahulukan isu qazaf bagi memastikan hak umatnya, terjamin.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, qazaf adalah hak kewajipan seseorang untuk mempertahan diri dari dicemari dan dihina.

Beliau kesal kerana isu qazaf dipolitikkan kerajaan Umno-BN, maka kebenaran tidak terjelma sedangkan ia perlu didaulat dan ditegakkan.

“Kes qazaf yang diminta Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah syariah, sudah lama dan berpanjangan,” katanya kepada Suara Keadilan.

Tiada ulasan: