4 Dis 2010

Puluhan Kenderaan Terkandas Di Pahang Akibat Banjir

Puluhan kenderaan terkandas

KUALA LIPIS - Berpuluh-puluh kenderaan terkandas di laluan Taman Permai dan Chenderas Jaya apabila berlaku banjir kilat di kawasan itu lewat petang kelmarin.

Seorang peniaga, Norziana Mohd Noor, 39, berkata, kejadian banjir kilat bitu berlaku terlalu pantas di mana paras air naik dalam tempoh setengah jam sahaja sehingga menenggelamkan permukaan jalan.

Menurutnya, hujan lebat sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan paras air naik di permukaan jalan sehingga menyukarkan kenderaan ringan seperti motosikal serta kereta melalui kawasan itu.

“Paras air naik terlalu cepat dan dalam kekalutan itu, terdapat kemalangan kecil berlaku membabitkan sebuah motosikal serta kereta.

“Kejadian itu turut memberi kesan kepada perniagaan saya apabila gerai jualan terpaksa ditutup lebih awal akibat dinaiki air banjir,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Seorang penduduk di Taman Permai, Roslan Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian itu berlaku, orang ramai sedang berpusu-pusu keluar dari tempat kerja untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, banjir itu menyebabkan orang ramai terkandas dalam perjalanan ke destinasi masing-masing dan mengambil sedikit masa sehingga air surut.

“Kejadian banjir seperti ini kerap berlaku. Antara punca dikenal pasti ialah masalah perparitan yang tidak dapat berfungsi dengan baik akibat disekat sampah sarap.

“Selain itu, sistem longkang yang kecil dan terhad juga menyebabkan berlaku banjir kilat itu. Saya berpendapat kira perkara ini akan berulang terutama menjelang musim tengkujuh,” katanya.

Roslan berkata, pihak berkaitan diharapkan dapat memainkan peranan dalam usaha menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Penduduk di kawasan ini semakin bertambah dan langkah menaik taraf terutama membabitkan sistem perparitan perlu disegerakan.

“Pihak berkaitan perlu menyelenggarakan dan mengutip sampah sarap di kawasan longkang itu untuk memudahkan laluan air sekiranya berlakunya hujan lebat,” katanya. -SH

Tiada ulasan: