4 Dis 2010

[Bergambar] Banjir Terburuk Dalam 100 Tahun Melanda Balkan

3 negara Balkan isytihar darurat

BERLIN: Suhu di bawah takat beku terus menimbulkan keadaan kelam-kabut di Eropah, manakala di beberapa negara Balkan, keadaan diburukkan lagi dengan banjir yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 100 tahun menyebabkan darurat terpaksa diisytiharkan.

Pegawai berkata pihak berkuasa di tiga negara Balkan, Bosnia, Serbia dan Montenegro mengisytiharkan darurat bencana alam manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat menyebabkan banjir besar di sepanjang Sungai Drina, yang paling buruk dalam tempoh 104 tahun.

Saya tidak lagi melihat sungai dari kediaman saya, tetapi sebuah tasik yang membanjiri kawasan tengah bandar, kata Muris Razanica yang memiliki sebuah hotel di kawasan bukit di Gorazde di Bosnia.

Kawasan ini terkenal dengan kegiatan berakit tetapi jika keadaan berterusan kapal besar boleh berlabuh di Gorazde. Sungguh sukar untuk mempercayainya, katanya.

Agensi pelancongan di Bosnia, menyerahkan rakit mereka kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di sebuah pangsapuri di Foka, apabila paras air naik hingga ke tingkat satu.

Di seberang sungai, pihak berkuasa di Serbia dan Montenegro memindahkan beratus-ratus penduduk ketika Sungai Drina melimpah ke jalan raya dan ladang.
Sekolah terpaksa ditutup dan ramai penduduk terputus bekalan elektrik, manakala bekalan air ke semua tiga negara tercemar.
Di POLAND, jurucakap polis Mariusz Sokolowski berkata 10 orang lagi terbunuh menjadikan angka korban kini 18 orang ketika pihak berkuasa meneruskan kerja mencari dan menyelamatkan penduduk gelandangan daripada cuaca sejuk.

Bagaimanapun, lapangan terbang Gatwick di Britain, lapangan terbang kedua paling sibuk di negara itu dibuka semula semalam selepas ditutup tiga hari, tetapi seorang pegawainya berkata jadual penerbangan terjejas teruk.

Keadaan salji masih buruk, tetapi pekerja kami berjaya membersihkan salji di landasan. Hanya sejumlah kecil penerbangan dapat berlepas, katanya.

Kebanyakan lapangan terbang masih ditutup manakala penerbangan dibatal atau ditangguhkan, manakala jalan raya yang dilitupi salji menyebabkan hubungan terputus. AP









Tiada ulasan: