4 Dis 2010

Lagi Kereta Terbakar, 3 Rentung

Tiga rentung kereta rempuh treler di Rembau

Gambar: ANGGOTA polis melihat kereta yang remuk dan rentung selepas melanggar belakang sebuah treler di KM241 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Pedas hala utara awal pagi tadi. Dalam nahas itu, tiga mangsa turut rentung apabila terperangkap dalam kereta yang terbakar itu. - Foto Dzulkeffli Mustapha

REMBAU - Dua penumpang dan seorang pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi mati terbakar apabila kenderaan mereka dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Km 241.1 berhampiran plaza tol Pedas-Linggi menghala ke utara pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Yusof Samad berkata, kereta terbabit yang datang dari arah Melaka dikatakan melanggar belakang treler panjang itu yang sedang bergerak perlahan di lorong sebelah kiri ketika membawa jengkaut.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit terbakar dan mangsa-mangsa mati rentung. Kita mengeluarkan dua mayat yang sudah rentung di bahagian hadapan serta satu lagi di tempat duduk belakang kereta berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.09 pagi mengenai kemalangan itu sebelum mengejarkan sebuah jentera bersama sembilan anggota ke tempat kejadian.

Mayat mangsa yang belum dikenali dihantar ke Hospital Seremban. - Bernama

Tiada ulasan: