4 Dis 2010

Esok, Sejarah Himpunan ISA Bakal Berulang

Protes air Pakatan, GAPS anti-Selangor esok ulangi himpunan ISA 2009?

Pemimpin GAPS berarak untuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor di Shah Alam petang semalam. — Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Pertembungan dua kumpulan yang bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di sini esok dilihat sebagai ulangan peristiwa himpunan anti-ISA dan pro-ISA yang diadkaan di ibu negara Ogos 2009.

Namun kali ini membabitkan dua kumpulan yang dinamakan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) manakala kumpulan satu lagi adalah kerajaan Selangor yang menganjurkan demonstrasi dan perarakan menentang kenaikan harga air di negeri itu — dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pula akan menyerahkan memorandum berhubung penyelewengan yang berlaku di Selangor yang kini di bawah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kedua-dua kumpulan ini boleh dibezakan dari aspek pemakaian yang mana GAPS akan memakai baju berwarna hitam manakala kerajaan Selangor ataupun boleh dikenali sebagai kumpulan antikenaikan harga air akan memakai baju berwarna merah.

Penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor Dr Badrul Amin Bahron ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan memastikan semua penyokong yang menyertai perarakan berkelakuan baik dan tidak termakan dengan provokasi yang mungkin akan dilakukan GAPS.

“Kepada penyokong saya minta supaya mereka bersabar, berdisiplin, mengikut arahan dikeluarkan, jangan berkelakuan tidak elok dan jangan termakan dengan provokasi yang dibuat pihak satu lagi.

“Memang tujuan mereka (GAPS) untuk buat provokasi tapi biarlah. Kita buat kerja masing-masing, tapi saya anggap mereka ini salah siaran bila nak serahkan memorandum pada hari yang sama dengan kerajaan negeri.

“Bagi saya lebih baik mereka balik sahaja, tidak perlu buat kacau di sana,”
katanya.

Beliau berkata, semua penyokong akan berkumpul di Masjid Negara untuk menunaikan solat Zohor dan solat hajat sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum yang akan diketuai Khalid.

Tambah Badrul Amin, dijangkakan seramai 20,000 orang terdiri daripada Exco kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jentera parti Pakatan Rakyat, ketua-ketua kampung, mahasiswa dan orang ramai akan menyertai perarakan itu.

“Respons sehingga hari ini amat hebat, kita anggarkan 20,000 orang akan menyertai perarakan ini,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dalam kenyataannya hari ini menyeru semua rakyat Selangor untuk bersama-sama mengiringi Khalid untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi PAS Selangor saya ingin menyeru seluruh ahli dan penyokong parti serta rakyat negeri ini agar bersama mengiringi Menteri Besar Selangor dan barisan Exco kerajaan negeri dalam menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Ahad ini (esok).

“Penyerahan memorandum secara aman kepada Yang di-Pertuan Agong itu nanti akan merupakan simbol kesepaduan rakyat negeri Selangor dan rakan-rakan di Wilayah Persekutuan dalam menutut agar bekalan air di negeri ini dikembalikan kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

“PAS Selangor yakin rombongan secara aman itu akan berjaya melaksanakan tugas mereka dan mengharapakan tidak ada mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi atau gangguan sehingga menggagalkan hak bersuara rakyat dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini,” katanya.

Beliau berkata respons positif daripada rakyat Selangor akan membuktikan keprihatinan rakyat bahawa mereka mahu agar pengurusan air diserahkan kembali kepada kerajaan negeri pimpinan Khalid.

“Penyerahan semula pengurusan air kepada kerajaan negeri akan menjamin pengurusan yang lebih efisyen di samping terus menikmati 20 meter padu pertama air percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permit, Badrul Amin berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada polis tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

“Kita sudah beritahu polis dan juga pegawai istana yang akan menunggu kita untuk menyerahkan memorandum tersebut.

“Selain itu, saya juga minta supaya polis dapat bekerja dengan profesional ketika perarakan ini diadakan,” katanya.

Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin pula berkata, pihaknya masih belum menetapkan waktu perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Langkah itu menurut Hamidzun, adalah untuk mengelakkan pertembungan di antara penyokong GAPS dan penyokong kempen kenaikan harga air di Istana Negara.

“Ini bukan pertempuran. Kita adalah masyarakat yang bertamadun di Malaysia,” katanya yang masih belum menetapkan masa untuk perhimpunan tersebut.

“Saya harap kalau mereka boleh buat pada sebelah pagi, kita buat pada sebelah petang. Kalau mereka buat lepas sembahyang Zohor mungkin kita buat lepas sembahyang Asar. Tapi kalau boleh lagi cepat lagi bagus.

“Yang penting, kita ingin menyampaikan hasrat ini tentang 30 perkara penyelewengan kerajaan Selangor,” katanya. Menurut Hamidzun, GAPS akan berkumpul di Masjid Jamek terlebih dahulu sebelum ke Istana Negara.

“Kita bercadang untuk berkumpul di Masjid Jamek secara aman, mungkin selepas bersolat kita akan buat keputusan menyerahkan memorandum pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ketika ditanya mengenai larangan polis supaya tidak mengadakan perhimpunan pada hari itu, Hamidzun berkata, ini adalah negara bebas dan demokrasi sambil menjelaskan hak untuk berkumpul termaktub dalam Perlembagaan.

“Hak untuk berkumpul itu ada, tapi pada masa yang sama kita akan menghormati undang-undang lain. Kita akan berhubung dengan pihak keselamatan dan polis nanti.

“Kita sebenarnya tidak bercadang untuk mengadakan perarakan kerana yang penting memorandum harus disampaikan pada Yang di-Pertuan Agong walau apa cara sekalipun,” katanya.

Sementara itu, polis mengingatkan orang ramai di sekitar Lembah Klang agar tidak menyertai perhimpunan itu kerana penganjur tidak memiliki permit untuk berbuat demikian.

Justeru, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan itu akan disertai dua kumpulan yang akan berarak dari Masjid Negara dan Stadium Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan ke Istana Negara.

“Polis juga percaya ada pihak-pihak tertentu terlibat menggalakkan orang ramai menyertainya,” katanya.

Justeru katanya, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak sepertimana diperuntukkan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 berkenaan perhimpunan tanpa permit. -TMI

Ulasan GB

Dengan pengumuman kenaikan harga minyak, diesel, gula dan gas malam tadi, perhimpunan ini dijangka akan mendapat sambutan dari rakyat.

3 ulasan:

Waris berkata...

Baguslah GAPS nak buat selepas asar utk mengelakkan pertembungan. Negara ni negara demokrasi. Siapa pun boleh berhimpun secara aman. Tapi jgn pulak buat solat hajat lepas tu. Puak2 ni bodohnya MELANTUN-LANTUN...

zuraimi berkata...

JazakAllah GB bagi sokongan perhimpunan Ahad ni...

Hancur BN

Tanpa Nama berkata...

sekalung Tahniah!!! teruskan gerakan yang membela rakyat, BN dan UMNO hanya menindas rakyat...