5 Nov 2010

Tangguhkan Pemilihan, Selesaikan Dulu Isu Yang Dipertikaikan - Mustaffa

Calon timbalan presiden PKR gesa pemilihan ditangguh, selesai semua isu

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersiap sedia untuk mengadakan pusingan susulan pengundian hujung minggu ini, calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub minta agar pemilihan ditangguhkan kerana banyak isu dipertikaikan belum diselesaikan.

“Justeru, bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua, kami mohon supaya status JPP ini digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau jawatankuasa pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada.

“Tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010 seterusnya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Mustaffa Kamil bersaing bersama Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Pengundian tiga hari pertama mulai Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan 68 cabang menyaksikan Azmin berada di depan dan disusuli oleh Zaid dan Mustaffa.

Cadangan agar pemilihan ditangguhkan dan diselesaikan segala isu berbangkit bukan pertama kali dikemukakan.

Ia pernah dibangkitkan oleh Mustaffa sendiri dan beberapa pihak lain sebelum dan selepas pemilihan bahagian berakhir.

Dalam kenyataan media hari ini, Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, “kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini.”

Kata beliau, hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya.

“Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu sepertimana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua.

“Suara anggota akar umbi mestilah dikembalikan dalam PKR,” katanya lagi. -TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BETUL...KEADAAN SEKARANG MENCELARUKAN JANGAN MENJADIKAN NAFSU NAK MENGUASAI PEMIMPINAN TERTINGGI..KEADAAN ROSAK SEMUA...