5 Nov 2010

Kalau Saya Masih Dalam PKR, Saya Akan Pilih Zaid Ibrahim - Zukri Aksah

Kalau saya masih dalam PKR, saya akan pilih Zaid Ibrahim

Oleh Zukri Aksah

Tidak salah sebenarnya untuk mengangkat seseorang yang ada latar belakang kepimpinan UMNO atau BN sebelum ini ke posisi tertinggi yang mungkin dalam PKR. Dalam kehangatan kempen pemilihan PKR sekarang, isu ini tidak sewajarnya dimainkan, lainlah jika ada orang yang boleh menemukan persamaan antara susuk Zaid Ibrahim dengan mana-mana "tokoh" dalam Konsensus Bebas di parlimen.

Kita kena ingat, Nabi Musa lahir dari dokongan Firaun. Sebagaimana Masyitah, si tukang sisir puteri Firaun yang Muslim dalam istana Firaun, Zaid juga ketika masih lagi di dalam UMNO sudah menunjukkan bahawa dia menganut banyak agenda yang diperjuangkan PKR, termasuk Negara Berperlembagaan, mengangkat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan doktrin pemisahan kuasa.

Ini dibuktikannya bila sewaktu menjawat jawatan Menteri Undang-Undang (baca: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Zaid telah meluluskan pembayaran gratuiti kepada bekas-bekas hakim yang telah dipecat di era Mahathir, termasuklah Salleh Abbas, yang sudah sah seorang ahli PAS, pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya, dan pernah menjadi Exco Hisbah dalam Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kekuasaan PAS dari 1999 – 2004. Nyata prinsip yang dipegangnya melangkaui taksub politik.

Masyitah bersama anak-anaknya direbus hidup-hidup oleh Firaun, Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO. Tetapi bila Zaid memilih untuk mencari ruang kepimpinan dalam PKR, apakah akan ada orang PKR pula yang mahu "merebus" Zaid?

Memang mungkin Zaid ada cerita gelap pasal hobi peribadinya satu ketika dahulu. Zaid ketika itu hidup dalam istana UMNO, secara umumnya saya boleh katakan Nabi Musa, ketika hidup di istana Firaun, makan apa yang Firaun makan, minum apa yang Firaun minum. Tetapi selepas wahyu kenabian, Nabi Musa adalah manusia baru yang dibersihkan Tuhan.

Maka ketika dalam istana UMNO, Zaid juga makan apa yang UMNO makan, minum apa yang UMNO minum. Saya suka membaca biografi, saya membaca biografi Almarhum Tunku, saya juga membaca biografi Allayarham Dr. Ismail, kedua-duanya dicerita sebagai "peminum", harus dinyatakan di sini, biografi Almarhum Tunku yang saya baca adalah tulisan Ramlah Adam, yang dikenal sebagai profesor UMNO, buku itu pula diterbitkan oleh DBP.

Cerita Nabi Musa dan Masyitah mungkin contoh yang terlalu besar untuk digandingkan dengan Zaid. Hakikat bahawa Anwar Ibrahim juga bekas pemimpin kanan UMNO, bahkan lebih kanan dari Zaid yang kini sedang diyakini memimpin PKR tidak pernah diperdebatkan kesetiaannya. Kamaruddin Jaafar, juga bekas pemimpin UMNO, pernah dipercaya untuk menjadi Setiausaha Agung PAS, jauh sebelum itu, Kampoo Rajoo, bekas pemimpin BN/Perikatan, pernah beralih ke pembangkang dan kemudiannya menjadi pemimpin aliran kiri yang disegani dan dihormati.

Lalu, kenapa Zaid Ibrahim tidak boleh diberi peluang?

Mungkin saya kelihatan berat sebelah, kerana saya pernah mempertikai perlantikan Fauzi Abdul Rahman, seorang lagi bekas pemimpin kanan Umno (dikenal sebagai sahabat rapat Anwar) sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang. Saya tidak kisah apa yang orang lain kata, kerana saya punya pengalaman peribadi dengan "permainan politik" Fauzi Abd Rahman ini sehari sebelum hari penamaan calon Pilihanraya Umum 2004 (ketika itu Fauzi masih di dalam UMNO). Apa kisahnya saya rasa tidak perlulah saya perturunkan di sini, cukuplah saya katakan tokoh-tokoh dalam PKR Negeri Pahang masih ada untuk menjelaskannya, mereka ialah bekas Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Pahang, Jefri Rashid, dan Cikgu Dzul, bekas calon Parlimen Indera Mahkota dalam PRU2004 itu, boleh juga bertanya Ezam yang ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Saya menyokong Zaid Ibrahim bukan kerana saya kenal rapat dengannya, tidak! Cuma saya memang membaca bukunya, Saya Pun Melayu. Saya juga menyokong Zaid bukan kerana saya benci Azmin, saya tidak punya ikatan atau apa-apa pertalian dengan kumpulan yang menggelarkan diri mereka ABA (Asal Bukan Azmin) itu.

Premis kempen Zaid bahawa ahli perlu melihat parti melangkaui Anwar mengundang sokongan saya, kerana sejak sekian lama, saya juga berpendapat begitu. Sudah tiba masanya ahli PKR secara bersungguh-sungguh memikirkan bagaimanakah bentuk parti ini selepas era Anwar, adakah ia kekal seperti hari ini? Sebuah parti pelbagai kaum dengan dominasi Melayu, PKR membina penampilan yang begitu mempengaruhi persekitaran politik Malaysia kerana bentuk demografiknya benar-benar mewakili bentuk komposisi kaum di Malaysia.

Untuk kekal dalam keadaan begini, PKR mesti terus wujud sebagai parti pelbagai kaum yang dipimpin tokoh Melayu. Saya bukan rasis, bahkan saya begitu menghormati pimpinan-pimpinan muda dalam PKR dari kaum Tionghua seperti Chang Ming Kai dan Jonson Chong, tetapi kita di sini bercakap soal politik "real" di Malaysia.

Persoalannya, siapakah dari barisan kepimpinan Melayu sedia ada dalam PKR yang mampu mengambil-alih dan memimpin parti ini secara "stand alone" dalam ketiadaan Anwar dan Syed Husin, serta dapat pula diterima secara terbuka dan lapang dada oleh fraksi pelbagai kaum yang wujud sekarang ini? Saya tidak mengatakan Azmin Ali tidak hebat, saya juga tidak menafikan kredibiliti Mustafa Kamil Ayub, tetapi saya harus memaksa ahli PKR berfikir apakah akhirnya PKR akan berkesudahan seperti Gerakan? Sebuah parti yang asalnya diasaskan oleh kepimpinan profesional Melayu, dek kerana tiada pelapis pimpinan Melayu yang mampu dominan secara "stand alone" selepas itu, demografik kepimpinan Gerakan akhirnya berubah. Hari ini Gerakan sudah menjadi parti yang dianggap kecil dan tidak berpengaruh.

Mengenali Zaid dari jauh, dialah bagi saya yang berupaya menghalang nasib PKR menjadi seperti Gerakan, kalau tidak, tidak usahlah menggamit mimpi Putrajaya, tidak kesampaian pun! -MR

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Tiada ulasan: