5 Nov 2010

Afiq, Korban Banjir Ditemui Tersangkut Di Jembatan

Kangar: Mayat seorang pemuda yang terjatuh dalam Terusan Arau di Simpang Empat dekat sini Rabu lalu, ditemui tersangkut pada sebuah jambatan di Sungai Baru dekat sini hari ini.

Gambar: Anggota-anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mangsa lemas yang ditemui dalam operasi mencari di Sungai Baru dekat sini, hari ini.

Mayat Muhammad Nurul Afiq Mohd Rozaidi, 21, ditemui orang ramai 8.45 pagi tadi kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh dalam terusan itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin, berkata semasa ditemui, mayat mangsa yang berasal dari Simpang Empat itu telah kembung.

Mangsa dilaporkan terjatuh dalam terusan itu kira-kira 1.05 tengah hari Rabu lalu ketika sedang menunggang basikal di pinggir terusan dan dihanyutkan arus deras.

Usaha mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan SMART sebaik kejadian juga gagal kerana arus kuat namun kawasan kejadian itu tidak dilanda banjir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Tiada ulasan: