5 Nov 2010

2 Lagi Kanak-kanak Dikhuatiri Lemas Di Alor Setar

Dua lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas di Alor Setar

Gambar: Orang ramai melihat Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pasukan Polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa Nur Irshah Rosli, 9 dan Awwad Hakimi Rudaini, 7 kerana dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air kira-kira pukul 12.30 tengah di Tanjung Bendahara dekat sini semalam. Foto Bernama

ALOR SETAR - Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.

Katanya semasa kejadian, ada beberapa orang lagi kanak-kanak bermain di kawasan itu.

"Kanak-kanak itu memberitahu selepas dua mangsa itu terjatuh ke dalam tali air, mereka dipercayai tersedut masuk ke dalam lubang yang dalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Ghafar berkata, orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana air terlalu deras dan kawasan tali air tersebut sangat berbahaya.

Sementara itu, bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Setengah jam kemudian beliau yang berada di rumah menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke tempat kejadian, 500 meter dari kediamannya.

"Sejak awal lagi saya dah nasihat dia (mangsa) jangan pergi main jauh-jauh sebab takut berlaku perkara yang tidak diingini.

"Tiba-tiba saya dapat panggilan dari abang mangsa yang mengatakan Irshah lemas ketika bermain bersama rakan-rakan di tepi tali air yang mengalir deras," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dua kanak-kanak itu sedang giat dijalankan oleh polis dan bomba. Hadir sama di tempat kejadian adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Alor Setar Datuk Chor Chee Heung yang melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Tiada ulasan: