13 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Teori Terjatuh dan Terjun Tercabar Lagi, Teoh Mungkin Diseret

Sekali lagi teori TERJATUH atau TERJUN yang dikemukakan oleh pihak SPRM dan Polis terhadap kematian Teoh Beng Hock tercabar apabila hari ini saksi forensik polis dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock pada Khamis tidak menolak kemungkinan mendiang mungkin diseret sebelum ditemui mati tertiarap di atas lantai tingkat lima Plaza Masalam, di sini, Julai lalu.

Semalam saksi ke 11 Inspektor Mohd Zulaimi Mohd Zubir dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyatakan pegawai penyiasat menjelaskan berkemungkinan dia (Teoh) terjatuh atau ditolak dari salah satu tingkap di tingkat 14. Mahkamah juga diberitahu tiada catatan dibuat oleh Pegawai Penyiasat yang melakukan soalsiatan ke atas Teoh.

Pagi ini, pegawai penyiasat Cif Inspektor Mazli Jusoh (gambar), 31, dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata demikian selepas ditunjukkan kesan geseran pada tapak kasut sebelah kanan mangsa yang ditemui di tempat kejadian, demikian lapor Bernama.

"Setuju bahawa geseran bahagian tapak kasut ada implikasi yang penting?" tanya peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan Mazli menjawab:

"Setuju".

"Adakah kemungkinan si mati diseret?" tanya Malik Imtiaz lagi dan Mazli berkata:

"Tidak, kerana pada kebiasaannya kalau seseorang diseret, ia akan tidak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang, dia akan tahan kaki dengan tumit."

"Tapi kalau diseret dari tepi? Ada kemungkinan?" soal Malik Imtiaz dan kali ini saksi itu menjawab: "Ada."

Mazli kemudian menjelaskan kepada koroner Azmil Muntapha Abas bahawa kesan geseran sehingga menampakkan lapisan kain yang melekat di atas tapak kasut itu bukanlah bahan asing, tetapi merupakan sebahagian daripada kasut itu sendiri.

"Bukan ia (lapisan kain itu) melekat pada kasut masa si mati jatuh?" soal koroner dan Mazli menjawab: "Tidak, kerana ia melekat di situ (atas tapak kasut) dan tidak boleh dicabut."

Bagaimanapun, saksi itu mengakui tidak membuat apa-apa pemeriksaan terhadap kesan tersebut dan berkata: "Untuk pastikan, perlu hantar balik ke kilang kasut.

"Tapi saya ada periksa kawasan kejadian dan tidak menjumpai apa-apa benda yang sepadan dengan bahan yang sama yang melekat pada kasut itu," jelasnya.

Ketika ditanya peguam pemerhati Richard Wee samada terdapat bahagian tajam di luar tingkap tingkat 14 bangunan itu yang boleh menyebabkan seluar mangsa tersangkut dan terkoyak, Mazli menjawab: "Tidak."

Mazli juga berkata beliau tidak pula menjumpai sebarang kesan gentian fabrik seluar pada bingkai tingkap di tingkat 14, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Dalam keterangannya lagi, beliau berkata tingkap seluas hampir 0.6m, dengan ketinggian 0.9m dari aras lantai itu, boleh dilangkah keluar.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil pemeriksaannya menunjukkan tiada kesan tapak kasut di bingkai dan cermin tingkap serta lantai di kawasan tersebut.

"Saya ada periksa kawasan itu, ia berhabuk, kalau berhabuk, dan dipijak mesti meninggalkan kesan (tapak kasut) tapi tiada kesan," katanya.

Beliau berkata hasil ujian cap jari pada bahagian tingkap itu menggunakan kaedah 'dusting' juga adalah negatif kerana keadaan tingkap yang kotor dan berhabuk.

Terdahulu pada prosiding itu, koroner ditunjukkan barang-barang kes yang diperiksa dan diambil pasukan forensik dari tempat kejadian termasuk seluar putih yang terkoyak di bahagian punggung dan berlumuran darah kering, kasut, tali jam dan empat calitan yang diambil di sofa dan tingkap di tingkat 14 pejabat SPRM.

Dalam keterangannya, Mazli memberitahu beliau telah memeriksa kawasan tempat kejadian pada 16 Julai dan menemui sebatang gigi berhampiran mayat mangsa, kesan lekukan atas lantai tempat mayat tertiarap, kesan lekukan pada bingkai tingkap serta kesan patah pada pemegang kunci tingkap di tingkat 14.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Saksi forensik polis dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini mengakui tidak menjalankan beberapa pemeriksaan penting di kawasan tempat mayat setiausaha politik exco Selangor itu ditemui, Julai lalu.

Pegawai penyiasat Cif Inspektor Mazli Jusoh, 31, dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata beliau tidak membuat pemeriksaan cap jari pada mayat mangsa serta pakaian dan tali pinggang yang dipakainya serta di kawasan tempat kejadian berlaku.

Beliau juga tidak mengambil apa-apa langkah untuk memastikan dari mana datangnya kesan berkapur yang terdapat pada tapak kasut sebelah kanan mangsa.

"Bukan tugas saya untuk memeriksa mayat," kata Mazli ketika menjelaskan mengapa pemeriksaan tersebut tidak dilakukan.

Beliau turut ditanya oleh peguam pemerhati Malik Imtiaz Sarwar sama ada melakukan analisis terhadap kesan hitam pada seluar mangsa jika ia sepadan dengan kesan lekukan atas lantai tempat mayat tertiarap dan Mazli berkata: "Tidak buat."

"Jadi, kesan hitam pada seluar yang disebabkan lantai hanyalah anggapan sahaja?" soal Malik dan Mazli mengakuinya.

Dalam keterangannya, beliau juga mengakui tidak melakukan ujian untuk membandingkan kesan calar pada bahagian tingkap di tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tali pinggang yang dipakai oleh Teoh.

Malik Imtiaz: "Ada buat ujian 'dusting' (untuk mengesan cap jari) pada dinding di luar tingkap di tingkat 14?"

Mazli: "Tidak, saya hanya buat pemeriksaan secara mata kasar (bila jenguk ke luar tingkap)."

Katanya, beliau hanya mengambil dua sampel calitan pada sofa tempat Teoh dikatakan duduk dan berbaring dalam pejabat itu, tetapi tidak melakukan ujian 'polylight'.

Ujian polylight juga tidak dilakukan di tingkat lima, tempat di mana mayat Teoh dijumpai 16 Julai lalu.

Prosiding di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok


Tiada ulasan: