13 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Operasi Buah Pala Gagal, Ditunda 1 Sept (updated)

Pemaju Nusmestro ventures (P) Sdn Bhd hari ini gagal dalam dua cubaan untuk meroboh 23 unit rumah di Kampung Buah Pala, Gelugor di sini setelah beberapa kali menangguhkan hasrat itu beberapa minggu lalu.

Pemaju membawa kira-kira 100 pekerja bersama sekurang-kurangnya tiga jentolak untuk merobohkan rumah-rumah itu.

Penduduk Kampung Buah Pala Bru diberi tempoh sehingga 1 September ini untuk mengosongkan rumah masing-masing sebelum dirobohkan.

Keputusan itu itu dicapai dalam rundingan bersama pemaju, Nusmestro Ventures (P) Sdn Bhd, penduduk terbabit dan polis sebentar tadi.

Sebelumnya, bailif Mahkamah bersama dua Pengarah Nusmetro, Garry Ho dan Thomas Chan dilihat berbincang dengan pihak polis yang berada di kawasan itu pada kira-kira pukul 9.30 pagi untuk meneruskan hasrat meroboh kediaman di situ.

Bagaimanapun, percubaan pekerja pemaju untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 11 pagi dan 1 tengah hari dihalang oleh penduduk yang berkumpul di Jalan Kaki Bukit iaitu kira-kira 100 meter daripada laluan masuk ke kawasan itu sejak awal pagi ini sambil menjerit ke arah pekerja-pekerja berkenaan.

Keadaan di kawasan itu tegang ketika ini dan penduduk kebanyakannya wanita dan kanak-kanak masih tidak berganjak dari tempat mereka berdiri walaupun hujan turun dengan agak lebat pada sebelah pagi.

Penduduk juga dilaporkan mengumpul tahi lembu sebagai persediaan untuk bertindak balas sekiranya rumah mereka dirobohkan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penduduk mahupun pekerja syarikat itu yang cedera.

Hampir 100 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am dan polis berada di kawasan itu untuk mengawal keadaan.

Turut kelihatan berada di situ ialah Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC 11 Wan Abdullah Tunku Said tetapi enggan mengeluarkan sebarang kenyataan ketika ini.

Sejak beberapa minggu lalu, kontroversi Kampung Buah Pala menghiasi dada akhbar berikutan keengganan penduduk di situ berpindah keluar daripada kampung berkenaan walaupun Mahkamah Persekutuan telah memerintahkan mereka mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.


Tiada ulasan: