13 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Calon PAS Permtg Pasir Diumum Esok

Pas akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir esok, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, demikian lapor Bernama.

"Calonnya (senarai nama) dah ada dalam poket, cuma ia akan diumumkan malam esok di Permatang Pasir," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada pemberita selepas mesyuarat majlis tertinggi pakatan pembangkang di Tropicana Golf and Resort di sini.

Abdul Hadi berkata, pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir adalah satu simbol menarik kepada Pakatan Rakyat kerana yang Pas akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dipegang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri yang diperintah Ketua Menteri DAP.

"Itu yang menarik," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada Pas pada 31 Julai lalu.

Penamaan calon ialah pada 17 Ogos ini manakala pengundian ditetapkan pada 25 Ogos.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib, dengan majoriti 5,433 undi.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua parti sama ada PKR mahu pun DAP telah mencapai kata sepakat untuk menyokong calon Pas itu.

"Di sini saya ingin menjelaskan jentera Pakatan Rakyat telah dikerah dan kita (PKR dan DAP) akan beri sokongan padu kepada calon Pas," katanya.

Mesyuarat pakatan pembangkang itu turut dihadiri Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali; dan Exco Selangor, Ronnie Liu.

Tiada ulasan: