24 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Exco ADUN Lunas Digugurkan - MB Kedah

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan mana-mana exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan.

"Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim di Wisma Darul Aman di Alor Star, Azizan berkata Pakatan Rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Mohd Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Mohd Radzhi, yang dilantik memegang portfolio exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini, Mohd Radzhi berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan exco.

Sementara itu, Ahmad berkata PKR kesal sikap tidak bertangungjawab Mohd Radzhi yang keluar parti.

"Khabar angin dia hendak melompat telah lama kedengaran tetapi mengapa dia pilih hari ini untuk keluar parti. Ia tidak lain untuk melemahkan PKR dan merendahkan pimpinan PAS Kedah," kata Ahmad.

Ahmad berkata PKR akan meminta Mohd Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket parti itu.

Kedah mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN, manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.

Pengerusi, Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah, Ahmad bin Kassim menyatakan PKR Kedah telah menerima maklum bahawa ADUN Lunas yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohammad Radzhi Salleh ADUN daripada PKR telah mengumumkan pendiriannya itu pada sidang media di Kuala Lumpur, mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat Kedah katanya beliau amat kesal dengan sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Telah menjadi satu kebiasaan apabila ada pilihanraya kecil, akan ada isu-isu lompat parti. Beliau menjangkakan ini adalah sebahagian daripada tindakan yang dirancang oleh Barisan Nasional untuk memanipulasi isu menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos nanti.

Prestasi lemah Radzhi di dalam kerajaan negeri juga dikatakan amat mengecewakan pimpinan parti, ini termasuklah tuntutan perbelanjaan beliau yang tidak munasabah, dan masalah perkahwinannya di Thailand yang kini sedang dalam proses di Mahkamah.

Beliau telah diberikan amaran keras untuk membuat perubahan prestasi kerja beliau dan khidmatnya di kawasan, namum beliau tidak bersedia untuk melakukan perubahan yang membuatkan ia mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Ekoran daripada itu juga Cabang Padang Serai telah digantung oleh MPP dan diambil aleh pengurusan dan pentadbirannya oleh Majlis Pimpinan Negeri sehingga mesyuarat agung cabang yang akan diadakan nanti. Keputusan ini dibuat pada mesyuarat MPP 26 Julai 2009 yang lalu.

Sehubungan dengan itu katanya, kepimpinan PKR Kedah berdiri teguh mendokong dan menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri Ust. Azizan bin Abd. Razak sebagai Menteri Besar dan selanjutnya mencadangkan kepada YAB Menteri Besar untuk memohon pekenan KDYMM Tuanku Sultan Kedah mengugurkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pimpinan Parti Keadilan Kedah juga menurut kenyataan itu, mendesak YB Radzi juga untuk meletak jawatan sebagai ADUN Lunas.

Tiada ulasan: