3 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Anwar Mahu PAS Bertanding Di Permatang Pasir

Secara peribadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu calon Pas diberi peluang bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak lama lagi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata langkah itu wajar kerana prestasi wakilnya, Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman cukup baik dan menggalakkan.

“Kawasan itu adalah kubu kuat Pas dan saya menghormati kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahlinya di Permatang Pasir selama ini.

“Secara peribadi, saya nasihatkan mereka (ahli PKR) supaya memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kawasan itu,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis kahwin di rumah seorang penduduk di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh diminta mengulas gesaan beberapa pemimpin PKR agar parti itu diberi peluang bertanding kerusi berkenaan atas alasan ia semakin kuat dan mantap di Parlimen Permatang Pauh termasuk DUN Permatang Pasir.

Bagaimanapun, Anwar berkata ia akan dibincangkan pada peringkat tertinggi memandangkan cadangan sudah dikemukakan kepada parti sebelum dirujuk kepada pakatan pembangkang untuk pertimbangan.

“Melalui konsep musyawarah, pandangan dan hasrat akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan pakatan pembangkang sebagai menghormati permintaan mereka.

“Kita perlu memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan walaupun secara peribadi berpendapat mereka harus mengambil kira persetujuan yang dicapai antara pakatan pembangkang sebelum pilihan raya umum tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima siapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan pembangkang sebagai calon dan bertanding di situ kelak.

Menurutnya, faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada pilihan raya kecil walaupun terdapat kecenderungan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang, terutama di Semenanjung meningkat.

“Calon yang bakal diketengahkan perlu mempunyai kewibawaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya mengenai tahap sokongan rakyat kepada pembangkang di Permatang Pasir terus teguh berikutan kemenangan tipis Pas di Manek Urai, beliau berkata keadaan atau latar belakang penduduk Manek Urai amat jauh berbeza dengan Permatang Pasir.

“Saya yakin rakyat akan terus menyokong pembangkang. Kemenangan Pas di Manek Urai perlu dihormati kerana sebelum ini ia tidak pernah memenangi pilihan raya kecil di Kelantan.

“Pengundi Permatang Pauh sudah cerdik dan dapat menilai apa yang berlaku di negara ini. Mereka tahu memilih calon yang boleh bekerja untuk rakyat,” katanya.

Secara sinis, beliau mahu pengundi Permatang Pasir meminta pelbagai projek pembangunan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan apabila pemimpinnya turun berkempen kelak.

“Mintalah macam-macam projek kerana saya yakin ia akan dilimpahkan ke kawasan Permatang Pasir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Sungguhpun begitu, mereka mesti terus mengundi Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Sementara itu, jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh telah lama bersiap sedia menghadapi sebarang pilihan raya, kata Setiausaha PAS Permatang Pauh, Ahmad Kamal Ahmad.

Katanya, jentera PAS terutamanya di Unit Peti Undi (UPU) tidak pernah dibubarkan di keseluruhan Parlimen Permatang Pauh iaitu di Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Malahan sambungnya, ia sentiasa bergerak sebagai satu pasukan dengan jentera Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan) Cabang Permatang Pauh sejak Pilihan raya Kecil Permatang Pauh dan Penanti.

"Semua jentera kita bersiap sedia untuk berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) di N11 Permatang Pasir. Banyak isu sedang menanti untuk penceramah kita sebarkan," ujarnya ketika diminta pandangan mengenai persiapan terkini jentera PAS di situ.

Apapun kata beliau, malam ini PAS Kawasan akan berbincang mengenai nama-nama calon untuk dikemukakan kepada negeri bagi proses terakhir pemilihan sebelum diisytiharkan kemudianya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah bertekad mengerakkan semua jentera pemuda untuk memperkasakan Majlis Tindakan Dun (MTD) Permatang Pasir di samping memperbanyakan program kepemudaan di situ.

Tegasnya, bagaimanapun bukan sekarang pergerakan bermula bahkan sebelum ini lagi ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti.

"Yakinlah kita pasti menang lagi di sini namun yang jelas ialah kerjasama dan pergerakan bersepadu dari segenap segi," tambahnya.


Tiada ulasan: