23 Feb 2010

Tokong Lama Di Kuala Terengganu Terbakar

Sebuah tokong berusia lebih 200 tahun di Kampung Cina di sini terbakar, mengakibatkan kira-kira 60 peratus tempat ibadat kaum itu hangus dalam insiden kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Pegawai Bomba Tertinggi Terengganu, Mohamed Amin Mohamad Basir, berkata kebakaran berlaku di bahagian tengah tokong dan sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba Jalan Kota dan Kuala Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau yang ditemui pemberita hari ini berkata, seramai 13 anggota dan dua pegawai bertugas memadamkan kebakaran dan api dapat dikawal kira-kira 25 minit kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Ketua Polis Daerah ACP Zamri Samsuddin berkata, siasatan awal polis mendapati tidak wujud elemen sabotaj atau khianat dalam kebakaran tokong berkenaan.

"Kebakaran bermula dari kawasan dalam tokong dan punca sebenar kebakaran kita telah serahkan kepada bomba untuk menyiasat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw, ketika ditemui pemberita semasa melawat tokong itu berkata rumah ibadat berkenaan adalah antara tokong tertua dan terbesar di negeri ini.

"Kita berasa sedihlah dengan insiden ini dan saya dimaklumkan bahawa tokong ini dilihat berasap kira-kira pukul 9.30 malam dan ketika itu pintu dikunci oleh penjaganya.

"Orang ramai dapat melihatnya, tetapi tidak dapat masuk untuk memadamkan api dan kemudian menghubungi bomba dan polis. Tokong ini memang tokong lama dan kebanyakan barangan binaan diimport dari negara China. Banyak barangan berharga yang sukar diganti," katanya yang menolak wujudnya unsur khianat atau sabotaj.

Penjaga tokong yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata ketika itu beliau berada di rumah dan dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh anaknya.

"Ini adalah kejadian kali kedua selepas lima tahun lalu dan saya berasa sedih kerana saya dah jaga tokong ini lebih 10 tahun," katanya.

Kebakaran tokong disedari seorang pemasang kain rentang yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 19, yang kemudiannya menghubungi bomba dan polis.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, yang turut melawat tokong berkenaan berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan dalam pembinaan semula tokong berkenaan. - Bernama



Murugiah Keluar PPP Jika Tak Diisytihar Presiden

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata beliau akan meninggalkan Parti Progresif Penduduk (PPP) jika Mahkamah Tinggi mengesahkan beliau bukan presiden parti itu yang sah.

Mahkamah dijangka mendengar pada 1 Mac ini permohonan Murugiah supaya pengisytiharan Tribunal Timbang Tara Malaysia (Mate) bahawa beliau adalah presiden PPP yang sah dikuatkuasakan.

"Tapi sekiranya saya tewas, saya akan tinggalkan parti bersama-sama 210,000 ahli PPP di seluruh negara yang kini berada bersama-sama saya. Kami akan mencari satu platform yang baru selepas itu," katanya kepada pemberita malam tadi selepas satu perjumpaan dengan penyokongnya di sini.

Murugiah dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas, terbabit dalam pertelingkahan merebut jawatan utama parti berkenaan sejak Mei tahun lalu.

Murugiah telah mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa yang menyaksikan beliau dipilih sebagai presiden tetapi Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan bahawa Kayveas adalah presiden yang sah.

Mate pula mendapati Murugiah adalah presiden yang sah dan ini mendorong beliau mengemukakan permohonan di mahkamah supaya keputusan tribunal itu dilaksanakan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Diana Md Razali, menetapkan tarikh 1 Mac ini untuk sebutan kes yang difailkan oleh Murugiah pada 28 Dis tahun lalu untuk menguatkuasakan keputusan Mate itu.

Sambil berjanji akan akur dengan sebarang keputusan mahkamah nanti, Murugiah berharap Kayveas juga tidak akan menimbulkan sebarang bantahan jika keputusan tidak memihak kepadanya. - Bernama



Kedah Lipatganda Hasil Balak Dari RM8 juta Semasa BN Kepada RM38 juta Dibawah PR

Walaupun pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap kerajaan negeri Kedah namun hakikatnya Pakatan Rakyat berjaya melipat ganda pendapatan daripada pembalakan berbanding pentadbiran lama Umno-Barisan Nasional.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Kedah berjaya memperolehi pendapatan sebanyak RM38 juta berbanding RM8 juta sahaja di bawah BN.

"Saya merasa hairan bagaimana kerajaan negeri dapat pulangan lumayan berbanding pulangan pembalakan zaman BN yang hanya dapat jumlah yang sikit dan ke mana perginya untung balak semasa pentadbiran mereka.

"Kejayaan kerajaan negeri mengamalkan tender terbuka menjadikan perancangan lebih teratur bagi menyalurkan projek kepada kontraktor-kontraktor bagi meneruskan pembalakan," kata Datuk Seri Azizan.

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia menganggu pentadbiran negeri dengan dakwaan berlaku penyelewengan pembalakan tetapi pada masa yang sama agensi itu gagal menyiasat mana perginya keuntungan pembalakan ketika pentadbiran BN.

"Kita dah tau taktik kotor BN yang sentiasa tutup penyelewengan mereka tetapi sengaja mengadakan cerita untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah yang berada pada tahap yang memuaskan.

"Sistem tender secara terbuka memberi pulangan terbaik kepada kerajaan negeri kerana perbezaan tinggi sehingga puluhan ribu ringgit seekar daripada kontraktor untuk merebut kawasan pembalakan menjadikan keputusan adil dicapai tanpa berlaku penyelewengan kepada mana-mana kroni," tegas beliau.

Menurutnya Menteri Besar lagi kerajaan negeri membuat perancangan terbaru dengan bantuan Bank Islam Malaysia yang memberi pinjaman RM350 juta untuk membina Universiti Islamiah di Kedah.

"Projek kita bina Universiti Islamiah hanya RM350 juta dan jika kerajaan pusat atau BN nak bina universiti yang sama akan menelan mencecah belanja lebih RM1 bilion.

"Kerajaan negeri sentiasa merancang pengurusan kewangan sebaik mungkin tanpa berlaku sebarang pembaziran," katanya pada ceramah isu semasa bersama Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan di Jeniang, Kedah semalam.

Ceramah tersebut dihadiri lebih 50,000 penyokong Pakatan Rakyat. -SK

Kerajaan UMNO-BN Tidak Amanah Urus Wang Rakyat

Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria membidas laporan Mingguan Malaysia yang mendakwa kononnya Kelantan tidak layak menguruskan wang ihsan yang ingin disalurkan oleh kerajaan pusat.

Akhbar ini memetik Datuk Ibrahim Ali, yang disifatkan pakar lompat parti, sebagai mendakwa kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak layak menguruskan wang ehsan kerajaan persekutuan Umno-Bn.

Tanpa merujuk kepada rekod Ibrahim Ali mahupun Umno bersabit nilai-nilai amanah, Zamri mempersoalkan tindakan Umno menyalurkan dana dan peruntukan lain menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan yang ditubuhkannya.

“Kalau tidak layak mentadbir, saya rasa JPP pun tidak layak. Sebab JPP ialah kerajaan yang haram. Kelantan ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, JPP ditubuh oleh kerajaan pusat, kerajaan dalam kerajaan secara haram” katanya.

Untuk rekod, Kelantan diperakui mempunyai keupayaan begitu tinggi dalam menguruskan bajet kewangan yang terhad akibat pelbagai kekangan kerajaan pusat.

Malah jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan pimpinan Umno sebelumnya yang berjumlah lebih 220 juta ringgit telah dilangsaikan oleh kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz.

Zamri berkata anasir-anasir seperti Ibrahim Ali harus mengukur baju di badan sendiri dan berani mempersoalkan pucuk pimpinan Umno mengenai nilai-nilai amanah.

“Kita tanya balik, Najib memerintah kapal terbang hilang, dokumen hilang, rahsia kerajaan hilang, kereta Perdana di SUK Kuala Terengganu pun hilang, sama lah. Tidak boleh memerintah kalau hendak kira begitu. Lago dahsyat. Beli Scorpine.. kapal selam tidak boleh menyelam kan” kata Zamri.

November tahun lalu, Najib mengumumkan akan memberikan wang ihsan RM 20 juta ringgit kepada Kelantan dan menolak tuntutan kerajaan negeri untuk wang royalti yang dianggarkan satu billion ringgit.



Ku Li Berhujjah, Tok Pa Tong Sampah

Royalti: Ku Li sarat hujjah, Tok Pa tong kosong?
Oleh Subky Latif

TENGKU Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas berpendapat bahawa negeri dan kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang dihasil di pesisir pantai negeri itu tidak kira berapa jauh ia ke tengah laut.

Kalau pun royalti itu diganti dengan wang ihsan, maka wang itu mesti dimasukkan ke dalam khazanah negeri. Tiada pihak lain yang boleh mentadbirnya.

Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabansa dan Industri dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan berkeras mengatakan negeri Kelantan tidak berhak atas royalti itu kerana telaga minyak yang beroperasi adalah di luar kawasan tiga batu nautika dengan pantai negeri itu.

Menteri itu kebetulan anak Kelantan telah menjadi jurucakap kerajaan pusat dan Petronas sedang dia tidak ada kena mengena dengan urusan pengeluaran minyak. Kementeriannya tidak menjaga urusan pengeluaran minyak dan dia tidak ada apa-apa kedudukan dalam Petronas.

Orang yang boleh bercakap tentang perkara itu ialah Perdana Menteri dan Timbalannya serta Pengerusi Petronas. Jika ganti royalti itu adalah wang ihsan, maka orang-orang tadi yang layak bercakap dan cara mana wang ihsan itu hendak digunakan.

Cakap orang lain adalah tidak rasmi.

Ada pun Tengku Razaleigh adalah pengasas Petronas dan orang yang bertanggungjawab merangka merangka polisi dan operasinya. Ketika itu mungkin Mustafa Mohamad belum menyambung pelajaran ke Australia.

Ketika Petronas diasaskan sudah ada satu badan ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal pengeluaran minyak itu di bawah Kementerian Perusahaan Utama yang menjadinya ialah Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang. Kira-kira Taib Mahmudlah orang yang dikira akan menjadi orang penting pengurusasn minyak.

Ketika itu Indonesia sudah ada badan pengurusan minyak negaranya yang dinamakan Pertamina yang ketuanya ialah Ibnu Sutowo. Ibnu Sutowo ini dikira orang kedua penting di Indonesia selepas Presiden Suharto. Orang minyak yang penting bagi Arab Saudi pula ialah Sheikh Zaki Yamani.

Taib Mahmud telah dibayangkan akan jadi macam Ibnu Sutowo dan Zaki Yamani bagi Malaysia.

Entah bagaimana Perdana Menteri Tun Razak telah menggantung badan yang diasaskan di bawah Taib Mahmud tadi dan menteri itu sendiri ditukarkan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dia bukan saja hilang peluang untuk menjadi orang penting industri minyak bahkan hilang kementerian. Dia ada kerusi dan beberapa orang pembantu saja di tempat barunya itu.

Dalam suasana itu orang utama Bank Bumiputera itu iaitu Tengku Razaleigh dipilih oleh Tun Razak untuk mengasaskan Petronas sebagai ganti kepada badan yang dimansuhkan yang diketuai oleh Taib Mahmud tadi.

Orang yang masih hidup yang tahu perkembangan pertukaran dari Taib Mahmud itu selain dari Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh ialah Tun Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Dan negeri yang dikenal pasti sudah ada minyak ketika itu ialah Sarawak dan Sabah.

Kemudian barulah dipanggil pegawai kerajaan yang paling penting di Pejabat Peguam Negara Tan Sri Salleh Abbas membantu Pengerusi Petronas merangka Akta Petronas dan perjanjian dengan negeri-negeri tentang pembahagian keuntungan minyak Petronas itu.

Tun Abd. Rahman adalah orang yang cukup rapat dengan Tun Razak dan boleh dikira penasihat paling penting Tun Razak dalam perkara itu. Mungkin beliau tidak duduk dalam Petronas, tetapi dia adalah orang yang tahu tentang permulaan Petronas itu dibentuk selain dari Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas.

Tengku Razaleigh adalah orang penting UMNO paling rapat dengan Tun Razak tidak dilantik menjadi menteri tetapi dia kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Petronas dan Bank Bumiputera. Kedudukan itu menjadi dia lebih penting dari menteri-menteri selain dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas adalah orang paling tahu tentang dasar asal dan lain-lain selok belok Petronas. Kalau nak tahu apa itu ISA dan pembentukan Malaysia tanyalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dan bila mahu tahu tentang Petronas tanyalah Ku Li dan Tun Salleh Abbas.

Merekalah menjadi saksi paling penting kes yang melibatkan Petronas. Ada pun Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hassan Marican adalah orang yang berpengaruh dalam Petronas setelah Petronas sudah gagah dan perkasa.

Ada pun Datuk Mustapa Mohamad selain dari orang yang tiada apa-apa pengalaman tentang Petronas, pengetahuan tentang Petronas pun amat sikit dan pengaruh dengan badan itu pun hampir tiada.

Maka dia tidak lebih dari jurucakap UMNO Kelantan saja tentang pergelutan tuntutan royalti minyak antara Kelantan di satu pihak dan kerajaan pusat dan Petronas di pihak yang lain.

Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menurunkan status royalti minyak Terengganu kepada wang ihsan. Telaga minyak yang pernah memberi royalti kepada Terengganu dulu terletak lebih jauh dari pantai Terengganu dibandingkan dengan telaga yang dituntut haknya oleh Kelantan sekarang.

Sejarah royalti menjadi wang ihsan adalah sejarah baru yang tidak dilakukan atas kehendak undang-undang dan kebenaran, tetapi ia lebih dirangsang oleh serakah hawa nafsu pemimpin UMNO tak bermaruah Terengganu sebagai helah bagi merampas semula Terengganu dari PAS. Sampai akhir mahkamah yang dibelenggu Perdana Menteri itu tidak bersidang atas saman kerajaan Terengganu atas rampasan royaltinya sejak zaman pentadbiran Dr. Mahathir dulu.

Justeru itu Ku Li dilihat dalam memperkatakan isu royalti itu sarat dengan hujah, tetapi Tok Pa dilihat kosong, hanya sarat dengan nafsu dan peluru kosong.

22 Feb 2010

PR Akhirnya Bersetuju Tubuhkan Jawatankuasa Petroleum

Seruan GB supaya Pakatan Rakyat bangun, supaya peka mengenai isu royalti akhirnya disambut apabila Pakatan Rakyat hari ini bersetuju melantik Datuk Husam Musa sebagai pengerusi jawatankuasa khas berhubung isu royalti petroleum di empat buah negeri pengeluar minyak.

GB sebelum ini telah menyatakan di SINI bahawa kita tidak boleh hanya menumpukan kepada isu inkues Teoh Beng Hock dan isu liwat Saiful. PR perlu bangun. PR perlu bantu Kelantan. Perlu heret kerajaan Malaysia dan Mustapha Mohamad ke muka pengadilan. GB menyatakan:

Berdasarkan Perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang ditandatangani dintara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas, tindakan Dato Seri Mustapha Mohammad yang secra berterusan menafikan hak royalti minyak Kelantan itu boleh diambil tindakan mahkamah.

Para peguam Pakatan Rakyat perlu berusaha untuk mengheret Mustapha dan kerajaan BN ke muka pengadilan. Jangan kesemua peguam hanya bertumpu kepada inkues Teoh dan liwat Saiful.

Kelantan Bangun! PR Bangun!


Menurut TVSelangor hari ini, “Pakatan Rakyat bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa petroleum, melihat kepada keseriusan isu ini. Betapa banyak sumber negara diambil oleh Pusat dan hak negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dinafikan. Maka kita cadang untuk melantik Datuk Husam Musa mempengerusikan jawatankuasa khas bagi pihak Pakatan Rakyat," kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Dalam pada itu juga, kita akan tetap akan turun dan jelaskan kepada rakyat bagaimana hak mereka dirompak oleh pemerintah, kerana kita takut dana yang sudah kurang sekarang ini tidak dibelanjakan untuk rakyat bawahan," tegas beliau.

Menyentuh isu yang sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas Umno kerana memutar belit dan menggambarkan Kelantan seolah-olah meminta sedekah.

Bahkan Hadi berkata perkataan royalti telahpun wujud sejak dahulu lagi namun ianya ditukar kepada wang ehsan.

“Bahkan setiap belanjawan yang dibentangkan samaada dahulu semasa Datuk Seri menjadi Menteri Kewangan, perkataan royalti itu digunakan dengan rasmi oleh kerajaan. Jelas bahawa tindakan menafikan perkataan ini wujud, lebih dari itu menukarnya kepada wang ehsan seolah-olah negeri meminta sedekah," tegas Hadi.

"Walhal wang tersebut bukan hak dia. Ini satu tindakan yang rakus, dari nafsu yang bercanggah dengan prinsip Persekutuan dan perjanjian yang sepatutnya dihormati," tambah beliau.

PR Tubuh Jawatankuasa Displin, Memantap Gagasan

Dalam satu lagi usaha untuk bergerak seiring, tiga parti komponen Pakatan Rakyat hari ini bersetuju menubuhkan jawatankuasa pusat displin bagi memperkukuhkan gagasan berkenaan.

Jawatankuasa tata tertib itu merentasi kepentingan parti dalam usaha memantapkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah badan yang dinamik dan mampu menyelesaikan masalah displin yang bertindih.

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat petang tadi.

Keputusan ini dicapai atas hasrat rakyat mahukan Pakatan Rakyat mengukuhkan imejnya dalam berdepan dengan isu-isu dalaman yang cuba diputar belitkan oleh seteru politik.

Ini termasuk kritikan melulu dan perang mulut antara pemimpin tertentu dalam PAS, parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Jawatankuasa tata tertib peringkat pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah akan menangani segala permasalahan sedemikian.

"Kita juga cadang untuk memperkemas jawantankuasa tatertib yang diputuskan dahulu dan meminta Sivarasa mempengerusikan jawawtankuasa ini yang diwakili oleh ketiga-tiga parti, dan melaporkan kepada kita dalam mesyuarat akan datang".

Datuk Seri Anwar berkata jawatankuasa displin pusat itu tidak menjadi penghalang kepada ahli parti komponen Pakatan Rakyat untuk memberikan kritikan membina.

“Pertamanya ada ruang dalam parti yang mereka boleh suarakan. Misalannya Ahli Parlimen parti Keadilan boleh suarakan bangkangan dan bantahan kepada mesyuarat mingguan PKR yang kita adakan setiap minggu. Kita tidak pernah menyebut tidak boleh, tetapi biar munasabah. Kalau kita panggil rakan kita komunis, itu luar dari batas tatasusila dan adab," tegas Anwar.

Anwar berkata forum untuk ahli parti memberi pandangan, malah kritikan di sediakan di pelbagai peringkat.

“Jadi kalau ada andaian seolah-olah ada di kalangan ahli parlimen atau kepimpinan parti tidak boleh menyuarakan pendapat, tidak benar. Mesyuarat kepimpinan DAP boleh bincang apa sahaja yang berbangkit, begitu juga dalam PAS atau Keadilan," kata Anwar.

"Kemudian ahli parlimen ada forum dan setiausaha pakatan rakyat ada lima enam jawatankuasa yang boleh suarakan pandangan," tambah beliau. -TVS



Tindakan Khalid Samad Tidak Rayu Adalah Wajar

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata beliau tidak akan merayu hukuman jawatankuasa disiplin PAS yang menggantung keahliannya selama enam bulan berkuatkuasa 29 Januari lalu.

Khalid dikenakan hukuman tersebut selepas didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.

Khalid turut digantung daripada menjadi yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti.

Sebelum ini, jawatankuasa disiplin turut mendapati Hasan bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut hanya memutuskan memberi amaran bertulis kepada Hasan. Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Saya tidak akan rayu kerana apa yang saya nak rayu itu tidak akan masuk dalam buku (tidak akan diambil kira). Setakat hendak kurangkan hukuman itu tidak termasuk dalam kategori rayuan," katanya.

Tambahnya, surat penghukumannya daripada jawatankuasa disiplin itu juga tidak menyatakan kesalahannya dengan khusus.

"Kalau hendak rayu, saya akan minta supaya PAS zahir kejujuran dan sikap setiakawan yang tinggi,” katanya dalam satu sidang akhbar dipejabatnya hari ini.

"Tindakan juga mesti diambil kepada pihak yang gugat kepentingan Pakatan Rakyat kerana orang akan nilai kita sebagai parti Islam kena pentingkan kejujuran dan keikhlasan biarpun dengan orang bukan Islam," katanya.

Menurut Khalid berkata, beliau juga berpendirian untuk tidak merayu keputusan tersebut kerana ia tidak menjejaskan kedudukannya di dalam PAS.

Jelasnya, jawatannya sebagai yang dipertua PAS Shah Alam dibuat melalui proses pemilihan dan bukannya satu jawatan lantikan. Jawatannya itu tidak terjejas kerana PAS pula tidak mengadakan sebarang pemilihan tahun ini, katanya.

"Tuan Ibrahim (Tuan Man) kata tidak ada masalah untuk saya turun sebagai rasmikan program seperti biasa. Saya masih boleh berfungsi sebagai ahli parlimen," katanya yang menambah beliau hanya tidak dibenarkan mempengerusikan mesyuarat parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid juga berkata beliau akan mengadakan satu pertemuan dengan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim esok bagi membincangkan penubuhan satu jawatankuasa khas berkaitan penggunan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Jawatankuasa itu juga, katanya akan mengkaji peruntukan enakmen undang-undang Majlis Agama Islam Selangor dalam isu pemberian tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Jelasnya, penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan pertemuannya dengan Sultan Selangor bulan lalu.

Khalid berkata beliau akan meminta supaya beliau diletakkan sebagai pengerusi dalam jawatankuasa tersebut, yang mungkin dibentuk di peringkat Selangor ataupun di peringkat parlimen. -malaysiakini

Ulasan GB

Tindakan YB Khalid Samad untuk tidak merayu diatas hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin adalah wajar.

Malah bagi GB, keseluruhan proses penghakiman dan pengadilan terhadap Khalid Samad dan Hassan Ali itu adalah katun, tidak adil dan tidak boleh dikuatkuasakan samasekali keputusannya.

GB telah mengulas kedudukan Jawatankuasa Disiplin PAS di SINI

Terang dan jelas bahawa Jawatankuasa Disiplin PAS yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man itu tidak mempunyai kredibiliti sebagai sebuah jawatankuasa disiplin.

Datuk Mustafa Ali sendiri menyokong cadangan supaya perlembagaan PAS dipinda bagi membolehkan jawatankuasa disiplinnya dipengerusikan oleh pihak yang benar-benar bebas dan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

GB telah mengkritik Jawatankuasa Disiplin Parti di dalam beberapa siri entri yang lalu yang tidak jelas siapa yang melantik mereka, atas kapasiti apa mereka dilantik, mekanisme apa yang digunakan didalam perlantikan itu dan setakat mana ilmu kehakiman yang mereka ada untuk menjadi seorang anggota yang mampu menjalankan keadilan di dalam parti.

Ramailah juak-juak UG bangkit menempelak GB lantarannya.

Kini, ternyata apa yang GB utarakan adalah benar bahawa Jawatankuasa Disiplin Parti perlu ditukar ahlinya, perlu dirombak, perlu diperkasakan supaya ianya tidak bias dan dapat melaksanakan tugas menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua.

Dan apabila diakui bahawa JK Disiplin parti perlu dibebaskan segera ini bererti keputusan JK Disiplin yang lalu terhadap kes Hassan Ali dan Khalid Samad adalah terbatal dan tidak boleh diakui sebagai adil dan saksama. Ia perlu dibicarakan semula "oleh sebuah Jawatankuasa Disiplin yang berkredibiliti".


GB yakin bahawa perlantikan Tuan Ibrahim Tuan Man dilakukan oleh Mustafa Ali sendiri berdasarkan kenyataan: Menjelaskan rasional pemilihan Tuan Ibrahim, Mustafa berkata, “beliau yang palik layak” memikul tanggungjawab tersebut. -malaysiakini

Tidak dinyatakan kenapa paling layak.

Dan Tuan Ibrahim memasukkan pula Ustaz Abdul Baqi Othman (bekas PJ Pahang) sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya. Nama Abdul Mutalib Embong sepastinya juga cadangan dari Mustafa Ali. Bagitu kaedah mereka melantik Jawatan Disiplin PAS. Secara gitu-gitu. Perlantikan secara kedai kopi. Tiada mekanisma khusus. Tiada angkat sumpah kepada "hakim-hakim" ini untuk melaksanakan tugas untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Hentikanlah segala karut-marut ini.

Ramalan GB Tepat Lagi - Petronas Methanol Labuan Pula Meletup

Ramalan GB berlaku lagi dengan tepat. Bernama melaporkan satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.

Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku pada pukul 11.37 pagi tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Duah buah jentera bomba masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan tersebut, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.

Pada 13 Disember lalu, di bawah tajuk 1Petronas Akan Terbalik Dan Pecah Perut? GB menyatakan:


GB dapat merasakan bahawa berita "buruk" untuk Petronas akan terus terhidang di dada media selagi Petronas gagal menunaikan kewajipannya membayar royalti kepada pihak yang sepatutnya menerimanya.

1Petronas juga bakal terbalik dan pecah perut?


Di dalam kejadian hari ini, bercakap kepada satu sidang akhbar, ketua produksi PML Mohd Kamis Abdul Manap berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.

"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini. Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini. Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," kata Mohd Kamis.

Petronas Methanol Labuan memiliki loji methanol yang dibina pada 1984 dan mampu menghasilkan 60,000 methanol setahun.

Pelanggan terbesar PML adalah loji propilena Methyl Tertiary Butyl Ether (MTBE) di Kuantan, Pahang dengan keperluan tahunan sebanyak 110,000 tan.

Pasaran lain termasuklah Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan China.

Pada tahun 2007, dua pekerja sub-kontrak Petronas cedera parah terbakar dalam satu letupan ketika melaksanakan kerja pengimpalan di plant PML di Rancha-Rancha.

Ulasan GB

Peristiwa letupan ini berlaku sebaik sahaja Datuk Mustapha Mohammad mengiklankan apa yang dikatakan "penjelasan" terhadap isu royalti secara besar-besaran di akhbar media arus perdana.

Ada lagi yang bakal meletup jika royalti Kelantan masih tidak mahu diindahkan.

Kita tunggu dan lihat.


Kalimah Allah Dalam Tin Susu

Penemuan kalimah Allah dalam tin susu di rumah penduduk, Mohd Nasir Bakri, 41, dari Taman Kota Jaya dekat sini yang pertama terjadi, berbanding penemuan sebelum ini yang berlaku pada binatang, awan dan pokok-pokok.

Mohd Nasir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin itu ketika dua anaknya, Siti Aisyah, 14 dan Siti Solehah, 11 hendak membancuh teh dengan susu berjenama F&N itu ke dalam gelasnya.

Sebaik menceduk susu, satu sinar bercahaya tiba-tiba terpancar dari dalam tin yang sudah semakin berkurangan kandungannya itu.

“Apabila anak saya maklumkan kejadian itu, saya dan isteri segera mendapatkan tin susu dan nak pastikan sama ada benar atau tidak itu perkataan Allah”

“Selepas saya belek daripada dekat dan di kawasan terang, memang jelas kalimah Allah bertulis jawi tertulis dari baki susu yang melekat pada dinding bukannya kerana goresan pada dinding tin itu,” katanya

Katanya, dalam keadaan penuh terharu dan berasa bertuah menyaksikan kebesaran Allah di depan mata itu. Beliau dan isteri, Zaharah Sarip, 41, menganalisis bersama mengenai tulisan yang terbentuk daripada susu itu, dan mendapati tulisan khatnya cukup jelas dan menarik terutama pada huruf ‘ha’.

Beliau kemudian membiarkan susu itu terdedah diluar peti sejuk selama kira-kira sejam, kerana membayangkan kemungkinan susu itu akan mencair dan tulisan itu akan hilang.

Tetapi, sehingga semalam tulisan itu masih kekal dan beliau terus menyimpannya di dalam peti sejuk bahagian sejuk beku.

“Sesungguhnya inilah kebesaran Allah SWT yang hendak ditunjukkan kepada kami sekeluarga. Ini juga suatu kejadian yang amat bersejarah, penuh hikmah dan bertuah kepada kami sekeluarga”

“Nampaknya, ketika semua orang sedang bertentang pendapat mengenai isu nama Allah. Nampaknya bukan manusia sahaja yang hendak menyebut nama Allah, susu pun nak sebut nama Allah” katanya.

Beliau berkata, susu berjenama itu beliau beli seminggu lalu di sebuah pasar raya di bandar itu. Tanpa menyedari akan berlaku kejadian itu, sudah lebih tiga hari beliau sekeluarga sama-sama menggunakan susu itu untuk minuman seharian, dan selama itu juga penutup tin itu sudah terdedah.

Untuk memelihara dan memastikan tin beserta kalimah Allah itu akan terus tersimpan dan menjadi kenangan seumur hidupnya. Dalam satu dua hari ini, beliau bercadang untuk memotong tin itu supaya dapat diratakan dan akan memfremkannya.

Pegawai Tadbir Agama, Mohd Taufik Kiayai Samsudin, (gambar) ketika dihubungi memberikan pandangan bahawa kejadian-kejadian seperti itu bukan suatu yang pelik, dan itu adalah antara bukti semua makhluk Allah di atas muka bumi ini berzikir kepada Allah termasuk susu.

Beliau berkata, susulan penemuan itu juga menuntut supaya manusia sentiasa mengingati kebesaran Allah dan ambil pengajaran daripadanya.

“Itu adalah petunjuk, peringatan dan hidayah daripada Allah untuk mendidik jiwa kita para manusia yang sering lupa dan lalai”

“Apabila berlakunya kejadian yang pelik dan istimewa seperti itu, ramai orang kita hanya menganggapnya sebagai satu keajaiban semata-mata.”

“Sepatutnya, selepas kita menganggapnya sebagai satu yang ajaib, kita mesti susuli emosi kita dengan lafaz kesyukuran bahawa itulah kekuasaan dan kebesaran Allah” katanya. -Amad Bahri Mardi

Murugiah Gelar Kaum India Yang Tak Sokongnya Sebagai 'Kambing Hitam'?

Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memohon Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dipecat berikutan kenyataannya yang menggelar kaum India yang tidak menyokong beliau sebagai 'kambing hitam'.

Kenyataan Murugiah yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai itu didakwa mengguris perasaan kaum India di negara ini dan menunjukkan beliau tidak mempunyai sensitiviti terhadap kaumnya sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sivik Malaysia, B Subramaniam, yang mewakili lapan NGO berkenaan, berkata kenyataan Murugiah itu boleh membangkitkan kemarahan kaum India sekali gus menghakis kepercayaan terhadap dasar kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kata-kata Murugiah itu jelas membelakangkan aspirasi 1Malaysia.

"Justeru, kami berharap Perdana Menteri dapat mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan kebiadapan Timbalan Menteri ini yang kononnya mengaku diberikan tugas menjaga hal ehwal orang india tetapi sebaliknya tergamak menghina kaum bangsanya sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim, di sini.

Kira-kira 50 ahli lapan NGO berkenaan berkumpul di luar bangunan pejabat Perdana Menteri membantah kenyataan T Murugiah itu.

Jumaat lalu, akhbar Makkal Osai menyiarkan kenyataan Murugiah yang menggelar orang India yang tidak menyokongnya sebagai 'kambing hitam'.

Murugiah dan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas, terbabit dalam pertelingkahan merebut jawatan utama parti berkenaan sejak Mei tahun lalu dan Murugiah kemudian mengadakan EGM yang menyaksikan dia `dipilih' sebagai presiden tetapi Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan Kayveas adalah presiden sebenar.



Isu Tuntutan Nafkah Punca Isteri Badrul Tuntut Fasakh

Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 21 April ini bagi sebutan semula kes tuntutan cerai fasakh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Hakim Syarie, Abdul Hakim Soleh membuat keputusan berkenaan selepas memerintahkan defendan memfailkan pembelaan berikutan tidak bersetuju dengan beberapa terma-terma dalam tuntutan plaintif, Ramizah Mazlan, 39.

Pada prosiding sebelum itu, Abdul Hakim bertanya kepada Badrul tarikh beliau menerima saman tuntutan cerai fasakh daripada isterinya.

"Saya menerimanya pada 12 Februari 2010, 8:30 malam," katanya yang tidak diwakili peguam.

Badrul hadir bersama ibunya juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah membaca dan memahami isi kandungan saman tersebut.

Bagaimanapun beliau memaklumkan tidak bersetuju dengan beberapa terma tuntutan fasakh berkenaan.

Ramizah hadir dengan berbaju kurung flora, bertudung kuning, seluar merah hadir di mahkamah bersama anak lelaki bongsunya serta peguam bela, Norrasyada Osman.

Di luar mahkamah peguam syarie Norrasyada berkata, anak guamnya memfailkan tuntutan pada 4 Februari lalu di mahkamah yang sama.

Menurutnya, defendan hanya menyetujui lima terma daripada 24 terma yang disenaraikan dalam tuntutan cerai fasakh isterinya.

“Walaupun satu terma tidak setuju, defendan kena failkan pembelaan.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat mendedahkan kandungan tuntutan kerana menghormati permintaan anak guam saya,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, secara umumnya, ia melibatkan isu tuntuan nafkah di bawah Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu mengenai pembubaran perkahwinan secara fasakh.

Pasangan tersebut bernikah pada 31 Julai 1993 di Klang. Mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Pada 20 Oktober tahun lalu, Badrul Hisham Abdullah semalam mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN). -thestar



Isteri Badrul, ADUN Pelabuhan Klang Tuntut Cerai Fasakh

Ramizah Mazlan, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini.

Wanita berusia 31 tahun itu membuat 24 tuntutan terhadap Badrul mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Selangor tapi hanya lima tuntutan sahaja dipersetujuai bersama.

Ramizah diwakili peguam, Norrasyada Osman.

Badrul yang turut hadir di mahkamah, tidak diwakili oleh peguam.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Malik Soleh mengarahkan Badrul melantik peguam bagi mewakilinya untuk meneruskan perbicaraan tuntutan tersebut.

Tuntutan itu ditangguh pada 21 April depan.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 31 April 1993 dan dikurniakan lima anak tapi tidak lagi tinggal sebumbung.

Badrul sebelum ini dikecam hebat apabila mengisytihar keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN mesra Barisan Nasional (BN). -TVS

Saluran Tersumbat Kerana PAS Fobia Dengan Kritikan

Saluran .. Pastikan Jangan Tersumbat Oleh Dr. Hamzah Jaffar, TPJ PAS Negeri Pahang.

Bahagian 1
‘Seandainya kamu menyeleweng nescaya kami akan membetulkan kamu dengan ‘blog’, wahai Saidina Umar’.

Mana-mana organisasi samada yang bersifat gerakan Islam mahupun ‘organisasi biasa’, semuanya terdedah kepada masalah. Kebiasaannya, semua masalah dilihat ‘negatif’ tetapi ianya adalah ‘positif’ bagi mereka yang bijaksana dalam mengurus dan mengolah masalah. Sebab itu kita sering mendengar ungkapan dari pakar motivasi yang berbunyi ‘kegagalan itu adalah sumber kejayaan’. Bukankah kegagalan itu dianggap sesuatu yang negatif?

Dalam organisasi, antara masalah yang sering timbul ialah wujudnya ahli yang mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap organisasi yang dianggotainya secara terbuka lebih-lebih lagi dalam dunia blog yang beroperasi tanpa wayar.

Kadang-kadang mengkritik, menegur dan memberi pandangan secara beradab dan ‘ikut saluran’ masih dianggap satu masalah oleh sesetengah pimpinan organisasi apatah lagi jika ianya dibuat secara terbuka. Kalau ada di kalangan pimpinan beranggapan mengkritik, menegur dan memberi pandangan itu satu masalah maka itu menggambarkan organisasi itu ‘sudah jumud’. Berada dalam organisasi yang jumud amatlah rugi dan merugikan.

Apa yang perlu dalam menangani masalah kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka ini ialah memperkemaskan ‘sistem saluran’ bagi menyalurkan kritikan, teguran dan pandangan secara aman, beradab dan bersopan. Seandainya sistem saluran tidak dibaiki dan diubahsuai, sesuai dengan masa kini maka organisasi akan terus bergelora. Kita akan menyaksikan, suasana ahli bawahan akan terus menerus mengkritik, menegur dan memberi pandangan secara terbuka, tidak mengikut saluran. Hal yang sama juga akan berlaku di pihak pimpinan, di mana mereka akan terus mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap ahli bawahannya secara terbuka, tidak ikut saluran. Akhirnya berlakulah ‘tembak menembak’ di alam maya antara pimpinan dengan ahlinya. Yang pasti dalam situasi begini, pimpinan sentiasa dilihat betul kerana mereka adalah pimpinan dan ahli pula tetap dilihat bersalah, tak ikut saluran kerana mereka adalah ahli bawahan. Semuanya ini berlaku kerana sistem saluran yang kabur dalam organisasi tersebut. Justeru itu sistem saluran harus diperkemas dan diperjelaskan kepada ahli bawahan dan juga pimpinan organisasi.

Perkara kedua yang perlu ada bagi mengatasi masalah kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka ialah kejujuran samada di pihak pimpinan dan juga ahli bawahan. Kedua-dua pihak hendaklah jujur untuk membangunkan organisasi yang dianggotainya lebih-lebih lagi jika organisasi itu adalah sebuah jamaah Islam. Kedua-dua pihak hendaklah merasa takut pada Allah swt dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Harus diingat, tanggungjawab bukan hanya terpikul di bahu pimpinan tetapi ia juga di bahu anggota atau ahli.

Di pihak pimpinan, hendaklah ia jujur menerima dan memberi perhatian terhadap setiap kritikan, teguran dan pandangan dari ahli bawahan sekiranya ia benar walaupun ianya mungkin terkena pada diri sendiri. Di kala inilah para pimpinan harus sentiasa ingat akan kata-kata yang sering bermain di bibirnya ketika berceramah, berkuliah dan berusrah iaitu ‘Pedang inilah wahai Umar yang akan membetulkan kamu, jika kamu menyeleweng’. Ungkapan ini sering bermain dibibir apabila diamanah sebagai pemimpin setelah dipilih oleh perwakilan.

Seandainya pimpinan jamaah Islam tidak sanggup dikritik, ditegur dan diberi pandangan, usahlah menyebut ungkapan di atas lagi sebagaimana tak wajarnya kita membaca Surah Al Asr di akhir majlis sedangkan setiap program hatta mesyuarat sekalipun, kita jarang menepati masa. Hendaklah kita merasakan bahawa kita berdosa kerana bercakap perkara yang kita sendiri tak buat.

Simboliknya zaman dahulu orang popular dengan ‘pedang’ untuk membetulkan sesuatu perkara. Namun kini orang hanya menggunakan ‘blog’ untuk menegur dan mengkritik serta memberi pandangan dalam organisasinya. Inilah ‘pedang’ untuk membetulkan pimpinan mana-mana organisasi di masa kini. Seandainya pedang alam maya ini tidak diiktiraf oleh pimpinan organisasi masa kini lebih-lebih lagi organisasi Islam yang bernama jamaah Islam, NGO Islam atau gerakan Islam maka mereka akan dilihat dan dianggap masih hidup di zaman primitif.

Seandainya Saidina Umar ra masih ada pada hari ini nescaya akan ada orang yang berkata ‘seandainya kamu menyeleweng nescaya kami akan membetulkan kamu dengan ‘blog’ wahai Saidina Umar’. Pastinya Saidina Umar akan bersyukur kerana ada orang yang berani menegurnya walaupun ia seorang yang garang dan tegas.

Di pihak orang bawahan pula hendaklah mengemukakan kritikan, teguran dan pandangan mengikut saluran, dengan penuh jujur dan taqwa semata-mata untuk kebaikan organisasinya. Jagalah adab dan tatasusila ketika menyusun dan merakamkan ayat-ayat di dalam blog.

Ya... apabila hendak mengkritik, menegur memberi pandangan ‘ikut saluran’ dengan penuh adab sopan maka timbul persoalan, saluran manakah harus diikut?

Insya Allah…akan datang saya akan mencadangkan saluran yang sesuai dengan masa kini untuk diamalkan oleh mana-mana organisasi agar tidak timbul suasana huru hara dalam organisasi. Saya juga akan kupas kenapa ahli suka buat kritikan, teguran dan memberi pandangan secara terbuka berdasarkan rumusan yang saya buat sewaktu mengendalikan kursus organisasi ‘kepejabatan’ yang tidak jauh bezanya dengan organisasi ‘pertubuhan’.

Saya akan menjadikan kisah Saidina Umar ra dengan Said bin ‘Aamir di bawah sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah beroganisasi.

‘Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Saidina Umar ra sebagai Gabenor di Himsh. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar ra mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar ra memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’ mengharapkan mudah-mudahan setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab :

Bahagian 2
Bagaimana Bentuk Saluran Tersumbat Dalam Sesebuah Organisasi & Penyelesaiannya Masakini

Biasanya apabila muncul kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka terhadap mana-mana organisasi maka terpancullah kalimat penyedap dan penyelamat ini dari pimpinan, ‘Sebenarnya kita terbuka. Cuma kita mahu setiap kritikan mestilah ikut saluran’, ‘kita sedia berbincang’ dan macam-macam lagi.

Tegur menegur memang bagus. Kadang-kadang dipanggil ingat mengingati, muhasabah atau nasihat menasihati. Allah swt pernah tegur Nabi saw yang berpaling daripada orang buta kerana memberi perhatian kepada pemuka Quraisy sehingga teguranNya itu terpahat dalam al quran Surah ‘Abasa.

Persoalannya kenapa dewasa kini, kritikan, aduan dan teguran serta pandangan untuk organisasi dibuat secara terbuka. Sebabnya ialah kerana tindakan demikian dilihat lebih diberi perhatian oleh pimpinan organisasi dan keduanya mungkin ‘saluran’ untuk berbuat demikian telah tersumbat atau kabur.

Contohnya baru-baru ini kita lihat bagaimana rintihan isteri yang memohon wang simpanan suaminya (yang menyimpan wang suaminya untuk bekalan hari tua) bagi membiayai kos hospital, tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan walaupun dibuat mengikut saluran. Namun apabila dibuat secara terbuka di media lalu terus diluluskan.

Cadangan dan pandangan serta kritikan terhadap SPR yang dibuat ‘ikut saluran’ tidak mendapat perhatian tetapi apabila ia dibuat secara terbuka dengan mengadakan himpunan ‘BERSIH’, barulah ada sedikit tindakan yang agak positif sehingga pengerusinya bersedia untuk bertemu dengan wakil BERSIH dan parti politik.

Kita juga boleh lihat bagaimana pantasnya pihak-pihak yang berkenaan bekerja menyelesaikan masalah, apabila masalah dan aduan rakyat dibuat secara terbuka di media seperti TV3 dan seumpamanya sedangkan sebelum itu, telah dibuat mengikut saluran, tapi tiada tindakan dan tidak berbekas.

Begitulah perbezaan antara kritikan, aduan, teguran atau mengemukakan pandangan yang dibuat ‘secara terbuka’ berbanding dengan ‘ikut saluran’.

Tetapi sekiranya organisasi tersebut mempunyai mekanisma yang baik dalam menerima aduan dan kritikan serta pandangan ahli maka saya yakin tiadalah aksi ‘secara terbuka’ yang amat tidak disukai oleh pimpinan organisasi. Lebih selamat lagi sekiranya pimpinan organisasi bertindak pantas dengan mengambil tindakan segera menyelesaikan aduan atau kritikan yang ditimbulkan ahli bawahannya.

Hayatilah kisah Saidina Umar r.a dalam menangani aduan penduduk Himsh yang mana Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Umar r.a sebagai gabenor mereka. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar r.a mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin ‘Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya Ya Umar :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan atau menyelesaikan masalah kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar r.a memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’, dengan harapan agar setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab, Wahai Umar, saya rasa tak wajar saya menceritakan masalah peribadiku namun kerana adanya aduan maka aku terpaksa menjelaskannya.

1. Wahai Umar, saya tidak menerima kunjungan tetamu pada waktu malam kerana saya telah jadikan waktu malam untuk Allah sedangkan waktu siang hari untuk manusia/rakyat jelata.

2. Wahai Umar, saya sering datang lewat ke pejabat kerana saya tidak mempunyai orang gaji maka saya sendirilah yang menguli tepung gandum sehingga ia mengembang lalu dibakar untuk diberi makan kepada keluarga aku. Setelah siap menyediakannya barulah aku keluar ke pejabat yang kebiasaannya telah hampir waktu tengahari.

3. Wahai Umar, saya hanya mempunyai sehelai sahaja baju untuk dipakai. Dalam sebulan ada satu hari saya membasuh pakaianku itu. Saya tunggu pakaian itu kering barulah saya pergi ke pejabat.

4. Wahai Umar, sewaktu saya masih kafir, saya pernah menyaksikan seorang sahabat Nabi saw bernama Khubaib bin ‘Adiy,yang menerima siksaan dari Orang Kafir Quraisy yang telah mencederakan tubuhnya di hadapanku namun aku tidak menolongnya. Apabila aku teringat akan peristiwa itu, tak semena-mena aku rasa terkilan dan terasa berdosa. Sebab itulah aku keluar dari majlis.

Kisah ini mempunyai banyak pengajarannya. Antaranya ialah :

1. Aksi Saidina Umar r.a yang berusaha membuat lawatan ke Himsh menggambarkan sikap ambil berat pemimpin terhadap setiap aduan atau masalah yang ditimbulkan lalu menyelesaikannya dengan pantas agar api fitnah tidak terus menyala.

2. Aksi sedemikian juga menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a berusaha untuk mendengar sendiri aduan rakyat tanpa mengutus wakil sebagai ‘orang tengah’. Kerana kadang-kadang orang tengah banyak menyembunyikan fakta dan realiti sebenar yang boleh menjejaskan kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu daripada sampai ke pengetahuan ketua.

3. Apabila ada aduan yang berupa dakwaan maka Saidina Umar r.a menunjukkan keadilannya dengan memberi peluang kepada Said bin ‘Aamir untuk menjawab segala dakwaan/aduan dari rakyatnya secara terbuka. Manakala dakwaan dan jawapan itu pula dibuat di hadapan rakyat jelata agar rakyat sendiri dapat menilai penjelasan yang sebenar dari kedua-dua belah pihak.

Sehubungan dengan itu kita melihat bahawa ada organisasi yang pemimpinnya berjiwa besar, sanggup bersemuka dengan orang bawahannya secara terbuka asalkan ianya dapat menyelesaikan masalah sehingga membawa ketenangan dan kebaikan kepada organisasi yang dipimpin agar organisasinya mantap dan terus kukuh.

Walau bagaimanapun, menyelesaikan masalah samada berupa aduan, kritikan, teguran dan cadangan, boleh juga dibuat dengan mengikut saluran sekiranya itu satu kaedah yang berkesan bahkan sememangnya itu adalah kaedah yang lebih beradab dan berakhlak.

Namun, kenapakah wujud kritikan, teguran dan pandangan yang dibuat secara terbuka oleh ahli atau anggota terhadap satu-satu organisasi yang dianggotainya sedangkan saluran untuk berbuat demikian telahpun disediakan? Banyak sebabnya. Antaranya ialah kerana disebabkan saluran yang disediakan itu, didapati tersumbat atau kabur. Apakah bentuk-bentuk saluran yang dikatakan ‘tersumbat’ yang biasanya berlaku dalam sesebuah organisasi? Antaranya ialah :

1. Pemimpin organisasi samada yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan seumpamanya bersikap diktator atau bahasa mudahnya disebut ‘tak nak dengar cakap orang lain’. Atau …

2. Pemimpin bersifat terbuka tetapi orang di kiri kanannya pula (samada setiausaha organisasi atau PA/setiausaha peribadi) yang menyekat maklumat dan kritikan, teguran dan pandangan dari sampai ke pengetahuan pemimpin. Atau …

3. Pemimpin bersifat terbuka tetapi gaya dan penampilannya pula tidak mesra sehingga orang merasakan beliau seorang yang susah bergaul apatah lagi hendak mendengar aduan dan masalah. Atau …

4. Dalam mesyuarat tiada ruang yang cukup untuk mengemukakan pandangan, kritikan, teguran atau muhasabah. Atau ..

5. Ada ruang yang cukup dalam mesyuarat untuk berbuat demikian tetapi pengerusi mesyuarat atau pimpinan kanan organisasi bersifat ‘suka potong cakap’ ahli mesyuarat. Atau …

6. Kritikan, aduan, teguran dan pandangan telah dibuat mengikut saluran organisasi menerusi setiausaha oraganisasi atau setiausaha ketua jabatan tetapi ianya tidak dipanjangkan atau diistilahkan sebagai 'dibakul sampahkan' kerana mungkin kritikan, aduan, teguran serta pandangan itu menyentuh hal peribadi setiausaha atau rakan-rakan setiausaha atau pimpinan yang boleh dirumuskan sebagai menyentuh kepentingan mereka yang berkepentingan. Atau …

7. Tiada ketelusan di pihak pengurusan organisasi di mana mereka yang mengemukakan aduan secara resmi dengan mengikut saluran akan dipandang serong atau diboikot bahkan mungkin terpencil dari organisasi. Atau …

8. Sikap tidak mengambil berat pimpinan terhadap kritikan dan cadangan walaupun ia dikemukakan mengikut saluran utama organisasi seperti di dalam mesyuarat agung tahunan atau muktamar.

Ini adalah bentuk-bentuk yang boleh dianggap ‘saluran tersumbat’ yang saya rumuskan dalam beberapa seminar yang pernah saya 'handle / uruskan' untuk kakitangan kerajaan dan swasta. Rumusan di atas dipersetujui dan diperakui oleh peserta yang hadir sebagai antara sebab kenapa mereka memendam rasa atau mereka membuat kritikan secara terbuka di dalam blog atau membuat surat layang.

Untuk menjadikan kritikan, teguran dan pandangan itu positif, bermanfaat dan berguna bagi merubah organisasi sehingga menjadi sebuah organisasi yang cemerlang maka diperturunkan beberapa cadangan berikut :

1. Pemimpin organisasi yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan barisan pemimpinnya hendaklah jujur dalam menerajui organisasi lebih-lebih lagi organisasi yang bernama jamaah atau gerakan Islam. Rasa jujur dan bertanggungjawab juga hendaklah ada di jiwa petugas organisasi yang berhubung kait dengan pemimpin seperti setiausaha, setiausaha kerja, PA/setiausaha peribadi dan seumpamanya.

2. Ruang untuk menyuarakan pendapat atau muhasabah hendaklah dibuka sebaik mungkin agar ahli atau AJK Tertinggi Organisasi dapat meluahkannya dengan penuh tanggungjawab tanpa halangan dari pengerusi/presiden dan pimpinan kanan organisasi.

3. Menyediakan mekanisma terkini dalam menerima aduan dan cadangan dengan menerima pakai aduan, kritikan atau teguran serta cadangan yang dibuat menerusi e-mail dan sms. Sistem e-mail dan sms bolehlah dianggap sebagai bank aduan dan cadangan. Alamat e-mail dan nombor untuk sistem sms hendaklah diberitahu kepada ahli bawahan.

Mekanisma ini telah diterima pakai sebagai sah oleh kebanyakan jabatan kerajaan termasuk bank-bank yang amat mengambil berat mengenai kebertanggungjawaban dan kesahihan. Aduan dan cadangan menggunakan surat yang mesti bertandatangan sudah boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Bukankah kita pernah menerima e-mail atau sms dari pihak-pihak tertentu dan ianya dianggap sah termasuk surat yang tertulis “Surat ini adalah cetakan berkomputer dan tidak memerlukan tandatangan”?.

4. Menubuh Jawatankuasa Urusan Aduan & Cadangan Ahli (JUADAH) yang dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan dalam organisasi. Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang tidak berada dalam struktur organisasi.Orang yang tidak berada dalam organisasi, mereka tiada tugas yang spesifik. Orang yang tiada tugas, biasanya tiada kerja organisasi dan bila tiada kerja maka mereka adalah bebas dari melakukan kesalahan berorganisasi. Ini berarti mereka adalah bebas dari kritikan dan aduan.

5. Tugas JUADAH ialah :

a. Menerima aduan dan cadangan-cadangan dari ahli menerusi sumber yang sah samada menerusi surat, e-mail atau sms.

b. Meneliti dan menyerah aduan atau cadangan yang diterima, kepada AJK Tertinggi Organisasi untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkaitan dengan aduan atau cadangan. Umpamanya aduan yang berkaitan dengan lajnah atau biro ekonomi hendaklah diserah kepada pengerusi lajnah atau biro terbabit. Aduan yang berkaitan dengan organisasi hendaklah diserah kepada Pengerusi atau Presiden atau Setiausaha Agung Organisasi terbabit untuk dibincang dalam AJK Tertinggi.

c. Memberi tempoh yang cukup kepada AJK Tertinggi Organisasi atau lajnah/biro yang berkaitan dengan aduan atau cadangan itu, untuk memberi respon atau mengambil tindakan terhadap aduan dan cadangan tersebut.

d. Memaklumkan kepada pengadu status tindakan terhadap aduan dan cadangan yang telah atau yang akan diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap aduan atau cadangan tersebut.


Yakinlah bahawa seandainya saluran untuk membuat kritikan, teguran dan mengemukakan cadangan disediakan secara sistematik dan diurus dengan jujur, penuh tanggungjawab maka sesuatu organisasi itu akan terhindar dari fitnah ‘peperangan alam maya’ dengan menggunakan senjata blog. Dan kalau pun ada, mungkin ianya boleh diklasifikasikan sebagai ‘peluru sesat’.

Seperkara yang harus diingat kepada pemimpin organisasi, jangan sama sekali berlaku tidak adil atau melakukan kezaliman apabila menerima aduan. Jangan jadi seperti orang yang membuat lapuran polis lalu pelapurnya yang disiasat, bukannya apa yang dilapurkan.

Sebagai seorang mukmin apatah lagi mukmin yang berada dalam organisasi jamaah atau gerakan Islam, hendaklah kita sentiasa merasakan seolah-olah kita melihat Allah dan kalau perasaan sedemikian tidak dirasai di hati dan jiwa kita maka sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat kita.

Ingatan saya ini adalah untuk saya, para pemimpin jamaah Islam dan penyokong-penyokong yang aktif menulis blog. Wallahu ‘A’lam.

Insya Allah, blog baru akan saya sentuh cerita panjang mengenai Said bin 'Aamir, kenapa Saidina Umar melantiknya sebagai gabenor. Saya akan posting pada hari Isnin Insya Allah.


Ulasan GB

Apa yang dikemukakan oleh Dr. Hamzah tersebut di atas perlu diberikan perhatian oleh pimpinan tertinggi PAS terutama oleh Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agong, Ketua Penerangan dan Ketua Jawatankuasa Disiplin serta sekalian angkatan Umno Group dalam PAS termasuk mereka di TKO dan harakahdaily.

Kalau tak mampu nak terima pandangan dan saranan di atas, GB rasakan wajar bagi mereka berkenaan berundur. Ahli PAS dah "meluat" dengan kamu-kamu yang menyebabkan parti menghadapi perpecahan serius pasca PRU12.

Dan jika diamati, apa yang disarankan oleh Dr. Hamzah menyamai apa yang selama ini GB lontarkan selama ini.

GB pernah katakan:

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.


Dan mengenai JK Disiplin parti dan mekanisme aduan boleh baca di sini dan sini

Pakatan Rakyat Pasti Ke Putra Jaya (updated)

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian, membuang segala sengketa dan kembali mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata tempoh pilihan raya akan datang yang dijangka dua tahun lebih lagi bukanlah tempoh yang panjang untuk mengembalikan semula kekuatan Umno yang mengalami “tsunami politik” pada pilihan raya umum lepas.

“Kenapa tempat yang kita menang dulu tapi kalah pada pilihan raya umum 2008. Kita kalah sebab kita tidak ada perpaduan, kita berbalah, sengketa sesama kita.

Kita kena balik semula, berjuang untuk pertahankan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Umno Pahang di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pemimpin dan anggota Umno juga perlu kembali menilai diri, kelemahan diri dan membuat perubahan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno.

“Selepas pilihan raya umum lepas, banyak ‘suara-suara’ disampaikan kepada kita, (antaranya) parti kita sudah lama berkuasa; kita sudah lupa; kita sombong; tak selesaikan masalah rakyat.

“Ini adalah persepsi, (namun), dalam politik, persepsi itulah yang mempengaruhi mereka (rakyat) untuk mengundi kita atau sebaliknya,” kata Muhyiddin.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang kerana terdapat peringkat Umno bahagian yang tidak lagi melakukan apa-apa program selepas pilihan raya umum lepas.

“Sebab itulah kita lancarkan program Juara Rakyat, kita mahu Umno kembali dekat di hati rakyat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata masalah dalaman Umno termasuk di peringkat bahagian bukanlah perkara luar biasa, namun apa yang penting semua pihak terbabit perlulah mencari jalan penyelesaian untuk mengukuhkan kembali parti.

Ditanya mengenai kemasukan pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang dan kesannya kepada Umno, Muhyiddin berkata Umno perlu memahami aspirasi golongan muda dalam usaha menarik sokongan mereka.

“Kita perlu beri perhatian kepada mereka dan saya yakin mereka akan fahami prinsip perjuangan parti Umno,” katanya.

Mengulas mengenai konvensyen Umno Pahang, Muhyiddin berharap negeri-negeri lain turut mengadakan konvensyen yang sama bagi menilai semula keberkesanan gerak kerja parti.

Konvensyen tiga hari itu yang berakhir hari ini, dihadiri 1,400 peserta terdiri daripada anggota Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil-wakil Badan Bukan kerajaan. — Bernama


Dakwaan Umno Selangor pecah dua taktik pembangkang

SHAH ALAM, Feb 21 — Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata tanggapan kononnya UMNO Selangor berpecah dua adalah tipu helah pembangkang.

Katanya, pembangkang mendakwa terdapat dua kem, satu diterajui beliau dan satu lagi oleh bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Pembangkang sebenarnya mahu mengalihkan pandangan rakyat terhadap krisis dalaman PAS Selangor di mana sebenarnya wujud dua kem — kem Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, dan kem Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Di samping itu, wujud masalah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di cabangnya di Ijok, dakwa Noh.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shuhaimi Shafiei yang mendakwa UMNO Selangor berpecah kepada dua kem.

Bagi pembangkang, kalau mereka tidak dapat menyelesaikan satu masalah, mereka akan cipta satu lagi masalah, kata Noh dalam sidang media selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Ibu Tunggal Selangor di sini.

Noh berkata, “Kita di Selangor di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kita bersatu”.

Beliau berkata, “Mereka tidak tahu sejarah saya dengan Dr Khir...adalah lama. Saya ialah salah seorang yang membawa Dr Khir ke dalam politik”.

Noh berkata beliau juga adalah salah seorang yang menyokong kuat supaya Dr Khir diberi peluang menjadi Menteri Besar.

Noh berkata beliau dan Dr Khir telah berikrar bekerjasama dalam politik kerana mereka berdua adalah sekampung sehingga Dr Khir berjaya menjadi Menteri Besar, dan beliau seorang Menteri.

Menteri itu berkata, kerjasama itu masih kekal di mana Dr Khir masih ADUN Sungai Panjang dan beliau (Noh) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor. — Bernama -


Ulasan GB

Dua-dua berita dari Bernama itu ada saling kait-mengait.

Yang pertama, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian, membuang segala sengketa dan kembali mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jika tidak ada sengketa masakan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO mesti mengeluarkan kenyataan yang berupa "alert" sehingga beliau turut melahirkan rasa bimbang kerana terdapat peringkat Umno bahagian yang tidak lagi melakukan apa-apa program selepas pilihan raya umum lepas.

Beliau bercakap di Konvensyen UMNO Pahang. Tetapi yang meletup ialah di Selangor.

Tiba-tiba saja di Selangor Noh Omar membuat kenyataan menafikan wujudnya dua kem di dalam UMNO Selangor.

Walaupun menafikan, tetapi pada masa yang sama beliau yang mendedahkan bahawa “Mereka tidak tahu sejarah saya dengan Dr Khir... adalah lama. Saya ialah salah seorang yang membawa Dr Khir ke dalam politik”.

Kononnya beliau juga adalah salah seorang yang menyokong kuat supaya Dr Khir diberi peluang menjadi Menteri Besar.

Semua orang boleh membaca "between the lines" kenyataan Noh Omar itu.

Sindrom penafian Noh Omar tidak dapat menutup apa yang sebenarnya berlaku sehingga Muhyiddin "secara terbuka" mengakui fakta wujudnya sengketa di dalam pimpinan UMNO.

Percaya atau tudak UMNO BN sudah rapuh. Jika dahulu pada PRU 10 dan PRU11 pembangkang gagal untuk mencapai sasaran menafikan dua pertiga majoriti BN di Parlimen, namun di dalam PRU12 ia menjadi kenyataan.

Projek Tanjung gagal direalisasikan pada 3 PRU berturut-turut tetapi Pulau Pinang jatuh juga ke tangan DAP. Ustadz Fadzil Mohd Nor hampir menjadi MB Kedah selepas PRU 10, tetapi menjadi realiti apabila Ustadz Azizan mengetuai kerajaan Kedah selepas PRU12.

Angkatan Perpaduan Ummah gagal membentuk kerajaan di Selangor, tetapi Pakatan Rakyat menjadikan ia sebagai realiti. Dan UMNO BN jangan harap merampasnya semula.

Begitulah juga, seandainya dikatakan 16 September Pakatan Rakyat (PR) gagal untuk mencapai sasaran menawan kerajaan pusat, namun ia tidak mustahil di capai pada PRU13 atau paling jelas PRU14 nanti.

Yang masuk UMNO BN sekarang tak ramai berbanding secara relatifnya dengan yang dah masuk PR. Berhempas pulaslah UMNO BN cuba pertahankan kedudukannya di Putra Jaya, ia tidak akan berjaya sepertimana terbukti mereka tidak berjaya pertahan majoriti dua pertiga di parlimen.

Selagi hebat PR diserang, semakin kuat PR ditekan melalui segala agensi samada SPR, PDRM, SPRM, kehakiman dan sebagainya, ia lebih cepat menghantar PR ke Putra Jaya.

Itu evolusi politik dan pemerintahan negara. Itu sunnatullah.


Dan mana-mana ahli PAS, PKR atau DAP yang cuba nak tolong pertahankan UMNO BN dan dan menentang sunnatullah termasuk Presiden PAS sendiri, boleh cuba malah boleh belah dari PR sekarang. No objection.

Siapa pemimpin PR yang bakal menjadi PM dan TPM apabil a PR di Putra Jaya, let go and let God. Dan jangan terkejut beruk jika ditakdirkan GB jadi seorang menteri nanti.. :)