13 Dis 2009

1Petronas Akan Terbalik Dan Pecah Perut?

Tiga orang, termasuk dua beradik berusia 7 dan 14 tahun rentung dalam tragedi ngeri apabila sebuah lori tangki minyak Petronas meletup setelah terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu berlaku ketika lori tangki dipandu Shamsulkahar Bahudin, 36, dalam perjalanan dari Port Dickson untuk menghantar bekalan minyak di Kuala Klawang, dikatakan menghadapi masalah brek di Kilometer 13, ketika menuruni jalan Seremban-Simpang Pertang di Bukit Tangga.

Pemandu lori, Shamsulkahar, yang berasal dari Melaka, sempat keluar daripada lori dan mati di tempat kejadian, manakala dua beradik yang rentung, Mohd Hafiz Hanapiah, 7, dan kakaknya, Anisah, 14.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff berkata, semasa melalui satu selekoh di Kilometer 18, lori tangki itu merempuh sebuah kereta Mercedes Benz yang diletakkan di tepi jalan sebelum terbabas ke bawah dan merempuh sebuah rumah kampung yang didiami ibu tunggal dan dua anaknya.

Lori itu terbalik lalu terbakar, tetapi Shamsulkahar sempat keluar dari kenderaan itu, namun dia menghembuskan nafas terakhir di tepi rumah itu dengan kesan terbakar pinggang ke bawah.

Sementara itu, Mohd Hafiz dan Anisah yang dipercayai sedang tidur ketika kejadian, tercampak akibat rempuhan kuat ke dinding bilik mereka.

Ketua Balai Bomba Jelebu, Adzhar Che Onn berkata, mayat Shamsulkahar ditemui pada jam 10 pagi, manakala mayat, Mohd Hafiz dan Anisah pula ditemui rentung bawah timbunan batu kira-kira 20 minit kemudian.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, lori terbabit meletup dua hingga tiga kali dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa satu jam setengah untuk memadamkan api.

Adzhar berkata, ini kemalangan kedua membabitkan rumah sama kerana kira-kira lima bulan lalu, apabila sebuah lori membawa kepingan getah terbabas lalu merempuh bahagian dapur rumah itu, tetapi tiada yang cedera.

Rumah milik Mariani Cembeng, 45, itu runtuh sepenuhnya, tetapi menurut penduduk kampung, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghadiri kursus keusahawanan di bandar Kuala Klawang.

Suami Mariani meninggal dunia dua tahun lalu. Dua lagi anaknya yang sudah dewasa tidak tinggal di situ, seorang bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi menuntut di sebuah politeknik dekat Port Dickson.

Selepas kejadian, seorang lelaki berusia awal 20-an dipercayai salah seorang abang kepada adik beradik yang meninggal itu dilihat 'mengamuk' dan terpaksa ditenteramkan penduduk kampung serta rakannya yang lain.

Seorang jiran kepada keluarga malang itu, Azuman Abu Bakar, 35, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah apabila terdengar jeritan ibunya.

“Rumah Maria terbakar, rumah Maria terbakar. Api menjulang setinggi pokok kelapa dan ada letupan menyebabkan orang kampung tidak dapat menghampiri rumah berkenaan," katanya.

Sebelum ini pada awal tahun. sebuah lori tangki membawa bahan petroleum milik Petronas juga telah terlibat dengan satu kemalangan dengan sebuah kereta, di persimpangan Alor Tempoyak, Dungun pada 12.30 petang 17 hb 1, 2009.

Lori tangki berkenaan terbalik namun tidak meletuo seperti kejadin yang berlaku di Kuala Klawang kelmarin. Walau bagaimanapun tiada kehilangan nyawa berlaku di dalam kejadian yang mengerikan itu.


Petronas Dagangan sedang menyiasat insiden di mana sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Batu 18, Kampung Ulu Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan sehingga mengorbankan pemandunya dan dua beradik kirakira 8.40 pagi tadi.

Menurut kenyataan Petronas Dagangan, pihak berkuasa dan wakil Petronas Dagangan serta operator flit pengangkutan yang membawa produk untuknya berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca insiden.

"Petronas Dagangan melahirkan rasa kesal dan takziah dan akan memberi segala bantuan yang perlu kepada keluarga mangsa insiden.

"Syarikat akan mengambil tindakan yang perlu terhadap operator pengangkutan yang terbabit dalam kejadian ini," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, lori tangki berkenaan yang sedang membawa 21,000 litre petrol dan 10,000 liter diesel terbabas dan merempuh sebuah rumah lalu terbakar.

Pemandu lori tersebut mati dalam kejadian itu termasuk dua beradik yang sedang berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian.-BERNAMA


Ulasan GB

Petunjuk sudah ada. Sebelum ini, Petronas Dagangan telah mencatatkan penyusutan keuntuntungan kepada RM823.188 juta berbanding RM849.700 juta dalam tempoh suku kedua berakhir 30 September tahun ini berbanding keuntungan sebelum cukai tahun lalu.

GB dapat merasakan bahawa berita "buruk" untuk Petronas akan terus terhidang di dada media selagi Petronas gagal menunaikan kewajipannya membayar royalti kepada pihak yang sepatutnya menerimanya.

1Petronas juga bakal terbalik dan pecah perut?


1 ulasan:

Suhaida Harun berkata...

Salam,
Saya melihat isu-isu yang melanda ini bukan saja kerana kesilapan petronas, tapi, ada juga isu yg lebih besar di sebaliknya.

Dlm kes lori ni, pada saya yg lebih penting ialah isu mendidik para pemandu lori tentang aspek kepentingan keselamatan org lain sewaktu mereka memandu. Ini maksudnya, mendidik para pemandu ini supaya lebih bersopan, lebih bertimbangrasa dan berhemah.

Dlm kes kebakaran di stesen minyak petronas, isu yg lebih penting ialah kesedaran rakyat Malaysia, tentang isu keselamatan sewaktu mengisi minyak. Terutamanya melibatkan penggunaan telefon bimbit, mematikan enjin sewaktu mengisi minyak, serta tidak merokok di stesen minyak.

Kedua2nya pada saya berasaskan pendidikan kepada rakyat. Dan Pendidikan seperti inilah yg kurang ditekankan oleh pihak kerajaan Malaysia sedangkan inilah isu penting.

Sekian terima kasih.