23 Feb 2010

Tokong Lama Di Kuala Terengganu Terbakar

Sebuah tokong berusia lebih 200 tahun di Kampung Cina di sini terbakar, mengakibatkan kira-kira 60 peratus tempat ibadat kaum itu hangus dalam insiden kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Pegawai Bomba Tertinggi Terengganu, Mohamed Amin Mohamad Basir, berkata kebakaran berlaku di bahagian tengah tokong dan sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba Jalan Kota dan Kuala Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau yang ditemui pemberita hari ini berkata, seramai 13 anggota dan dua pegawai bertugas memadamkan kebakaran dan api dapat dikawal kira-kira 25 minit kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Ketua Polis Daerah ACP Zamri Samsuddin berkata, siasatan awal polis mendapati tidak wujud elemen sabotaj atau khianat dalam kebakaran tokong berkenaan.

"Kebakaran bermula dari kawasan dalam tokong dan punca sebenar kebakaran kita telah serahkan kepada bomba untuk menyiasat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw, ketika ditemui pemberita semasa melawat tokong itu berkata rumah ibadat berkenaan adalah antara tokong tertua dan terbesar di negeri ini.

"Kita berasa sedihlah dengan insiden ini dan saya dimaklumkan bahawa tokong ini dilihat berasap kira-kira pukul 9.30 malam dan ketika itu pintu dikunci oleh penjaganya.

"Orang ramai dapat melihatnya, tetapi tidak dapat masuk untuk memadamkan api dan kemudian menghubungi bomba dan polis. Tokong ini memang tokong lama dan kebanyakan barangan binaan diimport dari negara China. Banyak barangan berharga yang sukar diganti," katanya yang menolak wujudnya unsur khianat atau sabotaj.

Penjaga tokong yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata ketika itu beliau berada di rumah dan dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh anaknya.

"Ini adalah kejadian kali kedua selepas lima tahun lalu dan saya berasa sedih kerana saya dah jaga tokong ini lebih 10 tahun," katanya.

Kebakaran tokong disedari seorang pemasang kain rentang yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 19, yang kemudiannya menghubungi bomba dan polis.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, yang turut melawat tokong berkenaan berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan dalam pembinaan semula tokong berkenaan. - Bernama



Tiada ulasan: