27 Mei 2011

UDA Bidas Timb Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Tuntut Beliau Mohon Maaf

Musa dituntut mohon maaf

Kakitangan UDA kesal kenyataan, tuduhan berkaitan projek BBCC

KUALA LUMPUR: Badan Kebajikan Kakitangan Kumpulan UDA Holdings Bhd (BKKU) semalam menuntut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) memohon maaf kepada kakitangan syarikat itu kerana menggesa kerajaan menutupnya.

Selain itu, BKKU yang mewakili 800 kakitangan UDA turut meminta Musa menghentikan segala kenyataan berkaitan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) melalui media sehingga pengumuman rasmi dibuat kerajaan.

Yang Dipertua BKKU, Shytul Shahryn Mohamad Shaari, berkata pihaknya kesal dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan dilemparkan Musa terhadap Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd berhubung isu projek pembinaan BBCC di tapak bekas Penjara Pudu itu.

“BKKU berpendapat kenyataan beliau (Musa) supaya UDA Holdings Bhd (UDA) ditutup seperti dipaparkan dalam media cetak dan elektronik, Selasa lalu, adalah amat tidak wajar dan mengelirukan rakyat khususnya masyarakat Bumiputera.

“BKKU tidak berhasrat campur tangan dalam segala keputusan Lembaga Pengarah UDA dalam pelaksanaan BBCC tetapi memberi kepercayaan penuh kepada Ahli Lembaga Pengarah UDA untuk membuat keputusan secara kolektif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata, BKKU percaya Lembaga Pengarah membuat keputusan tepat dan telus dalam memastikan projek BBCC berjaya dilaksanakan bukan saja demi kepentingan lebih 1,400 kakitangan syarikat tetapi masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Malah, sejak 40 tahun lalu sehingga kini, UDA tidak pernah lari daripada matlamat memperjuangkan agenda Bumiputera sebagai fokus utama dalam pelaksanaan projek BBCC.

“BBKKU berasakan lebih baik beliau mendapatkan penjelasan sebenar daripada Datuk Nur Jazlan seperti ditawarkan Pengerusi UDA dan kerajaan daripada membuat sebarang kenyataan yang memberikan imej negatif bukan saja kepada UDA tetapi juga kerajaan,” katanya. -BH

Tiada ulasan: