27 Mei 2011

Demi Integriti Polis, Dalang Penyebaran Video Seks Perlu Ditahan Dan Diadili

Lagi Laporan Polis Desak Siasat Segera Dalang Sebar Video Lucah

SHAH ALAM 27 MEI : Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Selangor Shuhaimi Shafie membuat laporan polis mendesak agar satu siasatan segera dilakukan berhubung penyebaran VCD lucah dan fitnah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keadilan Selangor melihat bahawa kalau benar VCD yang disiarkan kepada rakan media di Carcosa itu yang asli, sekeping, bagaimana yang sekeping itu terlepas di tangan polis dan diupload di internet sedemikian rupa," kata Suhaimi dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Shuhaimi menyatakan kehairanan beliau mengenai bagaimana video tersebut bolos di internet sedangkan trio Datuk T yang menayangkan video tersebut kepada media Mac lalu mengaku hanya mereka mempunyai salinan berkenaan dan telahpun menyerahkannya kepada pihak Polis.

"Persoalannya di sini adakah polis bersekongkol, terlibat menandatangai memorandum persefahaman dengan Datuk T. Datuk T kata hanya ada satu salinan. Adakah Polis bersekongkol atau memang ada salinan lain dengan Datuk T?," kata beliau.

Pemberian dan penyebaran VCD tersebut dikesan berleluasa pada kempen Jelajah Selangor (Jelas) PKR sejak awal bulan ini di Semenyih, Kuala Langat, Tanjung Karang, Subang dan Sabak Bernam, dan Selayang.

Dua hari lalu, Ketua kampung dari 8 kampung buah kampung di Shah Alam dan Klang menerima 4 salinan VCD tersebut setiap seorang melalui Pos.

Tanpa menuduh mana-mana pihak, Shuhaimi melahirkan kebimbangan terdapat gerakan sistematik dan terancang dalam penyebaran VCD ini dengan agenda untuk memburuk-burukkan PKR dan Pakatan Rakyat berdasarkan sasaran penyebaran kepada rakyat dan pemimpin akar umbi seperti Ketua-ketua kampung.

Malah, menurut Shuhaimi tidak mustahil VCD lucah itu akan dihantar dari rumah ke rumah pula selepas ini.

"Persoalannya di sini bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan soal Datuk Seri Najib, bukan soal Tan Sri Muhyiddin Yassin. Persoalan pokoknya ialah bagaimana video ini disebarkan dengan begitu meluas tanpa penglibatan atau sekatan pihak-pihak berkuasa. Jadi dipercayai wujudnya satu gerakan terancang untuk menyebarkan video ini dari rumah ke rumah,"ujar beliau.

Justeru Shuhaimi mendesak polis supaya bertindak kerana jawapannya boleh didapati dengan mereka yang paling awal menyebarkan video berkenaan - Datuk T, yang dianggotai oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

"Jadi saya desak pihak polis kalau perlu tahan, tahanlah Datuk T supaya dapat tahu siapa yang terlibat 'sebarkan' video lucah ini," tegas beliau. -tvsnews


Video seks diedarkan di kampung Cina pula

Salinan pita video yang memaparkan seorang lelaki mengadangkan hubungan seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diedarkan di seluruh Selangor.

Tidak terkecuali adalah perkampungan Cina dan sasarannya adalah ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat.

Menurut anggota exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah sekurang-kurangnya 15 pemimpin di Ulu Langat dan lebih lapan lagi di Kuala Selangor mengesahkan menerima video berkenaan menerusi pos.

Katanya, berdasarkan cop pada bungkusan itu, ia dikirimkan dari Melaka dan Shah Alam.

Hari ini Ean Yong mengiringi 15 ketua kampung dari kawasan Ulu Langat membuat laporan berhubung perkara itu.

Sementara itu, ketua kampung dalam DUN Sri Muda parlimen Kota Raja juga dilaporkan menerima video seks dan poster yang cuba dikaitkan dengan ketua umum PKR itu.

Laporan polis itu dibuat oleh ketua penerangan PKR Shuhaimi Shafiei bersama-sama empat ketua kampung tradisi Melayu di ibu pejabat polis Daerah Shah Alam kira-kira 11.30 pagi tadi.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda membuat laporan polis itu mewakili PKR Selangor.

Dalam laporan polisnya, Shuhaimi berkata tujuan aduan dibuat berikutan penyebaran VCD dan poster yang diistilahkan sebagai lucah dan diedarkan di majlis solat hajat dan ceramah 'Tawan Malaysia' di Stadium Selayang pada 14 Mei lalu.

Menurutnya lagi, beliau menerima bahan-bahan tersebut dari petugas keselamatan parti pada majlis tersebut.

Dalam aduannya juga, beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran VCD itu di lima lagi tempat iaitu di Kampung Jalan Kebun, Kampung Melayu Subang, Dewan Majlis Daerah Semenyih, satu program ceramah di Tanjong Karang dan di Dewan Majlis Daerah Kuala Langat.

"Oleh itu, saya mendesak pihak polis menyegerakan siasatan berhubung penyebaran (VCD) dan menghadapkan pihak yang terlibat ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, Shuhaimi berkata keempat-empat ketua kampung tersebut yang dihantar dengan video itu adalah Kampung Teluk Menegun, Kampung Baru Hicom, Kampung Johan Setia dan Kampung Bukit Hadir.

Keempat-empat ketua kampung tersebut menerima VCD dan poster yang dimasukkan ke dalam sampul surat yang diposkan dari Shah Alam dan Melaka. Mereka menerimanya pada 23 dan 24 Mei lalu.

Menurutnya, ketua kampung Baru Hicom dan Kampung Telok Menegun menerima tiga keping VCD manakala dua lagi masing-masing menerima sekeping VCD.

"Mereka semua tak tengok (kandungan VCD), tetapi saya dimaklumkan ia dipercayai pelakunya sama seperti di dalam internet, jika dilihat di bahagian kulit VCD itu," katanya.

Katanya, sepatutnya empat lagi ketua kampung dalam DUN Sri Muda turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, bagaimanapun membatalkannya kerana keuzuran dan mempunyai urusan lain yang lebih penting.

Kampung tersebut antaranya, Kampung Bukit Lancang, Kampung Jalan Kebun dan Kampung Sungai Kandis.

Ditanya sama ada empat ketua kampung itu akan membuat laporan polis selepas ini, Shuhaimi berkata memadai setakat ini dengan laporan yang dibuat pada hari ini.

Menurutnya, sekiranya masih ada ketua kampung yang menerimanya selepas ini, beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Penyebaran bahan ini bukan sahaja dilarang kerana lucah, malah ia memberi implikasi buruk kepada anak-anak kita," katanya.-mk



Video Seks Bocor : Polis Digesa Segera Siasat

SHAH ALAM 26 MEI : Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mahu polis bertindak dengan konsisten dalam penyiasatan mereka berhubung penyebaran cakera video lucah yang dikesan dilakukan kepada ketua-kampung di Selangor.

Khalid berkata, polis dan Kementerian Dalam Negeri perlu bersikap profesional dalam menangani hal ini dan tidak harus berdiam diri seolah-olah menghalalkan fitnah lucah terus tersebar ke serata negara.

"Bagaimana bahan grafik yang dulunya telah diserahkan kepada polis salinan asalnya, secara terbuka disebarkan. Selepas itu dihantar kepada ketua-ketua kampung dan sebagainya.

"Ini bagi kami merupakan politik kotor Umno dan merupakan tanda betapa terdesaknya mereka untuk berhadapan Pilihan Raya Umum. Malangnya pihak berkuasa seperti polis dan KDN mendiamkan diri. Apa sudah jadi?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang diterimanya daripada lapan orang ketua kampung di sekitar Selangor yang mendakwa telah menerima video berkenaan.

Cakera video berkenaan yang memuatkan rakaman video lucah memaparkan individu yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang telah diterima oleh ketua kampung berkenaan sejak seminggu lalu.

Menurut Khalid, cakera video tersebut diterima oleh ketua Kampung Padang Jawa Petaling, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Kampung Kuantan Klang dan Kampung Melayu Subang.

Selain itu, ketua Kampung Bukit Kapar (Meru), Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Jalan Kebun Klang turut menerima rakaman video berkenaan melalui kiriman pos.

Sebelum ini, lapan orang ketua kampung di kawasan Hulu Selangor dilaporkan turut menerima rakaman video berkenaan.

"Tempat lain sudah terima, Shah Alam sudah terima, kemungkinan besar seluruh negara JKKK dan Ketua Kampung dah terima video. Boleh bayangkan jumlah wang yang dibelanja dan tahap yang diusahakan pihak ini.

Khalid berkata penyebaran video berkenaan mungkin didalangi Umno dilakukan bagi menghakis kepercayaan golongan penyokong akar umbi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana gerak kerja mereka yang tersusun dan modal besar yang harus digunakan bagi melakukan penyebaran seperti itu.

"Ini semua menunjukkan ada organisasi dan kempen yang tersusun dan terancang yang sedang dilakukan mereka," kata Khalid. -tvsnews






2 ulasan:

jom linux berkata...

Tak mahu tuduh sapa-sapa.

Semua pihak yang membuat, menyebar, tukang lapor, bersubahat melindungi pihak yg terlibat dalam video fitnah ini bakal menempah tempat dalam neraka.
Dosa fitnah sangat berat. Macamana kamu semua nak minta maaf ?

Saya tak pasti jika JAKIM atau Pusat Islam ada menjalankan kursus "Cara Bertaubat Selepas membuat Fitnah Sesama Manusia".

Tanpa Nama berkata...

dah kalu dalam kepala agama tak nak pakai...hentam krome le. banyak le pahala orang yang kena nanye.