27 Mei 2011

Peniaga Kecil Melaka Berdemo Tuntut Pampasan Lebih Adil

Peniaga tuntut pampasan adil

Gambar: PENIAGA kecil membuat demonstrasi aman membantah pampasan pengambilan tapak peniaga di hadapan pasar raya di Banda Hilir.

MELAKA TENGAH: Kira-kira 25 peniaga dari Lorong Melaka Raya bersebelahan pusat beli-belah Hatten Square, di Banda Hilir, mengadakan demonstrasi bagi menuntut pampasan lebih adil selepas diarah berpindah dari kawasan itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Demonstrasi aman yang diadakan hampir satu jam itu kelmarin, bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka terhadap perkembangan rundingan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dan pemilik pusat beli belah berkenaan yang didakwa tidak mengambil kira kesukaran dihadapi.

Seorang peniaga kedai makan, Mahmud Sirun, 47, berkata, beliau tidak berpuas hati kerana pengurusan Hatten hanya memberi pampasan RM300, selain diarah keluar dari kawasan itu lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Beliau mendakwa, dalam satu mesyuarat antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan peniaga sebelum ini, PBT itu bersetuju menambah RM500 sebulan, tetapi ia hanya diberikan kepada sembilan peniaga aktif, manakala selebihnya hanya mendapat RM300.

“Semua 25 peniaga terbabit termasuk saya menerima notis MBMB pada awal April lalu untuk berpindah segera, sedangkan kontrak kami hanya berakhir Julai ini. Menerusi notis itu, kami dimaklumkan Hatten akan membayar pampasan RM300 sebulan selama setahun iaitu sehingga projek pembinaan bangunan pusat beli belah berkenaan siap.

“Apa yang kami tidak puas hati, kenapa MBMB boleh membayar RM500 sebulan tetapi Hatten cuma membayar RM300 sebulan. Sebelum ini, kami juga sudah meminta kadar RM300 itu dinaikkan kepada RM150 sehari atau RM4,500 sebulan,” katanya.
Seorang peniaga kraf tangan, Masitah Zaini, 32, pula mendakwa, dia mendapat notis mengosongkan premisnya itu daripada MBMB pada 28 April lalu dan mengesahkan akur mematuhinya selepas dijanji mendapat pampasan sewajarnya.

“Saya terkejut apabila mengetahui hanya mendapat RM300 sebulan dan tidak berpuas hati dengan nilai pampasan itu kerana sangat sedikit. Tambah menyedihkan, apabila kawasan baru perniagaan kami di Taman Rempah tidak mempunyai sebarang kemudahan,” katanya.

Sementara itu, usaha kumpulan peniaga terbabit menyerahkan memorandum lima muka surat bagi tuntutan pampasan itu tidak berjaya, selepas pengurusan Hatten menolaknya.

Berikutan itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah yang mewakili peniaga terbabit, kemudian menyerahkan memorandum itu kepada seorang wakil MBMB yang turut berada di situ. -BH

Ulasan GB

Biasanya mutakhir ini demo-demo dari kumpulan peniaga kecil berlaku di negeri-negeri PR seperti Pulau Pinang dan Selangor kononnya kerajaan negeri PR enindas kaum peniaga.

Kini ia berlaku di negeri Melaka - sebuah negeri yang diperintah UMNO-BN.

Tiada ulasan: