2 Mac 2011

Muhyiddin Dikecam Kerana Cuba Campurtangan Isu Fatwa

PAS menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “tidak layak” untuk membuat keputusan bahawa fatwa dikeluarkan parti Islam itu, yang seringkali menjadi tumpuan ketika pilihan raya, adalah songsang.

Sambil mempertahankan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, pihak yang layak untuk membuat keputusan adalah Majlis Fatwa Kebangsaan, bukannya Muhyiddin yang hanya Timbalan Perdana Menteri.

Isu fatwa juga mendapat perhatian ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang Januari lalu.

“Kita perlu membuat penyelarasan tetap dalam perkara-perkara penting terutamanya yang melibatkan agama, Nik Aziz adalah seorang yang berautoriti untuk mengeluarkan pandangan dan memberikan respons berkaitan agama Islam.

“Mungkin kenyataan yang dikeluarkan Nik Aziz selama ini tidak selari dengan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, sekiranya Muhyiddin merasakan pandangan yang dikeluarkan pemimpin tertinggi PAS itu tidak betul, beliau perlu membawa perkara tersebut ke Majlis Fatwa Kebangsaan bukan membuat keputusan sendiri.

“Kalau Muhyiddin rasa tak betul, beliau boleh buat penyelarasan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, sebenarnya ia harus dijawab secara intelektual termasuk ulama dan juga mereka yang pakar (dalam hal agama).

“Jadi percanggahan pendapat yang wujud ini harus dijawab secara lebih baik dan intelektual oleh ulama dan mungkin juga Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang menuduh PAS seringkali mengeluarkan fatwa-fatwa songsang untuk mengelirukan akidah orang Islam selain mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Kelmarin Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno mendakwa, orang Islam tidak memerlukan sebarang fatwa baru apatah lagi fatwa songsang dikeluarkan PAS terutamanya Nik Aziz.

Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bulan lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan didakwa mengeluarkan fatwa bahawa undi Umno akan jadi jahiliah.

Malah sebelum ini PAS turut didakwa mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk undi PAS boleh masuk syurga; diharamkan makan daging binatang ternakan yang disembelih orang Umno; sesiapa yang menentang PAS beerti menentang Islam kerana Islam itu PAS dan PAS itu Islam; menuduh kerajaan BN kafir kerana tidak menjalankan hukum Allah s.w.t dan membuat tuduhan bahawa kerajaan Malaysia memisahkan agama dari politik dan dengan itu menjadi kafir.

Terlebih dahulu dalam sidang media yang diadakan, Salahuddin meminta agar jentera pilihan raya Umno-BN tidak melakukan keganasan termasuk membuat provokasi ketika parti Islam itu mengadakan program.

Semenjak kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau bermula Sabtu lalu, PAS-Pakatan Rakyat mendakwa diganggu oleh jentera pilihan raya Umno-BN yang menyaksikan beberapa insiden berlaku termasuk pentas DAP terbakar, cermin kereta pecah dan tayar kereka dipancitkan ketika ceramah.

“Kita nak kempen secara sihat, tiada keganasan berlaku... ini jaminan kita.

“Tapi kenapa ceramah yang kita adakan sentiasa ada gangguan? Ini provokasi yang sengaja dirancang, jadi saya minta ia dihentikan,” kata Salahuddin.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Roslan, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan Yuhaizat Abdullah iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin. -TMI


Tiada ulasan: