2 Mac 2011

3 Polis Bantuan Bersubahat Dalam Kes Culik

Kuala Lumpur: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.

DICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan yang diselamatkan.

Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan susulan kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini yang turut menyelamatkan tiga mangsa culik.

“Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000.

“Susulan itu, siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit penculikan itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.

Katanya, suspek yang juga pengurus syarikat keselamatan, S Krishnan, 53, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember tahun lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000.

“Dua suspek berusia 50-an sudah ditahan dan suspek utama kes ini diburu, bagaimanapun serbuan ke rumah suspek baru-baru ini mendapati suspek sudah menghilangkan diri,” katanya. -hm

Tiada ulasan: