18 Feb 2011

Mahathir Perlu Buktikan Kata-katanya: Sahut Pelawaan NGO Mansuh ISA

NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad secara sukarela menyertai kempen menuntut akta kontroversi ISA dimansuhkan jika bekas perdana menteri itu berkongsi hasrat yang sama.

"Jika Dr Mahathir melihat ISA membenarkan pencabulan hak asasi dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa, dia patut segera mendesak pemansuhan akta kuku besi ISA," kata penyelaras Suaram Nalini E.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa beliau pernah cuba untuk memansuhkan ISA ketika menjadi perdana menteri tetapi mendakwa polis berkata 'tidak boleh' kerana bahawa masih ada ancaman.

Dalam kenyataan hari ini, Nalini berkata, jika dakwaan Dr Mahathir tentang tindakan polis itu benar, beliau sendiri dan kerajaan patut memberi jawapan kerana memberikan "kuasa mutlak" kepada polis untuk menggunakan ISA dan menahan orang ramai tanpa perbicaraan.

"Pasukan polis perlukan reformasi segera. Walaupun terdapat saranan daripada Suruhanjaya Pasukan Polis pada 2005 untuk mengurang dan memantau kuasa polis, sehingga ini saranan itu kekal begitu saja.

"Satu-satunya sebab polis menyalahgunakan kuasa kerana kerajaan gagal melaksanakan sistem pemantauan semak dan imbang untuk keseluruhan pasukan polis di Malaysia
," kata Nalini.

Mengulas dakwaan Dr Mahathir semalam, Nalini berkata pendedahan Dr Mahathir semalam menimbulkan banyak persoalan berbangkit.

"Jika dakwaan Dr Mahathir itu benar (bahawa polis menghalangnya mansuhkan ISA), kenapa dia ghairah mempertahankan ISA selama ini? Kenapa ISA terus digunakan meluas bertahun-tahun, menjelang Operasi Lalang pada 1987, gerakan reformasi 1999 hingga 2001 dan perang menentang keganasan selepas 11 September?

"Apa yang menggerakkan Dr Mahathir mencadangkan pemansuhan ISA? Adakah polis terlalu berkuasa untuk menghalang arahan perdana menteri?" soal Nalini. -mk


Saya memang mahu mansuh ISA tapi ditolak polis, kata Mahathir

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau sebenarnya mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.

Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, usaha itu gagal kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak cadangan tersebut.

“ISA harus digunakan ikut keperluan tapi bila saya jadi perdana menteri saya mahu ia dimansuhkan tetapi polis menentang.

“Bila saya cadangkan usul itu, ia ditolak,” kata beliau pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen di sini.

Sebelum ini Dr Mahahir menyalahkan polis yang ekoran penangkapan besar-besaran di bawah ISA pada 1987 yang turut membawa kepada penahanan lebih 100 orang termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam penangkapan dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.

Lebih dikenali sebagai Ops Lalang, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan penggantungan dua akhbar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain kedua-dua Lim, turut ditahan ialah Dr Chandra Muzaffar, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Datuk Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

Dalam perbahasan hari ini, Dr Mahathir berkata beliau hanya menentang penyalahgunaan ISA seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat yang mana menahan individu yang disyaki pengganas tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo.

“Di Teluk Guantanamo, terdapat 500 tahanan yang ditahan tanpa perbicaraan dan mereka juga turut diseksa.

“Mereka yang mengkritik ISA tidak pernah menjadi perdana menteri, sebab itu mereka tidak tahu,” jelas bekas perdana menteri itu.

Beliau juga menjelaskan tidak mempunyai kuasa menghalang penangkapan pemimpin pembangkang kerana ia adalah kehendak polis.

ISA merupakan satu akta yang ditubuhkan untuk menahan mana-mana individu tanpa perbicaraan dan diperkenalkan pada 1960 sebagai undang-undang pencegahan untuk menentang pemberontakan komunis ketika itu.

Minggu lalu Dr Mahathir berhadapan dengan kritikan Kit Siang dan beberapa pemimpin yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1987.

Misalnya, sambil mendakwa Dr Mahathir memilih untuk menjadi “mangsa amnesia” tiga tahun lalu, Kit Siang menasihatkan bekas perdana menteri agar “berusaha keras” untuk mengingati kembali dakwaan bahawa pernah ada pertemuan “mengejutkan” dengan pembangkang sebelum Ops Lalang.

Dalam kenyataan ketiganya berhubung pandangan Dr Mahathir menyentuh operasi itu yang membawa kepada tahanan di bawah ISA kelmarin, Kit Siang berkata, bekas presiden Umno dan bekas menteri dalam negeri itu memang terkenal dengan sikapnya memilih untuk menjadi “mangsa amnesia kerana sebab-sebab politik” ketika sesi inkuiri suruhanjaya diraja berhubung isu klip video Datuk V.K. Lingam pada Januari 2008 apabila mengatakan “saya tidak boleh ingat”.

Dr Mahathir memilih untuk berkata “saya tidak boleh ingat” bagi soalan-soalan penting yang dikemukakan oleh suruhanjaya.

“Adakah mungkin beliau ada menemui anggota pembangkang dan memberi jaminan tidak akan ditahan, tetapi beliau tidak ingat wajah-wajah mereka kecuali saya atau di bila, di mana atau siapa lagi di pihak dia yang hadir atau pihak kepada pertemuan itu?” kata beliau.

“(Oleh itu), Mahathir harus tampil dengan saksi-saksi pertemuan,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim juga menambah tiada sebab bagi pemimpin pembangkang harus menyembunyikan kebenaran mengenai pertemuan itu dan jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan sekiranya benar ia berlaku.

Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa beliau ada berjanji kepada barisan pembangkang bahawa mereka tidak akan ditahan tetapi polis memutuskan untuk menahan mereka.
Kenyataan itu dibuat dalam buku terbaru “Doctor M: Operation Malaysia — Conversations with Mahathir Mohamad” tulisan Tom Plate. -TMI


Ulasan GB

Ini peluang untuk Tun Dr Mahathir untuk buktikan beliau tidak hipokrit. Jika sungguh bagai dikata bahawa beliau mahu memansuhkan ISA, beliau boleh turut serta di dalam kempen pemansuhan ISA yang dianjurkan oleh badan NGO.

Jika Mahathir boleh menyertai demo-demo anjuran PERKASA sebelum ini, maka apa yang menghalang beliau untuk menghadiri kempen anjuran SUARAM?

Seandainya tidak, maka ternyata beliau adalah hipokrit darjah tertinggi.

3 ulasan:

cumi manzui berkata...

Jelas dan Benar.
Che Det semakin hari semakin nyanyuk seperti mana dia tuduh Allahyarham Tuanku Abdul Rahman Putra. Ada lompang dalam ingatan beliau.
Munafikun? Entahlah.
Betulkah waktu tu POLIS begitu berkuasa berbuat sedemikian?

Tanpa Nama berkata...

Mahathir mengamalkan dasar lidah bercabang, dah alama dah.

Tanpa Nama berkata...

Insan2 maghrib lewat senja tapi nasib baik tak timbul lg insan yg ckp "He is safe and sound"