18 Feb 2011

Penyelia Kilang Mati Ditetak Tiga Lelaki

Rawang: Seorang penyelia kilang yang mahu menikmati sarapan pagi di sebuah restoran ditetak lebih 10 kali hingga mati berhampiran Jalan R2/2, Taman Pelangi di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian 6.15 pagi itu mangsa, M Paraguna, 32, baru sahaja keluar dari kereta Wira merah untuk ke restoran yang tidak sampai 20 meter dari kawasan parkir itu pabila dia diserang.

"Tiba-tiba mangsa diserang bertubi-tubi tiga lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan parang dan ditetak di bahagian tengkuk, tangan dan kaki sebelum mangsa mati," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah Perodua Kancil sebelum orang ramai menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis mendapati terdapat lebih 10 tetakan pada badan mangsa namun tiada parang atau cap jari ditemui berhampiran.

"Polis menolak motif kejadian sebagai samun kerana tiada sebarang barang peribadi mangsa hilang dan tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan adalah sebagai membalas dendam," katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek telah lama memerhatikan gerak-geri mangsa sebelum nekad bertindak menyerang.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan seperti biasa singgah di restoran itu bagi menikmati sarapan pagi.

"Memang itulah rutin dia sebelum pergi kerja. Dia akan singgah di restoran itu untuk makan dan kemudian ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Batang Kali mempunyai dua orang anak, seorang perempuan berusia empat tahun dan lelaki berusia empat bulan. - BERNAMA

Tiada ulasan: