14 Sep 2010

Kes Bunuh Sosilawati: Kebumi Walau Secebis Tulang

Tak kisahlah apa saja yang ditemui pihak berkuasa, walaupun hanya secebis tulang kami akan tetap membawa pulang jenazah (Datuk Sosilawati Lawiya) ke kampung untuk dikebumikan,” kata adik ipar arwah, Misjan Jamikun, 48, ketika ditemui semalam.

Menurutnya, perbincangan dengan semua anak kakak iparnya itu sebulat suara mencapai persetujuan, jenazah akan disemadikan di tempat kelahirannya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini.

“Bagaimanapun, semua urusan itu hanya akan dilakukan selepas segala urusan membabitkan pihak berkuasa termasuk pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas dilakukan.

“Anak-anak Kak Wati (Sosilawati) menyerahkan segala urusan menguruskan jenazah termasuk membawa pulang jenazah kepada saya.

“Kami sependapat, tidak kira apa saja yang ditemui dan walaupun hanya secebis tulangnya, kami tetap akan membawanya pulang ke sini bagi memberi penghormatan terakhir dan tanda kasih kami kepadanya yang banyak berjasa kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini, lewat petang semalam.

Misjan antara ahli keluarga paling rapat dengan kakak iparnya itu selain isterinya, Rosnani Lawiya, 45, kerana mempunyai tarikh lahir sama dengan arwah iaitu 12 Julai, selain usianya hanya setahun lebih tua.

Ketika ditanya mengenai ibu Sosilawati, Misjan berkata, ibu mentuanya itu belum bersedia menemui saudara-mara serta jiran yang bertali arus mengunjungi rumah selepas mereka pulang daripada ibu kota awal pagi semalam.

Menurutnya, ibu mentuanya, Yatmah Abdul Rahman, 80, perlu berehat dan menenangkan diri kerana baru saja kehilangan anak sulung serta menantunya, April lalu, selain tragedi kehilangan Sosilawati.

“Ibu lebih banyak memendam perasaan dan mendiamkan diri, sejak awal tahun dia ditimpa kesedihan menyebabkannya tertekan.

“Kak Wati sangat prihatin dan biasanya akan menghubungi saya untuk bertanyakan khabar ibunya,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang ceria dan tidak suka berahsia serta mengambil berat urusan keluarga.

Katanya, keluarga reda dengan pemergian Sosilawati, namun cara dia meninggal dunia sukar diterima ahli keluarga serta anak-anak kakaknya itu.

“Kami sekeluarga berharap mereka yang bertanggungjawab menerima balasan setimpal,” katanya. -hmetro


Penyempurnaan pengebumian boleh diurus seperti jenazah biasa

Walaupun yang tinggal hanya cebisan tulang dan abu mayat, jenazah keempat-empat mangsa pembunuhan iaitu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, masih boleh diurus dan disempurnakan pengebumiannya seperti jenazah biasa.

Bagaimanapun, ada keringanan dalam memandi dan mengkafankan jenazah kerana dikhuatiri proses itu akan mengakibatkan kerosakan teruk dan menjejaskan keseluruhan bahagian yang masih tinggal kerana ia tidak lagi sempurna dan sukar dikenal pasti.
Tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata walaupun keadaan mayat langsung tidak dikenali dan hanya tinggal tulang, semua tulang dan abu milik mangsa perlu dikumpul dan dibungkus dengan kain putih secara tertib dan disembahyang serta dikebumikan seperti biasa.

“Apabila semua tulang dan sisa mayat itu dikumpul dan ia disahkan memang mayat mangsa beragama Islam, cukup sekadar berniat ia dimandikan atau ditayammumkan dan ketika ia dibungkus, cukup sekadar berniat mayat dikafankan kerana keadaan fizikal mayat yang tidak mengizinkan, lalu disembahyangkan dan dikebumikan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cara terbaik menguruskan jenazah yang tidak menyerupai fizikal asal termasuk jika jenazah hanya tinggal debu dan tulang akibat terbakar.

Akhbar semalam melaporkan, Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah, dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Abu Hassan yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, berkata setiap mayat umat Islam yang mati wajib disempurnakan dan diurus mereka yang masih hidup iaitu dimandi, dikafan, disembahyangkan dan dikebumikan dengan sempurna.

Bagaimanapun, katanya, keadaan fizikal mayat tidak normal atas beberapa sebab seperti syahid di medan perang, yang tenggelam, sudah menjadi debu dan sebagainya, hanya sebahagian daripada empat perkara itu yang menjadi fardu kifayah.

“Jenazah gagal ditemui, terlalu sukar dikeluarkan atau berada jauh, mengikut hukum fekah sebaik diketahui dan diyakini meninggal dunia, ahli keluarga boleh melaksanakan sembahyang mayat ghaib bagi mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya. -BH

Tiada ulasan: