21 Mac 2010

Perlukah Siva Keluarkan Notis?

Nampaknya kemelut politik Perak belum lagi berakhir meskipun Mahkamah Persekutuan memutuskan Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah pada 9 Februari lalu.

Keputusan mahkamah itu sendiri merupakan satu keputusan yang kontroversi kerana para hakim membuat tafsiran sendiri dengan mencabuli Perkara 16 Klausa 7 Perlembagaan Negeri Perak dan memberi kuasa kepada sultan untuk memecat menteri besar.

Walaupun isu menteri besar dianggap selesai, timbul pula isu lain.

Siapakah speaker Dewan Undangan Negeri yang sah, R Ganesan yang dilantik oleh Umno-Barisan Nasional (BN) atau masih lagi V Sivakumar, yang diangkut keluar dewan secara paksa oleh anggota polis.

Perhatian kini tertumpu pula kepada notis yang dikeluarkan oleh Sivakumar memanggil sidang DUN pada 30 Mac ini. Adakah surat notis ini sah atau tidak?

Di sebelah pihak Pakatan Rakyat, jelas bahawa mereka tidak mengiktiraf Ganesan kerana beliau dilantik oleh ADUN-ADUN Umno-BN dengan cara tidak mengikut peraturan dewan.

Ganesan lapor polis (tajuk kecil) Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham sebelum itu meminta Zambry membenarkan Sivakumar mempengerusikan sidang DUN yang akan datang memandangkan kedudukan Ganesan yang dilantik secara kontroversi bulan Mei tahun lalu.

Seperti mana yang dijangka, Zambry enggan memberi jawapan kepada permohonan Ngeh dan mungkin kerana beliau sendiri tidak pasti siapakah speaker yang sah.

Lebih merumitkan lagi keadaan ialah apabila Ganesan membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Ipoh semalam mendakwa Sivakumar menyamar sebagai speaker.

Ganesan mendakwa Sivakumar menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak untuk menghantar notis untuk memanggil DUN supaya bersidang pada 30 Mac ini.

"Sivakumar telah dilucutkan dari jawatan speaker pada 7 Mei tahun lepas dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh," kata beliau kepada para pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Pelantikan Ganesan sendiri sebagai speaker sukar diterima kerana beliau dianggap gugur sebagai speaker kerana tidak meletak jawatan sebagai peguam dalam tempuh tiga bulan beliau dilantik sebagai speaker.

Dalam satu sidang media di Ipoh kelmarin, Sivakumar enggan mendedahkan apakah strategi Pakatan Rakyat dalam menghadapi sidang DUN yang akan datang dengan hanya berkata, "kita tunggu dan lihat sahajalah apa yang akan berlaku. Ia sukar untuk diramal."

Sivakumar juga sehari sebelum peristiwa yang tragik pada 7 Mei itu, telah menolak usul menyingkir speaker (Sivakumar) dan melantik speaker baru yang dibawa oleh Zambry dan ADUN Sungai Rapat Hamidah Osman.

Walau apa pun, prosiding sidang DUN 30 Mac sukar diramal hala tujunya kerana Umno-BN akan memperalatkan pasukan polis untuk mengawal pintu masuk bangunan DUN bagi menghalang penyokong-penyokong daripada kedua-dua belah pihak dari menghampiri bangunan itu.

Bagi Umno-BN, mereka akan menggunakan apa sahaja cara sekali pun bagi mengekalkan kuasa di negeri yang suatu ketika dahulu kaya dengan bijih timah itu, walaupun dengan cara yang tidak sah, tidak demokratik, tidak berperaturan dan tidak berpelembagaan.

Ulasan GB

Politik Perak bakal bergolak lagi. Pada pandangan GB, Sivakumar tidak perlu lagi keluarkan sebarang notis. Apabila PR Perak telah memboikot sidang DUN yang dipanggil oleh Ganesan, maka biarkan saja dahulu ADUN-ADUN BN tersebut mengadakan sidangnya. Ia tidak membawa makna apa-apa jika benar semua DUN PR memboikotnya. Dunia mengetahui persidangan DUN itu tidak sah kerana speakernya adalah speaker yang tidak sah dan biar dunia mengutuk dan menghukumnya.

Dengan keluarnya notis Sivakumar, sekalipun di atas nama Speaker yang sah, ia memberi ruang untuk BN memanipulasi isu, dan untuk menimbulkan kekacauan baru yang kelak bakal pula dieksploitasikan sedemikian rupa oleh media pro-kerajaan bagi menggambarkan kononnya PR rakus kuasa.

Buat bertenang dahulu, perhatikan perjalanan mereka, lihat dan belajar rentak-tari mereka. Nanti di sana akan tampak ketempangan sidang DUN yang mereka adakan, tanpa suara rakyat sepenuhnya, sidang DUN itu tidak bererti apa-apa.



5 ulasan:

Unknown berkata...

Ini kerja Hishamudin, tak kan lah tak ada undang2 nak guna terhadap Siva ni. Kamu kan ke belajar undang-undang gak. Aduh, inilah susahnya bila menteri dtg dari kayangan dan bangsawan. Takut dan lembik nak bertindak. Wahai Hishamudin bangunlah dan berhentilah. Biarlah KDN tak ada menteri.

Tanpa Nama berkata...

sivakumar ini tak sedar dr mimpi lg ker...pi tolong simbahkan air di muka dia laa...buat malu pakatan rakyat saja...

Tanpa Nama berkata...

Negeri Perak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai MB yang ditetapkan oleh mahkamah kini dan mungkin selama-lamnya. Pilihan rakyat dah tak boleh dipakai di sana. Barangkali rakyat akan boikot pilihanraya buat selama-lamanya di Perak.

Tanpa Nama berkata...

Rasanya di perak tak payahlah buat pilihanraya sbb raja ada kuasa memilih MB dan duit pilihan raya tu salurkanlah kepada rakyat yg memerlukan.Tuan GB teman rasa kalau PR boikot sidang dun tu umnobn akan gunakan nama raja kata PR menderhaka pada raja sebab tak datang.Mereka akan gunakan tv1,tv2,tv3,tv9.utusan meloya, berita hairan dan seangkatan denganya untuk memburukan PR.

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya Siva buat kerja senyap-senyap sebagai persediaan PRU 13.