21 Mac 2010

Penubuhan Petronas Tidak Sah?

Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata, pihaknya memang sudah lama menyedari penubuhan Petronas kemungkinan besar tidak sahih tetapi tidak mengambil berat soal tersebut.

Sebaliknya beliau yang bertanggungjawab terhadap soal membawa tuntutan mendapatkan royalti minyak berkata, kerajaan negeri mahu memberi fokus terhadap pertikaian itu berbanding soal status Petronas semata-mata.

“Sebenarnya, semasa peguam-peguam penasihat Kerajaan Negeri berbincang sebelum ini, isu seperti ini ada dibangkitkan.

“Termasuk sudut lain bahawa perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Petronas adalah tidak sah dan tidak terpakai berasaskan sebab-sebab yang lain.

“Namun, kami mengambil pendirian mengenepikan sementara waktu pandangan seperti itu kerana ia akan merosakkan Petronas,” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Semalam profesor undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata kewujudan firma minyak negara Petronas kemungkinan tidak sah kerana undang-undang penubuhannya telah diluluskan sebelum ia menandatangani perjanjian dengan semua negeri.

“Saya merasakan beberapa aspek dalam akta Petronas adalah tidak sah,” kata Shad pada satu forum di sini.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani pertengahan 1970-an semua negeri telah dijanjikan bayaran tunai lima peratus ke atas minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai atau di luar pesisir pantai sebagai balasan kepada penyerahan hak kawalan ke atas sumber-sumber petroleum kepada Petronas.

Shad berkata, akta itu diluluskan sebelum kesemua negeri menandatangani perjanjian dimaksudkan.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Husam memberitahu beliau memilih pandangan yang lebih sederhana iaitu mengikut undang-undang dan perjanjian serta konvensyen selama ini, Kelantan berhak mendaapatkan royalti bagi semua pengeluaran minyak dan gas di luar pantainya.

“Petronas sebuah entiti haram - sekurang-kurang itu pendapat Prof Shad Faruqi. Petronas sebuah badan perniagaan haram?

“Jika itu bukan sebuah letupan di muka Petronas, menunggu letupan yang lebih besar takut nanti sudah terlewat dan hanya meranapkan terus integriti Petronas,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan “adakah berbaloi bagi sebuah badan koporat bertaraf dunia untuk dihalakan peluru yang menembusi maruah korporatnya semata-mata kerana cuba mengelak membayar kepada Kelantan apa sebenarnya terhak?”

“Ketika Petronas sedang cergas melabur berpuluh bilion dolar di luar negara, kedudukan penubuhannya sendiri di sisi undang sampai dipertikaikan.

“Apa akan jadi jika pendapat Shad Faruqi itu sampai kepada negara-negara Petronas ada berikat?

“Apa akan jadi jika ada pihak menggunakan pandangan Shad Faruqi untuk mengisytiharkan Petronas bukan sebuah entiti yang sah?” katanya.

Tambah beliau, Petronas dan pemimpin kerajaan pusat nampaknya memilih permainan yang lebih kasar.

Husam menambah, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam pula menjadi tokoh Umno kedua secara terbuka memberi pandangan yang berbeza tentang bayaran royalti berbanding pendirian rasmi kerajaan pusat.

“Apa pun nama bayaran yang diberikan, pembayarannya hendaklah kepada kerajaan negeri Kelantan — kata Tun Musa,” katanya. Justeru Husam menyoal selama mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menunggu untuk membetulkan semula sikapnya.

“Berapa ramai tokoh lagi ditunggu Najib untuk memberikan 'tamparan demi tamparan'?' katanya. -MI



2 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

“Apa akan jadi jika pendapat Shad Faruqi itu sampai Petronas.....

Huh! jika ini berlaku,ibarat kata pepatah,

Jong pecah,

Yu yg.kenyang.

Betambah kenyang Jerong jerong yg.senantiasa mencari Peluang.,silap silap Toyol pun pencen dari mencuri lagi.,.

Tanpa Nama berkata...

UMNO dibelakang petronas