13 Dis 2010

Seorang Ibu Ditahan. Dipercayai Bunuh Bayi

Ibu dipercayai bunuh bayi

AHLI keluarga yang enggan ditemui wartawan sedang menunggu bedah siasat kematian bayi terbabit di Jabatan Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, semalam. Lelaki dengar jeritan, lihat anak riba cucu tidak sedarkan diri

PASIR PUTEH: Polis menahan seorang ibu berumur 31 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian bayi perempuannya yang berusia enam bulan dalam kejadian di Kampung Gaal Tengah di sini, pada jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata wanita terbabit ditahan selepas bapanya Che Muda Salleh, 60, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh satu jam selepas kejadian itu.

“Lelaki terbabit terdengar anaknya menjerit dan mendapati wanita itu sedang meriba bayinya yang tidak sedarkan diri.

“Bayi perempuan yang dikenali sebagai Al Miyazara Mohd Azim itu dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA),” katanya di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata siasatan awal mendapati unsur mencurigakan punca kematian bayi itu.

Ibu mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan dan ketika kejadian bapa mangsa tiada di rumah, kerana berada di Kota Bharu.

“Mayat bayi terbabit ditempatkan di Unit Forensik HTA untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama media tidak menemubual keluarga mangsa bagi mengelak gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

1 ulasan:

Awanama berkata...

macam BN bunuh rakyat memali?