13 Dis 2010

[Bergambar] Bas Bawa Pelajar IKM Terhoyong Hayang Sebelum Tercampak Ke Longkang

Bas turun bukit terhoyong-hayang

IPOH: “Sebelum kejadian, saya merasakan sistem brek bas tidak berfungsi dengan baik sebaik melalui jalan licin sebelum bas yang kami naiki hilang kawalan dan terhumban dalam longkang ketika menuruni bukit.

“Kami bergegas menyelamatkan diri dengan keluar ikut pintu kecemasan di belakang bas,” kata Nurul Asmah Harun, 22, penuntut Sijil Lukisan Mekanikal, Institut Kemahiran Mara (IKM), Jasin Melaka yang cedera selepas bas dinaikinya terhumban dalam longkang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin di Kilometer 304.5 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Gua Tempurung, seramai 21 penuntut dan pensyarah dari IKM Jasin, Melaka bersama anggota keluarga masing-masing cedera termasuk seorang parah apabila bas dinaiki terhumban dalam parit.

Kejadian berlaku apabila sistem brek bas tidak berfungsi ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam longkang.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Jasin, Melaka membawa 38 penumpang dan mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

Nurul Asmah dari Skudai, Johor berkata, ketika menuruni bukit, bas berkenaan terhoyong-hayang selain mengesan sistem brek bas seperti ada masalah.

“Sejurus kemalangan, saya terasa sakit di rusuk kiri, tetapi tetap gagahkan diri keluar menyelamatkan diri menerusi pintu kecemasan,” katanya ketika ditemui di HRPB semalam.

Katanya, akibat kemalangan itu, dia mengalami beberapa luka kecil di badan selain patah rusuk kiri.

Seorang lagi mangsa yang cedera, Nor Izrin Abd Hamid, 23, berkata, dia tidak dapat mengingati dengan jelas bagaimana kejadian berlaku kerana terlelap.

“Sebaik tersedar bas sudah terbalik dan terus menjerit meminta tolong sebelum bergegas mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Nor Izrin patah tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

Abdul Rahman Md Salim, 17, penuntut IKM berkata, ketika kejadian bas dinaiki menuruni bukit selain hujan lebat.

Katanya, pemandu bas cuba mengelak sebuah bas sekolah di depan sebelum cuba menekan brek, tetapi sistem brek mengalami masalah.

“Pemandu bas mengubah haluan ke kiri jalan bagi mengelak merempuh bas sekolah itu sebelum hilang kawalan dan terhumban ke longkang ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Asisten Superintendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi berkata, kebanyakan penumpang bas yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani rawatan di HRPB dan Hospital Tapah.

Beliau berkata, bas terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa.










2 ulasan:

Ali en berkata...

Siasat pemandu bas, siasat buku log bas dan jangan lupa siasat Alien di kawasan itu.....

Awanama berkata...

macam kerajaan BN juga terhoyong hayang bawa rakyat hingga rakyat jadi susah