13 Dis 2010

[Bergambar] Enam Pendaki Sesat 15 Jam Ditemui Selamat

Enam pendaki sesat 15 jam ditemui selamat

PASUKAN menyelamat membawa keluar kumpulan pendaki yang sesat ketika mendaki Gunung Chabang di Perkampungan Orang Asli Pos Slim, Simpang Pulai, semalam.

SIMPANG PULAI: Sekumpulan enam pendaki bebas termasuk tiga pelajar, sesat lebih 15 jam ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Chabang yang terletak di Banjaran Titiwangsa, Simpang Pulai, dekat perkampungan Orang Asli Pos Slim, di sini, kelmarin.

Pendaki terbabit adalah Jea Jie Kong, 36, seorang akauntan; Yaul Ken Min, 26 (chef); Lin Yen Yin, 33, (arkitek) serta tiga pelajar dikenali sebagai Teo Guan Yew, 19; Michelle Kong, 21, dan Koh Ying Meng, 25.

Mereka dilaporkan hilang selepas seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan bomba, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin bagi memaklumkan mereka sesat sebelum berjaya tiba di tapak perkhemahan di pertengahan gunung itu.

Bagaimanapun, semua mereka termasuk dua yang cedera ditemui semula pada jam 1.27 petang semalam, selepas pasukan penyelamat berjaya menghubungi seorang daripada kumpulan pendaki itu menerusi isyarat telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata sebelum kejadian, sekumpulan 10 pendaki bebas kebanyakannya tenaga profesional dipercayai dari Kuala Lumpur dikatakan berpecah kepada dua kumpulan memasuki hutan itu bagi melakukan aktiviti perkhemahan sebelum memulakan pendakian kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Katanya, kumpulan pertama yang membabitkan empat pendaki termasuk seorang daripada mereka pernah memasuki hutan itu, manakala kumpulan kedua terdiri daripada enam mangsa yang hilang.

“Kumpulan pertama berjaya tiba di tapak perkhemahan mereka di kawasan puncak gunung, tetapi kumpulan kedua dikatakan hilang jejak dan tersesat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa sempat menghubungi bomba dan memberitahu mereka tersesat sebelum telefon bimbit mereka kehabisan bateri.

“Satu operasi mencari diketuai Asisten Superintendan Ruzlan Mahmud dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh digerakkan bagi mengesan mangsa. Pasukan dengan kekuatan seramai 58 orang, disertai beberapa agensi lain termasuk bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Pasukan Gerakan Awam (PGA) serta anggota polis,” katanya.

Kesemua mereka termasuk empat pendaki iaitu Woon Boo Siong, 26, Keoh How Geok, 42, Ng Peak Hin, 34 dan Lee Kooi Zie, 52 daripada kumpulan pertama berjaya diselamatkan dan dibawa turun sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan kira-kira jam 6.30 petang.

Operasi menyelamat dihentikan kira-kira jam 7 petang semalam. -BH












1 ulasan:

Awanama berkata...

kerajaan pimpinan UMNO dah sesat lebih 50 tahun dalam membantu orang islam dan orang melayu