8 Mac 2010

Keluar Parti, Badi UMNO Masih Terlekat: Pang Chaw

Kelab Penyokong Pas menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti sebagai tanda ‘badi’ UMNO masih terlekat ke dalam segelintir ahli parti itu.

Pengerusinya, Hu Pang Chaw berkata, kebanyakan ahli PKR berasal dari Barisan Nasional (BN) dan tidak mustahil beberapa pendekatan ahlinya khususnya mereka yang kecewa menjurus ke arah parti yang dianggotai mereka sebelum ini.

“Tindakan keluar parti ini adalah manifestasi budaya UMNO yang masih terlekat, ia muncul ketika parti menghadapi masalah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pang Chaw mengulas perkembangan terkini yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) termasuk beberapa Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) yang baru-baru ini mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pang Chaw bagaimanapun berkata, apa yang berlaku kepada PKR tidak mengejutkan memandangkan parti itu masih baru dan dalam proses untuk memantapkan pentadbirannya.

“Benda ini bukan berlaku kepada PKR, malah pada 70-an dahulu DAP pernah menghadapi senario yang sama, Pas juga tidak terlepas apabila ada beberapa ahlinya keluar dan menyertai UMNO,” katanya.

Menurutnya, PKR mendapat pengajaran berguna di masa di hadapan dengan menitik beratkan soal pemilihan calon yang berkualiti dan berprinsip teguh kepada perjuangan parti.

“Proses ini tidak terlalu buruk, ia cukup memberi pengajaran kepada PKR untuk mengharungi politik di masa hadapan,” katanya. -SH

1 ulasan:

Awanama berkata...

penyamun yang tak bertaubat akan kembali kepada kumpulan penyamun semula.