16 Feb 2010

UMNO Terlopong, Tan Tee Beng Masih Ahli PKR, Zahrain Tak Sertai UMNO

Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng menafikan beliau akan melompat keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didakwa oleh sesetengah media sejak kebelakangan ini.

"Perkara sedemikian tidak pernah timbul atau terlintas dalam fikiran saya walaupun dengan lantang mengkritik pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan saya juga akan terus berbuat demikian.

"Saya masih ahli PKR hari ini, esok, lusa dan tak tahu bila,"
katanya dalam majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebuah laporan polis akan dibuat ke atas Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi dalam masa terdekat.

Tambah beliau, hal itu dilakukan ekoran kegagalan kedua-dua mereka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Jumaat lalu bersama bukti bagi menyokong dakwaan dirinya terlibat dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC).

Malah, katanya, laporan polis akan dibuat bukan sahaja terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi tetapi mana-mana pihak yang membuat tuduhan serta fitnah sekali gus mencemar nama baik beliau sebagai wakil rakyat.

''Saya sudah beri kedua-dua orang ini masa yang secukupnya untuk membuktikan dakwaan mereka, malah saya turut menunggu mereka di pejabat SPRM tapi tidak juga muncul.

''Jadi, saya sudah tidak ada jalan lain selain membuat laporan polis terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi," katanya

Pada 11 Februari lalu, Tee Beng mencabar Ramasamy dan Jeff Ooi mengemukakan bukti bahawa dirinya terlibat dalam proses tender PDC dan mengajak kedua-dua pemimpin DAP itu membawa bersama 'bukti' ke pejabat SPRM pada pukul 4 petang.

Namun, selepas menunggu sehingga hampir pukul 6 petang, kedua-dua mereka tidak juga muncul dan beliau menyifatkan Ramasamy dan Jeff Ooi sebagai pengecut. -erapakatan


Shafie: Tiada bayangan Zahrain akan kembali ke Umno

KOTA KINABALU, Feb 16 — Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata belum ada tanda-tanda bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim akan kembali ke Umno selepas memutuskan untuk keluar parti itu, Jumaat lalu.

“Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya (Bayan Baru). Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berkata masalah yang membelenggu pembangkang khususnya PKR sekarang tidak kena-mengena dengan Umno.

“Jelas bahawa apa yang berlaku dalam parti itu disebabkan masalah yang membelenggu mereka. Ia tiada kena mengena dengan kita (Umno),” kata Shafie dipetik Bernama sambil menambah Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

Zahrain merupakan salah seorang bekas ketua Umno Bahagian yang keluar parti itu lebih satu dekad yang lalu untuk menyertai PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Beliau memenangi kerusi Bayan Baru pada 8 Mac 2008.

Banyak pihak dalam Umno mengajaknya menyertai Umno ekoran keputusannya meninggalkan PKR minggu lalu.

Shafie berkata, Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi oleh pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata “keadaan rapuh” dalam kalangan PKR dan pakatan pembangkang bukanlah urusan Umno.

“Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

“Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh

dipercayai,” kata beliau selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi. -MI


1 ulasan:

Jebon berkata...

Mungkin betul kata-katanya tapi awas!!! Jangan percaya 200% kena itu adalah kata-kata orang politik. Sedangkan kata-kata presiden pas pun susah rakyat nak percaya.

Kita sama-sama tengok. Orang politik ni bercakap lain, buat lain tak kira dari mana-mana parti.

Action speak louder than words.