16 Feb 2010

Nong Chik "Paksa" Penduduk Kg. Baru Untuk Berpindah

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin seolah-olah mengguna tekanan berbentuk undang-undang ke atas penduduk Kampung Baru agar berpindah segera demi pembangunan di kawasan tersebut.

"Semua penduduk Kampung Baru perlu bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu bagi membolehkan kerajaan melaksanakan cadangan itu secepat mungkin," kata beliau dalam rancangan bualbicara Soal Jawab di TV3 baru-baru ini.

Tambah Raja Nong Chik, berdasarkan peruntukan undang-undang, bagi melaksanakan sesuatu projek pembangunan secara komprehensif di sesuatu tempat, kerajaan perlu mendapatkan persetujuan semua penduduk kawasan berkenaan.

"Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya," katanya lagi.

Menurut beliau, kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan tersebut bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.

"Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya," katanya.

Beliau berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.

Menurut Raja Nong Chik, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sebelum ini berjanji bahawa penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.

Bagaimanapun, tambah beliau, penduduk di kampung tersebut, mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan. -erapakatan

1 ulasan:

Awanama berkata...

Baru-baru ini PM Najib kata nak baiki lif yang selalu bermasalah di rumah pangsa Kampung Baru, KL. Dalam tahun 1989, aku pernah tinggal di Tingkat 10 Rumah Pangsa Pasar Minggu Kampung Baru KL selama kira-kira 20 bulan apabila diterajang untuk bertugas di KL. Perkara lif rosak berlaku hampir setiap hari. Pernah lif tersangkut sejak jam 6.00 petang dalam bulan puasa sehingga kira-kira jam 7.30 malam. Waktu itu para penghuni rumah pangsa berkenaan hendak pergi membeli makanan untuk berbuka puasa. Mereka yang terperangkap dalam lif tersebut terpaksa berbuka puasa dengan air liur sajalah. Aku juga pernah merasa terperangkap dalam lif. Mujur bukan seperti mereka yang hendak pergi beli makanan untuk berbuka puasa tu. Kenapa baru sekarang (2010) baru nak diberi perhatian. Aku percaya orang-orang di Kampung Baru tak lupa akan perkara ini!!