16 Feb 2010

Zahrain Keluar PKR, Ezam Pula Cemas

Keluarnya Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) langsung tidak menjejaskan parti sebagaimana dakwaan Mohamed Ezam Mohd Noor.

Menganggap kenyataan Ezam dalam beberapa akhbar kawalan Umno itu sebagai dangkal, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin melabel Zahrain sebagai 'individu tidak ada apa-apa'.

Malah, katanya, ketiadaan Ezam yang menjadi watak penting ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim merengkok di penjara, langsung tidak menjejaskan PKR, apatah lagi Zahrain.

Beliau berkata, Ezam yang meninggalkan PKR menjelang pilihan raya umum 2008, tidak menjejaskan pencapaian parti, sebaliknya PKR bersama parti gabungan dalam Pakatan Rakyat berjaya menawan 5 negeri.


"Kalau Ezam keluar tidak ada kesan, takkan Zahrain keluar ada kesan? Secara tak langsung, Ezam kata Zahrain lebih hebat daripada dia… Hakikatnya, Ezam keluar tiada kesan, malah kita lebih kukuh.

"Sebenarnya, Ezam mula cemas kerana tidak mendapat tempat yang dijanjikan sebelum ini. Dia cuba cari perhatian apabila ada orang PKR keluar parti," katanya kepada TVSelangor.

Badrul berkata, tindakan keluar parti tidak menjejaskan PKR yang pernah berdepan situasi lebih genting apabila tinggal satu kerusi pada pilihan raya umum 2004 tapi mampu melonjak menjadi parti pembangkang utama dalam senario politik Negara.

"Bermakna, keluarnya individu tertentu termasuk Zahrain bukan situasi membimbangkan. "Kita pernah jadi parti nyamuk ketika Anwar dalam penjara. Ketika itu, BN masih melihat kita sebagai ancaman dan bersungguh-sungguh cuba tarik keluar orang kita," katanya.

Timbalan Ketua AMK, Faris Musa pula mengulangi gesaan pelbagai pihak supaya Zahrain mengosongkan kerusi Parlimen supaya sokongan rakyat pada pilihan raya umum lalu, tidak dikhianati.

"Mandat yang diberi adalah atas nama PKR. Beliau bukan bertanding atas prinsip peribadi beliau, jadi beliau harus melepaskan jawatan.

"Bila keluar parti, melepaskan semua jawatan tetapi termasuk jawatan di Parlimen. Sebab mandat untuk berada di kerusi itu sekarang ini ialah mandat PKR, bukannya kapasiti peribadi,"
katanya. -TVS



1 ulasan:

Awanama berkata...

Bila meresakan diri diketepikan, mereka belah. Begitukah sikap pejuang nak cari sokongan rakyat?