24 Feb 2010

Mahkamah Tolak Permohonan Bekas Ketua Polis Daerah Sentul

Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan bekas Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran untuk membatalkan kenyataan pembelaan yang difailkan oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan tiga lain dalam saman fitnah RM10 juta terhadap mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham, yang membuat keputusan itu dalam kamar hari ini, turut menolak permohonan Kumaran untuk mencatatkan penghakiman terhadap empat defendan itu selepas mendengar hujahan dari kedua-dua pihak.

Dalam permohonannya Kumaran, berkata kenyataan pembelaan pihak defendan adalah remeh dan menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Kumaran memfailkan saman terhadap Manikavasagam dan pengarang, penerbit serta pengedar akhbar Tamil, Makkal Osai pada 8 Ogos 2007 berhubung kenyataan dan laporan kematian pelakon drama Tamil tempatan, K. Sujatha.

Kumaran selaku plaintif menamakan Manikavasagam, 44, Pengarang Makkal Osai, M Rajintheram, 53, Makkal Osai Sdn. Bhd. dan Osai Distributors Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama sehingga defendan keempat.

Selepas prosiding, peguam Manikavasagam, N. Surendran, memberitahu pemberita bahawa Prasad dalam keputusannya berkata permohonan itu tidak mempunyai merit dan saman itu harus diputuskan menerusi perbicaraan.

Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.Dalam pernyataan tuntutannya, Kumaran mendakwa Manikasavagam membuat kenyataan media dalam surat bertarikh 3 Ogos 2007.

Surat itu, dakwa beliau, kemudian disiarkan oleh akhbar Makkal Osai dengan tajuk 'Ketua Polis Negara Harus Tubuhkan Pasukan Penyiasat Khas Untuk Siasat Kes Velpari', 'Sujatha Hidup Mewah' dan 'ACP Kumaran Harus Digantung Kerja'.

Kumaran mendakwa, artikel berkenaan memberi gambaran beliau mengganggu siasatan kes itu serta menjatuhkan maruah dan nama baiknya. - BERNAMA



Tiada ulasan: