24 Feb 2010

Kehilangan Enjit Jet - Mustahil Hanya Dua Individu Terlibat

Jawatankuasa Kira-kira Awam hari ini melawat gudang TUDM di Sungai Besi Kuala Lumpur untuk mendapatkan gambaran bagaimana dua enjin itu diseludup ke luar Negara.

Seorang ahli jawatankuasa menolak pendirian kerajaan bahawa hanya dua orang terbabit dalam melenyapkan aset pertahanan Negara itu.

"Saya fikir mereka tahu siapa yang terlibat, mereka ialah satu kumpulan. Ada antara mereka menunggu d i luar kem. Mereka bergerak dalam bentuk kumpulan kerana tempat tersebut besar.. Ia sebuah kompleks," ujar Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw.

Menurut Seng Giaw, rumusan itu diputuskan oleh ahli jawatankuasa PAC pagi tadi setelah mengadakan lawatan kira-kira 4 jam ke MATRA 1.

Lawatan itu ujarnya adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kehilangan enjin jet tersebut boleh berlaku.

"Mereka menunjukkan bagaimana proses membawa masuk enjin jet ke dalam lori yang mengambil masa hanya beberapa minit dari gudang kemudian bergerak ke pondok pengawal" katanya lagi.

Secara purata ujar Seng Giaw, proses untuk menyelinap keluar enjin tersebut hanya mengambil masa kira-kira 5 sehingga 10 minit.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk memasuki kawasan tersebut kerana beberapa prosedur ketat perlu dipatuhi.

"Jika prosedur dipatuhi, ia tidak mungkin! Sesuatu telah berlaku! ia mungkin kerja dalam. Meskipun hanya membawa barang keluar, mereka memerlukan tiket, nota kiriman, pas masuk, semua itu diperlukan" ujar Seng Giaw lagi.

Malah, tambah Seng Giaw kejadian tersebut mungkin juga berpunca daripada peralihan sistem di gudang tersebut.

"Saya rasa apa yang berlaku ialah apabila prosedur terlalu ketat pada tahun 2007 sehingga 2008 dan apabila peralihan sistem dilakukan dengan menggunakan sistem komputer, ada pihak yang mengambil kesempatan".

Enjin jet F5E tersebut dikatakan hilang pada tahun 2007 dan hanya dilaporkan pada hujung tahun 2009.

Sehingga 6 Januari lalu, hanya seorang anggota berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat sahaja didakwa terlibat kehilangan enjin terbabit.

Lawatan ke MATRA 1 dilakukan oleh Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar dan juga Seng Giaw. -TVS


Dua tidak mengaku salah curi enjin jet TUDM
Jan 6, 10 8:58am

Seorang sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

N Tharmendran, 42, (foto) daripada Pangkalan Udara TUDM Subang yang berpakaian kemeja berwarna putih hanya mengangguk memahami dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan kes itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya adakah Mohamad Shukri akan didakwa, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan.

Mengenai kemungkinan lebih ramai dituduh berkaitan dengan skandal itu, Raja Rozela berkata beliau hanya menerima arahan untuk mendakwa kedua-dua tertuduh sahaja.

Terdahulu, Raja Rozela memohon mahkamah memandang serius kerana barang yang dicuri bukan enjin motosikal tetapi ia adalah enjin pesawat pejuang.

Peguam bela V. Ravichandran yang mewakili Tharmendran dan peguam bela Pritam Singh Deol yang mewakili Rajandran memohon kepada mahkamah agar anak guam mereka itu diberi jaminan yang rendah berikutan kesemua akaun telah dibekukan dan tidak mempunyai wang yang banyak.

Bagaimanapun, Raja Rozela membantah kerana ia bukanlah faktor utama dalam memohon jaminan.

Rajandran dijamin oleh abangnya sementara Tharmendran gagal membayar jaminan.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata semua usaha sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula dua enjin yang hilang itu dengan secepat mungkin yang kali terakhir dikesan di Uruguay. - Bernama


1 ulasan:

Awanama berkata...

menteri pertahanan ketika itu patut bertanggungjawab.